Kebanyakan kereta elektrik dibekalkan dengan transmisi kelajuan tunggal, namun secara standard Porsche Taycan dilengkapi dengan kotak gear dua-kelajuan.
Cuma kebanyakan masa penukaran gear tersebut dilakukan secara automatik, dan pemandu tidak ‘dibenarkan’ untuk menikmati penukaran gear tersebut secara manual.
Menerusi kemas kini untuk model Taycan tahun 2027, pemandu boleh menikmati satu fungsi baharu yang dinamakan sebagai E-Shift.
Penukaran gear maya
Fungsi E-Shift baharu ini akan menawarkan simulasi penukaran gear 8 nisbah kelajuan maya yang boleh dinikmati oleh pemandu.
Menariknya, ia boleh digunakan dalam mod automatik dan mod manual di mana pemandu boleh melakukan penukaran gear menggunakan paddle shifter di sebalik roda stereng.
Dalam mod penukaran gear manual, pemandu boleh merasai perkara berikut:
- kesan penukaran gear seperti kereta konvensional
- simulasi drag torque spesifik seperti kesan brek enjin
- pengehad putaran maya
- runut bunyi Porsche Electric Sport yang akan berubah bergantung kepada kelajuan dan beban
- paparan rpm maya dan indikasi penukaran gear pada kluster instrumen
Di sebalik kemas kini tersebut, kotak gear asal masih lagi mengekalkan nisbah dua-kelajuan.
Ciri baharu ini ditawarkan secara standard untuk varian Turbo GT, dan pilihan untuk varian Taycan yang lain.
Jarak gerak cecah 700 km
Porsche turut menawarkan tayar musim panas dengan ciri rintangan golekan rendah untuk model pacuan roda belakang (sedan dan Sport Turismo).
Tayar baharu ini menawarkan jarak pandu ekstra sebanyak 20 km, dan boleh mencecah sehingga 700 km (data WLTP) dengan gandingan pakej Performance Battery Plus.
Sistem infohibur lebih berkuasa
Porsche Taycan turut menampilkan sistem pengurusan komunikasi (PCM) yang menawarkan kuasa perkomputeran lima kali lebih berkuasa berbanding sistem terdahulu.
Segala fungsi dan kawalan kenderaan kini dihimpunkan dalam satu tempat yang diwakili oleh model 3D Taycan mengikut warna badan kereta.
Sama seperti peranti pintar, terdapat pilihan widget yang boleh dipaparkan dalam skrin penuh atau paparan terpisah.
Antara ciri lain termasuklah:
- arahan suara berasaskan kepintaran buatan (AI)
- sokongan carian Google
- kemas kini over-the-air (OTA)
- slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 25W (1.5 kali lebih pantas)
Manthey Kit pertama kali untuk Taycan
Buat pertama kalinya, pakej Manthey Kit yang ditawarkan untuk pelbagai model GT kini ditawarkan untuk Porsche Taycan.
Pakej ini merangkumi padanan kit aerodinamik menyeluruh, talaan casis dan unit pacuan yang dioptimasikan untuk peningkatan prestasi.
Dengan padanan kit Manthey ini, Porsche Taycan Turbo GT dengan Weissach Package berjaya merekodkan masa 6:55.533 minit di Litar Nordschleife Nurburgring dalam kategori sedan elektrik eksekutif.
Manthey Kit ini boleh didapati dalam kit retrofit dan buat pertama kalinya terus dari kilang.
Manthey Kit
