Arkib Tag: ECU

TuneBoss Gen2 lebih canggih, FSR Technology tawar harga berpatutan

FSR Technology secara rasmi memasarkan peranti engine control unit atau ECU terbaharu dikenali sebagai TuneBoss Gen2.

ECU generasi baharu ini telah dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pasukan lumba tempatan sejak beberapa tahun lalu.

Apa yang menarik, TuneBoss Gen2 ini dipasarkan dengan harga mampu milik namun, memiliki kualiti luar biasa.

Foto ihsan Facebook/FSR Technology

Antara model motosikal yang boleh dimanfaatkan menerusi penggunaan ECU ini adalah Yamaha FZ150i, Y15ZR, YZF-R15, Legenda, Nmax V1 dan YZF-R25.

Terdapat juga beberapa model keluaran Honda boleh menggunakan ECU ini antaranya seperti CBR250, RS150R dan Honda Wave Fi.

Foto ihsan Facebook/FSR Technology

Ciri-ciri yang terdapat pada TuneBoss Gen2 adalah:-

Peringkat 1 – Sesuai untuk penunggang yang mahukan lebih gesaan pada motosikal. Ia juga sesuai untuk aktiviti di litar pada hujung minggu.

Peringkat 2 – Pengguna boleh menikmati fungsi talaan penuh bagi penghidup dan minyak, kawalan Variable Valve Actuation (VVA) dan Throttle Acceleration Compensation.

Peringkat 3 – Talaan lebih maju dilakukan termasuk untuk dua penyuntik, kawalan pam air elektrik dan larasan sudut suntikan minyak.

Foto ihsan Facebook/FSR Technology

TuneBoss Gen2 direka dan dikilangkan sepenuhnya oleh kepakaran dari Malaysia.

Untuk rekod, Tuneboss Gen2 turut disepadukan dengan modul naik taraf quickshifter dan launch control.

Fungsi ini sudah pasti suatu yang sangat istimewa memandangkan kebiasaannya hanya digunakan pada motosikal berkuasa tinggi.

Harga TuneBoss Gen2 bermula dari RM499 sehingga RM999.

Kenapa model Rolls-Royce Ghost Mansory memang ‘berhantu’?

JENAMA Rolls-Royce bukan suatu yang asing dalam industri automotif.

Merupakan jenama mewah terkenal dunia, tidak dinafikan ramai menganggap ia hanya mampu dimiliki individu kaya yang mencecah usia lebih setengah abad.

Namun, sejak tahun 2020 Rolls-Royce mula tampil memberi sedikit kelainan dengan menyasarkan pembeli dalam golongan lebih muda.

Justeru, apakah kelainan itu?

Rolls-Royce Ghost Mansory

Sedar akan saingan automotif semakin kompetitif, Rolls-Royce telah menghasilkan conversion kit yang direka khas bagi model Ghost Mansory generasi kedua.

Sesuai dengan namanya “Ghost”, model baharu ini memiliki ciri-ciri cukup ‘berhantu’ bagi setiap anak muda yang menatapnya.

Ini kerana semua komponen luaran diperbuat daripada gentian karbon meliputi bonnet, lip hadapan, skirting dan lubang udara sisi, spoiler bumbung, spoiler penutup bonet belakang serta diffuser.

Apa yang menjadikan Ghost Mansory lebih menonjol adalah lampu nyalaan siang (DRL) LED pada bahagian bawah bampar hadapan termasuk gril dengan sistem pencahayaan pelbagai warna.

Rim tuangan bersaiz 22 inci dipadankan dengan tayar berukuran 265/35 hadapan dan 295/30 di belakang melengkapkan imej luaran produk terbaharu Ghost Mansory ini.

Ruangan dalaman Ghost Mansory

Pada bahagian dalaman, Ghost Mansory dihiasi upholstery kulit mewah berwarna putih dengan perincian oren mandarin.

Selain itu, stereng juga diberikan balutan kulit termasuk trim gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah.

Ghost Mansory turut dipasangkan sistem pencahayaan LED pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi mendapatkan suasana kabin lebih mempersona.

Sebuah beg sejuk atau cool bag diperbuat daripada kulit dengan kapasiti 14 liter ditawarkan sebagai opsyen.

Kuasa enjin Ghost Mansory

Enjin 6.75-liter twin-turbo V12 membuktikan bahawa kereta ini cukup berkuasa.

Pada masa sama, ia menerima beberapa modifikasi melibatkan unit kawalan enjin (ECU), pengecas turbo baharu dan sistem ekzos sport dengan penukar pemangkin berprestasi tinggi.

Model ini mempunyai 720 PS dan 1,020 Nm yang mana hanya mengambil masa 4.4 saat bagi kelajuan 0-100 km/j.

Untuk perbandingan, Ghost Mansory standard hanya mempunyai 571 PS dan 850 Nm. Justeru, ia memerlukan 4.8 saat untuk mencapai kelajuan 0-100 km/j.

Modifikasi ‘wajib’ Yamaha R15 jadi lebih ‘mantul’

KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.

Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.

Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.

Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.

Ekzos

Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.

Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.

Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.

Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.

Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.

ECU

Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.

Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.

Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.

Monoshock

Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.

Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.

Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!

Tayar

Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.

Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.

Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.

Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.

‘Sunat ekor’

‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.

Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.

Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.

Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.

Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.

Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!