Arkib Tag: ECRL

Perkembangan ECRL di empat negeri capai 62.4 peratus, dijangka siap sepenuhnya Disember 2027

PERKEMBANGAN keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai 62.4 peratus setakat bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pembinaan projek mega itu di Kelantan disifatkan paling mudah termasuk dalam urusan pengambilan tanah.

“Sehingga kini segala urusan pengambilan tanah di Kelantan selesai sepenuhnya dan kerja-kerja pembinaan di negeri itu telah mencapai kemajuan 75.8 peratus setakat ini dengan keseluruhan jajaran sepanjang 43km,” katanya.

“Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

“Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Darwis berkata pembinaan projek ECRL sepanjang 665km itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion.

Katanya, jajaran ECRL turut membabitkan pembinaan 41 terowong sepanjang lebih 62km serta pembinaan jejambat sejauh 150km.

Berkenaan harga tiket, katanya perkara itu belum dibincangkan setakat ini.

“Harga tiket akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan dan saya yakin harga yang akan dikenakan adalah berpatutan,” katanya.

Lokomotif pertama ECRL mula tiba di Pelabuhan Kuantan

BEBERAPA lokomotif pertama East Coast Rail Link (ECRL) mula tiba di Pelabuhan Kuantan. Perkara itu disiarkan dalam satu muat naik oleh laman Facebook East Coast Rail Link – ECRL.

Tetapi anda mungkin perasan bahawa ini merupakan lokomotif diesel kerana ianya hanya akan digunakan untuk tujuan pembinaan jajaran ECRL itu.

Kereta api yang akan digunakan untuk projek menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang itu adalah jenis elektrik.

Projek ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB), iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pula adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ini.

Jaringan rel ECRL akan merapatkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Berdasarkan laporan berita pada Ogos lepas, projek ini telah mencapai perkembangan 48.77 peratus, menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara itu juga berkata perkembangan tersebut selaras dengan pembangunan projek itu dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, sekali gus membolehkan perkhidmatan ECRL beroperasi pada Januari 2027.

Pembinaan stesen ECRL Puncak Alam diluluskan – Menteri Kewangan

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini, dan Alhamdulillah ianya telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” katanya.

Zafrul berkata, bagi pembinaan stesen ECRL yang lain, pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai Daerah Angkat Kementerian Kewangan, bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata, bagaimanapun semua kementerian serta agensi kerajaan akan terus memberi bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di negara ini termasuklah di Kuala Selangor.

Mengenai program lawatannya yang dikatakan selalu dibuat di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa beliau melakukan lawatan di pelbagai kawasan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di daerah itu sahaja.

ECRL: Siap Dis 2026, kerajaan masih kaji jajaran terbaik beri impak ekonomi maksimum

TARIKH sasaran penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal iaitu pada 31 Disember 2026.

Ia melibatkan laluan seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh.

Bagaimanapun, penyiapan seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027.

Pembinaan projek ECRL sedang giat dijalankan. – Foto ihsan Malay Mail

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus.

Jelasnya, kemajuan kerja fizikal bagi seksyan A telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus.

Manakala bagi seksyen B adalah 28.04 peratus iaitu merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, kerajaan masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

Ka Siong berkata, adalah penting agar ECRL tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

“Cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan,” katanya lagi.