Arkib Tag: CX-90

Mazda CX-90 diperkenalkan – SUV tiga baris tempat duduk dengan 340 hp, 500 Nm

SEPERTI yang dijanjikan, Mazda telah mendedahkan SUV terbaharu mereka yang dipanggil sebagai CX-90. Ia merupakan penawaran kedua dalam Large Product Group syarikat itu selepas CX-60 yang didedahkan pada Mac tahun lalu.

Jika dilihat pada reka bentuknya, CX-90 memang saling tak tumpah dengan CX-60 memandangkan kedua-dua model ini dibina menggunakan platform yang sama iaitu Skyactiv Multi Solution Scalable Architecture.

Bagaimanapun, CX-90 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar dan tiga barisan tempat duduk yang boleh menampung sehingga lapan penumpang.

Di pasaran utamanya iaitu Amerika Syarikat, ia akan ditawarkan dengan enjin petrol e-Skyactiv G 3.3-liter enam silinder turbo yang menghasilkan 340 hp dan 500 Nm dengan bantuan daripada sistem hibrid ringkas 48-volt.

Pilihan kedua untuk pelanggan di negara itu adalah trenkuasa e-Skyactiv PHEV yang menawarkan output berjumlah 323 hp dan 500 Nm. Trenkuasa ini merangkumi enjin petrol 2.5-liter empat silinder yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik dan bateri 17.8 kWh.

Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda i-Activ AWD yang cenderung kepada pacuan roda belakang. Menurut Mazda, transmisi berkenaan direka khusus untuk trenkuasa elektrik dalam konfigurasi longitud dan kenderaan berplatform besar.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman CX-90 juga boleh dikatakan hampir 100 peratus sama dengan CX-60. Terdapat paparan berukuran 12.3 inci, serta pelbagai lagi ciri kemudahan dan keselesaan termasuk port USB-C dan corong pendingin hawa pada barisan ketiga dan pencahayaan ambien.

Dari segi keselamatan, CX-90 didatangkan dengan i-Activesense yang merangkumi ciri-ciri seperti Smart Brake Support, Blind Spot Monitoring, Radar Cruise Control dan pelbagai lagi. Turut ditawarkan adalah ciri See-Through View yang membantu memudahkan pemandu meletakkan kenderaan.

Tarikh penjualan CX-90 masih lagi belum diumumkan namun model ini dijangka memasuki pasaran tahun ini.

Mazda CX-90 akan tiba dengan trenkuasa plug-in hybrid serba baharu

MAZDA North American Operations telah menyiarkan satu lagi teaser untuk Mazda CX-90 sebelum model itu didedahkan sepenuhnya pada Januari 2023.

Apa yang menarik, imej teaser kali ini bukan sahaja menunjukkan reka bentuk lampu belakang SUV itu, malah mengesahkan yang model itu akan tampil dengan trenkuasa plug-in hybrid. Ini boleh dilihat menerusi lencana E SKYACTIV PHEV pada tailgate dan kelibat lelaki yang sedang memegang pengecas.

Perincian mengenai trenkuasa berkenaan masih belum diumumkan namun jika melihat kepada teaser lencana ‘INLINE 6’ yang disiarkan pada November lalu, ia berkemungkinan besar akan menggunakan enjin enam silinder sebaris.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika enjin berkenaan adalah untuk varian PHEV ini atau terdapat varian petrol yang akan diperkenalkan kelak.

CX-90 bukanlah model Mazda CX pertama yang akan ditawarkan dengan trenkuasa PHEV. Model crossover saiz pertengahan iaitu CX-60 dikuasakan oleh enjin 2.5-liter empat silinder dan motor elektrik yang menjana 323 hp dan 500 Nm.

Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Bateri berkapasiti 17.8 kWh pula memberikan jarak gerak sejauh 63 km berdasarkan kitaran WLTP.

Menariknya, CX-60 juga boleh didapati dengan enjin 3.3-liter enam silinder sebaris yang dipadankan dengan sistem mild hybrid 48-volt di sesetengah pasaran antarabangsa termasuk Australia. Mungkinkah CX-90 akan menggunakan enjin yang sama?