Arkib Tag: dominar

Dominar 400, ada rahsia Modenas lupa maklum kepada pengguna?

NAMA Modenas Dominar 400 makin dikenali dalam kalangan ‘kaki motor’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.

Tahun lalu, Modenas telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fungsi pada model ini sekaligus menjadikan ia bertambah ‘mantul’.

Baru-baru ini Engear berpeluang menunggang uji motosikal keluaran Modenas tersebut dan ternyata prestasi yang dipersembahkan amat luar biasa!

Nak tahu apa yang menarik tentang motosikal ini? Jom check it out!

Menarik tentang Modenas Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Tidak dinafikan sudah terlalu banyak review dilakukan membabitkan model Modenas Dominar 400.

Namun, kali ini bukan kuasa atau ketahanan enjin yang Engear ingin huraikan tetapi lebih tertumpu kepada fungsi elektronik.

Apa yang kami maksudkan adalah mengenai satu fungsi menarik pada instrument panel yang tidak dihebahkan oleh Modenas kepada pelanggannya.

Boleh disifatkan agak teliti mengenai keselamatan, Modenas mewujudkan satu sistem yang memberi maklumat mengenai kedudukan tongkat motosikal berkenaan.

Contohnya, jika tongkat motosikal terlupa dinaikkan, akan terdapat tanda amaran pada instrument panel yang jelas boleh dilihat oleh penunggang.

Hal ini secara tidak langsung mampu mengelak sebarang kemalangan akibat tidak menaikkan tongkat motosikal.

Sementara itu, Modenas turut memperkenalkan sistem yang memberi maklumat kepada penunggang mengenai kedudukan sistem kill switch.

Apa yang dimaksudkan adalah penunggang akan dimaklumkan sama ada sistem kill switch berada pada kedudukan “on” atau ‘off”.

Mungkin kedengaran agak biasa namun, perlu diingat bahawa tidak banyak syarikat pengeluar motosikal yang peka mengenai fungsi yang diperkenalkan oleh Modenas ini.

Spesifikasi lain pada Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Model baharu Dominar 400 mempunyai dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Dijual pada harga kurang RM14,00 (tidak termasuk cukai dan insuran), motosikal ini sangat ekonomi dan mampu milik bagi kebanyakan individu.

Antara ciri naik taraf menarik Dominar kali ini adalah komponen fork dengan penyerap hadapan terbalik yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Dominar 400:-

  • Dua paparan meter LCD memaparkan maklumat gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm dan tahap minyak
  • Lampu hadapan automatik “LED mosaic”
  • Sistem klac Assist and Slipper
  • Brek ABS two-channel

Terdapat banyak lagi maklumat yang kami ingin sampaikan kepada anda.

Untuk informasi lanjut sila tonton video yang kami sediakan ini…chiow!

Modenas Dominar D400 lepasi cabaran 1,600 kilometer, terbukti lasak

KETAHANAN Modenas Dominar D400 tidak dapat disangkal apabila jentera itu berjaya menempuh cabaran konvoi sepanjang 1,600 kilometer.

Konvoi dianjurkan pada bulan lalu itu mengambil masa hanya dalam tempoh 24 jam dengan penyertaan 10 peserta termasuk para wartawan.

Modenas berkata, cabaran ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera Dominar D400 tetapi turut memberi ruang syarikat itu terus bekerjasama dengan pihak media.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan turut berharap program seumpama itu diteruskan di masa depan.

“Saya percaya ia kali pertama bagi mana-mana pengeluar motorsikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.

“Modenas mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran…kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal Modenas lain,” katanya.

Pada 18 November lalu, Modenas menerusi kerjasama syarikat Petron Malaysia menganjurkan program Cabaran 1,600 KM Modenas Dominar D400.

Cabaran pada masa sama menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain melihat keupayaan Modenas Dominar D400.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Secara keseluruhan, konvoi menempuh perjalanan sejauh 1,619 kilometer hanya dalam tempoh masa 23 jam 8 minit.

Konvoi bermula dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas dekat Gurun, Kedah dengan jarak perjalanan lebih 399 kilometer.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Jerteh melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan Royal Belum dengan jarak 315 kilometer.

Selepas berehat di Jerteh, konvoi diteruskan ke Kijal, Terengganu yang memakan jarak perjalanan lebih 234 kilometer.

Selepas tiba di Terengganu, peserta meneruskan lagi konvoi ke Mersing sebelum tiba di Simpang Renggam, Johor dengan jarak perjalanan 533 kilometer.

Walaupun kepenatan, kesemua peserta meneruskan lagi perjalanan ke Melaka dan terus menuju ke Kuala Lumpur bagi menamatkan cabaran.

Kami di Engear mengucapkan tahniah dan syabas buat penganjur kerana berjaya menganjurkan program seperti ini dan diharap ia diteruskan lagi pada masa depan.

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memiliki sebuah Modenas Dominar D400?

Modenas Dominar D400 2021 kini dinaiktaraf, pilihan dua warna baharu, RM14k

MODENAS hari ini memperkenalkan varian motosikal Dominar D400 2021 yang telah dinaiktaraf. Model sports tourer ini menerima beberapa peningkatan teknikal, serta dua pilihan warna baharu berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun 2018 lalu.

Dominar D400 terbaharu ini ditawarkan pada harga RM13,997.00 (tanpa insurans dan cukai jalan).

Roslan Roskan, CEO Modenas berkata, motosikal terbaharu ini merupakan sebuah model yang dinantikan ramai, dan beliau yakin ia akan menjadi model yang digemari ramai berdasarkan peningkatan teknikal, gaya baru, serta harganya yang berpatutan.

Antara ciri naiktaraf paling menarik pada model kali ini adalah fork dengan penyerap hadapan terbalik (upside down), menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Enjin 373cc DOHC dengan teknologi DTS-i sejukan cecair menjana 40PS dan 35Nm tork pula menerima sistem ekzos dengan muncung berkembar baharu.

Dominar D400 terbaharu ini juga menampilkan cakera brek bersaiz 320mm di hadapan dan 230mm di belakang, serta dilengkapi brek ABS (Anti-lock Braking System) two-channel.

Ia turut dilengkapi penyerap hentakan tunggal Nitrox di belakang yang membolehkan penunggang membuat penalaan suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan menepati kehendak masing-masing.

Ciri lain adalah sistem klac Assist And Slipper yang akan membantu melancarkan pertukaran gear secara mengejut.

Tampil lebih bergaya, varian ini juga menerima kemasan “tankpad” bercorak karbon baharu serta logo Dominar pada tempat duduk belakang.

Ia turut didatangkan dengan dua paparan meter LCD yang memaparkan segala maklumat seperti gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm serta tahap minyak.

Lampu hadapan automatik pula dari jenis “LED mosaic” yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam serta membolehkan penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5km.

Modenas Dominar 400 kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.