Arkib Tag: dbx

Aston Martin DBX 707 kini SUV paling berkuasa di dunia

DBX 707 baharu merupakan versi dengan prestasi yang dinaiktaraf dari Aston Martin DBX, menampilkan perubahan mekanikal yang menjadikannya SUV paling berkuasa dari pengeluar mainstream (arus perdana).

DBX 707 ini diposisikan sebagai alternatif dinamik dan sporti kepada pesaing-pesaing seperti Bentley Bentayga S, Porsche Cayenne Turbo GT dan Range Rover Sport SVR.

CEO Aston Martin, Tobias Moers memaklumkan model ini mampu memegang 60 peratus dari keseluruhan pasaran DBX.

“Saya nampak banyak potensi dalam pasaran dimana ada satu pengeluar yang mencatatkan rekod jualan tinggi dan kini terlalu selesa,” katanya.

Perubahan paling ketara melibatkan nadi DBX 707 iaitu enjin 4.0-liter V8 twin-turbo Mercedes-AMG dimana jurutera di Gaydon telah menala sehingga menghasilkan tambahan 155hp dan 200Nm tork.

Ini menjadikan output penuh kini setinggi 697hp (707PS) dan 900Nm tork! Talaan lain termasuklah penggunaan bearing bebola pada pengecaj turbo.

Penambahan kuasa digandingkan dengan kotak gear 9-kelajuan yang pantas dan responsif membolehkan DBX 707 ini mencapai 100km/j dalam hanya 3.3 saat, iaitu 1.2 saat lebih pantas dari DBX ‘biasa’.

Selain itu, DBX 707 turut menawarkan pengendalian lebih dinamik, hasil dari suspensi udara yang ditambahbaik, sistem stereng yang ditala semula, LSD (limited-slip differential) lebih kukuh, dan brek karbon-seramik (lebih ringan).

“Biasanya kategori ini dikatakan mempunyai kuasa yang kasar. Dengan DBX 707, objektif kami ialah untuk menggabungkan prestasi menakjubkan dengan kawalan mantap dan ketepatan, selain dari karakter sporti sebuah Aston Martin,” kata Moers.

Penambahbaikan pada casis DBX 707 ini menjanjikan belokan lebih rata, pengurangan pergerakan badan di jalan tidak rata dan semasa memecut serta membrek.

Moers juga berkata DBX 707 mampu menyaingi rekod SUV baru catatan masa di Nurburgring yang kini dipegang oleh Porsche Cayenne Turbo GT dengan 7 minit 38.9 saat.

“Kami memerlukan tayar bercengkaman tinggi saya rasa, mereka menggunakan Corsa pada Cayenne. Kami belum mencuba tayar Corsa setakat ini.”

DBX 707 mendapat penggayaan lebih unik berbanding versi standard. Ini termasuklah gril depan lebih besar, dan rekaan semula pada kluster lampu, ruang kemasukan udara, dan bampar.

Terdapat juga kemasan hitam pada beberapa panel badan, spoiler baharu, dan ekzos quad lebih besar.

Harga Aston Martin DBX 707 bermula pada £189,000 (RM1.07 juta) dan penghantaran dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

Jualan Aston Martin meningkat untuk 2021, dan anda pasti tahu kenapa

KIRA-kira setahun lepas, Aston Martin melaporkan kerugian kewangan serius untuk separuh masa pertama 2020. Tidak mengejutkan memandangkan pandemik pada masa itu. Tetapi pengeluar kereta sports British itu dilaporkan semakin pulih dari krisis.

Laporan jualan jenama itu untuk enam bulan pertama 2021 mencatatkan peningkatan 224 peratus dan satu model menyumbang kepada lebih separuh dari jualan itu. Kami rasa anda pasti tahu kenapa.

Ya, sebab SUV. Lebih tepat lagi, Aston Martin DBX.

Pengeluar itu menyerahkan 2,901 kenderaan dari Januari hingga Jun tahun ini. Dari jumlah itu, lebih dari 1,500 unit adalah DBX. Keuntungannya juga meningkat dari £146 juta (RM862 juta) kepada £498.8 juta (RM2.9 bilion).

“Permintaan yang kami lihat untuk produk kami, rancangan produk baharu dan pasukan kerja yang baik memberikan saya keyakinan untuk kejayaan kami yang berterusan,” kata Lawrence Stroll, pengerusi Aston Martin dalam satu kenyataan.

Produk baharu yang dimasudkan Stroll merujuk kepada Valhalla dan hypercar Valkyrie yang berharga lebih £600,000 (RM3.5 juta).

Nampaknya Aston Martin mengulangi situasi yang dialami Porsche satu masa dahulu dimana SUV menjadi penyelamat untuk sebuah syarikat pengeluar kereta sports. Lamborghini juga melaporkan SUV mereka, Urus mendapat sambutan baik dari kalangan pelanggan.