Arkib Tag: Elgrand

Nissan Elgrand 2027 dilancar di Jepun dengan e-Power & e-4orce, harga dari RM174k

Nissan Elgrand telah dilancarkan secara rasmi di Jepun, dengan jualan bermula bulan ini. Pertama kali diperkenalkan di Japan Mobility Show 2025, MPV premium ini hadir dengan badan lebih besar, selain membawakan sistem hibrid e-Power baharu, pacuan semua roda serta suspensi lebih pintar.

Rekaan lebih moden dengan sentuhan Jepun

Untuk bahagian luran, Elgrand menggunakan bahasa reka bentuk “Timeless Japanese Futurism” yang memberikan MPV itu penampilan lebih tajam dan tegap.

Gril hadapan diinspirasikan daripada corak pertukangan kayu tradisional Jepun, Kumiko, yang disepadukan dengan lampu utama, manakala lampu belakang pula menggunakan rekaan melintang penuh dengan corak rekaan sama. Lima pilihan warna ditawarkan termasuk kombinasi dwi-tona baharu Fuji Dawn/Shigoku.

Kabin seperti ruang istirahat bergerak

Di dalam, Elgrand menawarkan posisi pemanduan yang lebih tinggi, papan pemuka kemasan kayu dengan suis kapasitif terbina, paparan instrumen dan infotainmen bersaiz 14.3 inci, serta lampu ambien dengan 64 pilihan warna.

Semua tempat duduk menggunakan rekaan Zero Gravity, lengkap dengan perehat kaki ottoman untuk kerusi penumpang hadapan dan barisan kedua. Turut disediakan ialah sistem audio Bose 22 pembesar suara, dua pengecas tanpa wayar Qi2, tiga soket kuasa AC 100V, serta ruang kargo yang masih mampu memuatkan tujuh bagasi bersaiz kabin.

Sistem hibrid baharu, pemanduan lebih selesa

Elgrand baharu dikuasakan sistem e-Power generasi ketiga yang menggabungkan enjin 1.5-liter tiga silinder ZR15DDTe baharu dengan modul rangkaian kuasa elektrik 5-dalam-1. Jumlah kuasa tidak diumumkan namun menurut Nissan, ia menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik, operasi lebih senyap dan pemanduan lebih lancar.

Sistem e-4orce yang dipertingkat pula membantu meningkatkan kestabilan dan prestasi ketika mengambil selekoh, manakala Intelligent Dynamic Suspension melaras daya redaman setiap roda secara masa nyata untuk keselesaan lebih baik. Enam mod pemanduan turut disediakan iaitu Eco, Standard, Sport, Comfort, Snow dan Personal.

Lebih banyak teknologi untuk keselesaan dan keselamatan

Bagi meningkatkan keselesaan, Elgrand didatangkan dengan fungsi Smooth Stop yang mengurangkan hentakan ketika kenderaan berhenti, serta Advanced Active Noise Control yang dapat mengurangkan bunyi enjin dan bunyi jalan untuk kabin yang lebih senyap.

Dari aspek bantuan pemanduan pula, MPV ini ditawarkan dengan ProPilot, ProPilot with Navi-link, Traffic Jam Hands-Off Mode, Lane Change Support serta ProPilot 2.0. Turut tersedia ialah ProPilot Park dengan fungsi memori serta Intelligent Around View Monitor yang dipertingkat dengan paparan Front Wide View, Mirror Close View dan 3D View.

Harga di Jepun

Di Jepun, Nissan Elgrand ditawarkan dalam dua varian. X e-4orce dijual pada harga 6,897,000 yen (kira-kira RM174,000), manakala varian G e-4orce pula berharga 7,579,000 yen (sekitar RM191,000).

Nissan Elgrand generasi baharu bakal tampil dengan reka bentuk berinspirasikan Hyper Tourer dan trenkuasa e-Power

Jika anda masih ingat, pada acara Japan Mobility Show 2023, Nissan pernah mempertontonkan sebuah van konsep yang dikenali sebagai Hyper Tourer. Kini, dua tahun selepas kemunculannya, model tersebut bakal memasuki fasa produksi sebagai Nissan Elgrand generasi baharu.

Reka bentuk sebenar masih belum didedahkan, namun imej teaser yang dikongsi oleh Nissan menunjukkan bahawa van mewah ini akan menampilkan beberapa elemen reka bentuk yang dibawa dari Hyper Tourer.

Antaranya termasuk logo Nissan yang berlampu, rekaan gril yang kompleks serta jalur lampu nipis, walaupun ia tidak ‘ditarik’ hingga ke bahagian sisi dan belakang seperti pada model konsep asal.

Nissan Hyper Tourer

Selain itu, Elgrand baharu turut dilihat mempunyai lampu LED piksel di bahagian hadapan dan belakang, serta spoiler bumbung yang sporty.

Gambar ruang dalaman masih belum didedahkan, namun kami menjangkakan ia akan tampil dengan kemasan mewah serta dipenuhi pelbagai ciri tipikal bagi segmen ini, seperti kerusi kapten, peti sejuk, dan sistem infotainmen untuk penumpang belakang.

Menurut Nissan, Elgrand baharu akan dikuasakan oleh rangkaian kuasa hibrid e-Power generasi ketiga, yang terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter dan motor elektrik. Seperti yang diketahui mengenai sistem e-Power, enjin pembakaran dalaman berfungsi sebagai penjana kuasa, manakala motor elektrik digunakan untuk memacu roda.

Rangkaian kuasa generasi baharu ini bukan sahaja lebih ringan, malah turut menjanjikan peningkatan signifikan dari segi kesenyapan dan kecekapan bahan api, menurut syarikat itu.

Model ini dijangka membuat kemunculan sulung sekitar suku ketiga tahun ini, bermakna ia mungkin diperkenalkan secara rasmi pada acara Japan Mobility Show 2025.