Arkib Tag: ehev rs

3 benda tak best tentang Honda Civic e:HEV RS – Pandu uji

HONDA Civic generasi terkini (nama kod FE) menambah baik pakej yang ditawarkan pada model sebelumnya. Ia tampil dengan rupa lebih matang, lebih kemas, tetapi ramai juga rakyat Malaysia yang lebih sukakan rekaan Gundam pada Civic FC.

Ini bukanlah model yang begitu baharu dalam pasaran, namun penulis mahu kongsikan beberapa benda kurang best berkenaan Civic ini. Iyalah, bila sesebuah kereta itu dipuji melambung, anda komen kami fan, dibayar, atau taksub.

Sekarang, jom kita lihatkan tiga perkara yang penulis kurang berkenan pada Civic e:HEV RS.

1. Harga semakin mahal

Honda Civic FE ini semasa dilancarkan pada 2022, bermula pada harga RM126k sehingga RM144k. Ini lebih mahal dari julat harga Civic FC iaitu antara RM110k hingga RM131k.

Kemudian, varian e:HEV RS ini melonjakkan harga Civic sehingga RM166,500. Ini sudah hampir dengan harga Mazda3 yang merupakan model diimport sepenuhnya (CBU).

Ya betul, Civic e:HEV RS ini merupakan model yang lebih kompleks dengan janaan kuasa hibrid yang menawarkan prestasi tetapi pada masa yang sama jimat penggunaan bahan apinya.

Tetapi sesetengah rakyat Malaysia tidak peduli perkara-perkara terperinci itu. Kereta semakin canggih ke, semakin bagus ke, yang penting dia nampak harga dah jauh menghampiri RM170k. Maka berbakul-bakul dia kecam di media sosial.

2. Kekeliruan identiti

Yang kedua ialah kekeliruan identiti. Jika anda lihat Civic 1.5 TC atau TC-P, ia jelas menunjukkan varian turbo itu mahu menjadi sporti – lencana merah, rim hitam, ekzos berkembar.

Tetapi dengan e:HEV RS, anda dapat lebih kuasa tetapi rim dwi tona yang nampak sedikit eksekutif. Anda dapat spoiler dengan kepak di kiri dan kanan, tetapi muncung ekzos sebelah sahaja.

Ia seperti mahu menjadi sporti sedikit, dan premium sedikit. Sudahnya, mana-mana pun tidak. Seperti kekeliruan identiti.

3. Nak ‘bela’ lebih mahal

Perkara ketiga ialah kos ‘membela’ Civic e:HEV RS yang lebih tinggi berbanding varian petrol. Dari segi cukai jalan, anda bayar RM379 setiap tahun, iaitu RM289 lebih tinggi berbanding versi petrol yang cuma berharga RM90.

Ini adalah disebabkan perbezaan kapasiti enjin, dimana Civic e:HEV RS menggunakan enjin 2.0-liter (1,998cc) manakala Civic 1.5 TC dan 1.5 TC-P dipacu enjin 1.5-liter (1,498cc).

Kemudian bab penyelenggaraan juga jauh berbeza. Mengikut laman web rasmi Honda, kos penyelenggaraan selama 10 tahun atau 120 bulan bagi Civic e:HEV RS ialah RM9,274.28, jauh lebih tinggi berbanding RM5,511.81 untuk varian petrol.

Ia tidaklah terasa sangat kerana secara purata, perbezaan harga servis hanya sekitar RM188 setiap kali. Tetapi angka tetap angka, dan jumlah ini jelas menunjukkan perbezaannya.

Harus diingat, ini hanyalah kos penyelenggaraan yang diliputi oleh pusat servis, belum kira bab komponen wear and tear seperti tayar dan pad brek.

Sekian tiga perkara kurang best berkenaan Honda Civic e:HEV RS. Sebenarnya susah juga mencari perkara negatif untuk kereta ini.

Dan sudah tentu ada banyak benda yang kami suka dan kagum dengan Civic ini kerana ia membolehkan perkataan eco dan sporti duduk dalam satu ayat! Anda boleh baca sisi lain Civic e:HEV RS di sini.

