Arkib Tag: denda

Denda RM50,000 atau penjara jika tinggal anak bersendirian dalam kenderaan

POLIS memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga untuk tidak meninggalkan anak secara bersendirian dalam kenderaan.

Memetik kenyataan polis menerusi Facebook, ibu bapa serta penjaga yang cuai boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.

Ibu bapa atau penjaga dinasihati tidak cuai dengan meninggalkan anak-anak dalam kenderaan secara bersendirian. – Foto ihsan Unsplash/Farzanah Rosli

Jelas kenyataan itu lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dalam hal ini malah, akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang.

“Tiada alasan. Tiada kompromi. Kealpaan anda membawa padah.

“Kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kanak-kanak maut akibat ditinggalkan dalam kenderaan.

Pada 12 Oktober lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut selepas ditinggalkan lebih tiga jam dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun turut menerima nasib sama pada 16 Mac lalu akibat mengalami strok haba setelah empat jam ditinggalkan dalam kereta dipandu pengetua tadika di Taman Ria, Sungai Petani.

Phua Chu Kang kena saman pandu laju, lesen digantung tiga bulan

SINGAPURA merupakan negara mempunyai peraturan jalan raya ketat selain penguatkuasaan yang tegas.

Tanpa mengira latar belakang, individu didapati bersalah melanggar peraturan jalan raya pasti tidak terlepas dengan tindakan perundangan.

Ini terbukti apabila pelakon dan pelawak ‘Phua Chu Kang’ dikenakan denda S$800 atau bersamaan RM2,491 kerana memandu melebihi kelajuan dibenarkan.

Pada masa sama, ‘Phua Chu Kang’ atau nama sebenar Gurmit Singh, 56, turut menerima hukuman penggantungan lesen memandu selama tiga bulan.

Memetik laporan Malay Mail, pelakon itu mengaku bersalah memandu pada kelajuan 131km/j di Lebuhraya Seletar pada 12 April lalu.

“Saya mengaku bersalah kerana memandu pada kelajuan tidak dibenarkan tetapi ada alasan di sebalik kejadian itu.

“Pada ketika itu saya baru menjemput anak lelaki dari tempat kerjanya dan ada gangguan bunyi pada kenderaan dipandu.

“Saya terpaksa memecut pada kelajuan 100km/j untuk membuktikan bahawa terdapat bunyi pelik ‘dikeluarkan’ kereta itu.

“Terus terang saya tidak tahu bagaimana kenderaan saya boleh mencapai kelajuan 131km/j,” kata Gurmit di mahkamah.

Had kelajuan makisma Lebuhraya Seletar adalah 70km/j.

Had kelajuan dibenarkan di lebuh raya berkenaan adalah tidak melebihi 70km/j.

Individu didapati memandu melebihi kelajuan ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 63(4) Akta Undang-undang Jalan Raya.

Terdahulu, hakim mengadili kes Gurmit menasihati agar tidak mengulangi kesilapan apatah lagi ia membahayakan nyawa insan tersayang.

Gurmit dalam reaksinya berkata, dirinya sedar akan kesilapan tersebut dan kesal dengan insiden berlaku.

Lumba haram: Polis sita 30 kenderaan, tahan lima remaja

USAHA membasmi kegiatan lumba haram terus diperhebat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan beberapa lokasi ‘panas’ seluruh negara.

Semalam, lebih 30 buah kereta disita selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba haram di daerah Kuantan dan kawasan sekitar.

Operasi dijalankan lebih tujuh jam di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14 turut menyaksikan lima remaja ditahan membabitkan kesalahan lalu lintas.

Kesemua remaja terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan lesen memandu apabila diminta berbuat demikian.

Sementara itu, polis masih menyiasat sama ada kegiatan lumba haram di kawasan itu melibatkan wang pertaruhan.

Siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan membabitkan Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah.

Sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.