Spesifikasi Honda Civic e:HEV RS

Harga: RM166,500
Enjin: 2.0-liter DOHC (kitaran Atkinson)
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 184hp @ 5,000-6,000rpm
Tork: 315Nm @ 0-2,000rpm

Honda CR-V generasi ke-6 dibuka untuk tempahan, bakal dilancarkan Disember ini

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Honda CR-V generasi keenam sudah pun dibuka secara rasmi. Model SUV itu dijangka bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Disember ini.

Menurut syarikat itu, varian e:HEV RS tampil lebih premium dengan elemen-elemen seperti corak mesh pada gril, lampu LED penuh hadapan dan belakang, lampu kabus LED hadapan dan lampu membelok berjujukan LED.

Bukan itu sahaja, varian itu juga didatangkan dengan pemegang pintu bergaya dan rim aloi 18 inci dalam warna Berlina Black.

Satu lagi ciri eksklusif adalah Active Shutter Grille yang terletak pada bahagian bawah bampar hadapan. Ia berfungsi untuk meningkatkan aerodinamik dan kecekapan bahan api dengan membuka dan menutup shutter secara automatik berdasarkan kelajuan, suhu enjin dan keperluan penyejukan.

CR-V generasi keenam akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0L e:HEV dan 1.5L VTEC Turbocharged. Trenkuasa e:HEV menampilkan gabungan motor hibrid (Hybrid Traction Motor) dan transmisi jenis e:CVT yang menghasilkan kuasa sebanyak 184 PS dan 335 Nm.

Sementara itu, varian 1.5L VTEC Turbocharged pula mempunyai 193 PS dan 243 Nm tork, yang disalurkan ke roda menerusi CVT. Menurut Honda Malaysia, model ini juga menampilkan sistem pacuan semua roda Real Time AWD.

Ciri baharu lain yang disertakan pada CR-V adalah tailgate kuasa bebas tangan dengan ciri Walkaway Close, sistem kamera multi-view dengan sudut pandangan 360 darjah dan Honda Connect.

Sistem Honda Sensing pula telah dinaik taraf dengan radar sudut lebar, kamera dan penderia sonar untuk Low Speed Barking Control. Sistem ini kini mempunyai sembilan ciri kesemuanya dengan penambahan Adaptive Driving Beam eksklusif untuk varian e:HEV RS.

Honda CR-V serba baharu boleh ditempah menerusi prebook.honda.com.my, aplikasi HondaTouch atau di mana-mana 101 wakil pengedar sah Honda di seluruh negara.

Model ini akan dipertontonkan secara eksklusif di lokasi-lokasi berikut:

 

Honda Civic e:HEV RS bukti eco dan sporti boleh duduk sebumbung! – Pandu uji

SEJAK azali lagi, karakter eco atau jimat minyak tidak akan boleh duduk sekali dengan sporti. Dua benda yang berlainan sama sekali.

Sama seperti kek yang takkan pedas, nasi lemak takkan manis. Kereta Perodua Axia takkan boleh ada pengendalian macam Formula Satu, dan Formula Satu takkan jimat minyak seperti Axia.

Tetapi dengan teknologi, Honda berjaya membuatkan eco dan sporti berbaik dan duduk sebumbung. Perkenalkan Civic e:HEV RS.

Ya, Honda Civic e:HEV RS merupakan varian hibrid yang lebih menjimatkan bahan api dari varian petrol lain, tetapi ia memberikan lebih prestasi.

Honda Civic varian e:HEV RS ini mempunyai penjimatan sehingga 25km/liter berbanding RS biasa sehingga 15.8km/liter, tetapi e:HEV RS mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.9 saat berbanding RS petrol sepantas 8.3 saat.

Apa beza Civic e:HEV RS dengan Civic biasa?

Honda Civic FE generasi terkini yang dilancarkan tahun lepas ditawarkan hanya dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo untuk varian petrol, tiada lagi naturally-aspirated 1.8-liter i-VTEC. Enjin ini menjana kira-kira 180hp dan 240Nm, lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian.

Tetapi buat pertama kali, Honda Civic ditambah dengan varian e:HEV RS, iaitu hibrid bersama enjin 2.0-liter naturally-aspirated yang menggunakan kitaran Atkinson. Enjin ini sahaja menghasilkan 143hp dan 189Nm, tetapi ditambah dengan motor elektrik, ia memberikan output total 184hp dan 315Nm tork.

RS di sini bermakna ia mendapat penggayaan hampir serupa dengan varian petrol 1.5 RS, tetapi e:HEV RS mendapat sedikit perbezaan.

Varian e:HEV RS mendapat rim 18-inci dwi-tona (RS petrol serba hitam), ekzos tunggal (RS petrol ekzos berkembar), dan beberapa kemasan biru pada logo Honda, menunjukkan elektrifikasi padanya.

Eco akhirnya duduk sebumbung dengan sporti

Kita bercakap tentang eco tadi, berapa jimat Civic e:HEV RS ini? Semasa sesi pandu uji media, kami diberikan cabaran Fuel Challenge semasa bertolak dari Kuala Lumpur sebelum singgah ke Melaka. Jadi, ada melalui lebuh raya, kesesakan, dan jalan bandar.

Kereta kami masih mampu dapat 25km/liter dengan tidak terlalu mencuba, dah jimat macam Bezza! Kami bertiga termasuk barangan di but, dan pandu di lebuh raya pada kelajuan sekitar 90 hingga 100km/j, tidak terlalu perlahan ya.

Ada kumpulan media lain yang lebih daring, mereka memperoleh sehingga 30km/liter. Cukup jimat tak? Harus diingat, ini kereta sedan segmen-C, bukan hatchback segmen-A.

Itu bab penjimatan. Bab sporti pula, Honda Civic e:HEV RS (dan varian-varian petrol lain) sememangnya menawarkan pemanduan lebih mantap berbanding FC. Stereng terasa lebih tepat dan lebih banyak maklum balas, hasil talaan terkini Honda selain penggunaan tayar Michelin Pilot Sport 4.

Suspensi pula terasa sepadan dengan feel pada stereng, dimana suspensinya menyerap dengan baik segala ‘kecantikan’ permukaan jalan raya kita, tetapi pada masa yang sama ‘memegang’ badan kereta di saat memerlukan, sebagai contoh di selekoh.

Digandingkan lagi dengan ergonomik tempat duduk yang rendah dengan kaki hampir melunjur, nampaknya rasa pemanduan Civic masih mengujakan, sesuai dengan namanya walaupun rupa luaran dikatakan semakin ‘biasa’ atau terlalu matang.

Tetapi secara jujur, penulis tiada masalah dengan rupa Civic sekarang. Ia sesuai dengan statusnya sebagai sedan ikonik dalam generasi ke-11, yang keluar pada zaman masa kini. Takkan nak buat Civic dengan gaya dan aksesori tema Need For Speed Underground pula kan?

Berbaloi?

Dengan penawaran yang ada pada Civic e:HEV RS ini, kami rasa anda pasti sudah dapat jangkakan yang ianya varian paling mahal. Ya, anda tidak salah. Civic e:HEV RS dijual pada harga RM166,500, iaitu hampir RM16,000 lebih tinggi dari Civic 1.5 petrol RS.

Berbaloi tambahan RM16,000? Jika anda mampu dan mahukan sebuah Civic yang padat dengan teknologi terkini Honda, apa salahnya. Anda dapat prestasi maksima dan penjimatan jangka masa panjang.

Cuma kalau penulis beli Civic e:HEV RS, mungkin penulis akan tukar rimnya dengan varian petrol RS, itu sahaja.

Spesifikasi Honda Civic e:HEV RS

Harga: RM166,500
Enjin: 2.0-liter DOHC (kitaran Atkinson)
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 184hp @ 5,000-6,000rpm
Tork: 315Nm @ 0-2,000rpm