Arkib Tag: cx-60

Mazda CX-60 dilancar di Indonesia – Enjin 3.0-liter 6-silinder 280hp, RM358k

SELEPAS pelancaran di Filipina dan Singapura, kini giliran Indonesia untuk menjadi negara ASEAN yang menerima kehadiran Mazda CX-60. SUV 5-tempat duduk ini ditawarkan dengan pilihan untuk negara itu; Kuro Design dan Elite Design, kedua-duanya berharga 1.188 bilion rupiah (kira-kira RM358k).

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 3.3-liter e-SkyActiv petrol 6-silinder yang menjana output keseluruhan 280hp pada 5,000 hingga 6,000rpm dan 450Nm dari 2,000 hingga 3,500rpm. Jika anda perasan nama e-SkyActiv, ya enjin ini mendapat sistem elektrifikasi.

Ianya merupakan unit mild hybrid 48-volt yang mempunyai motor elektrik di antara enjin dan kotak gear. Motor elektrik ini dibekalkan kuasanya oleh bateri lithium-ion 0.33kWh.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ.

Mazda CX-60 merupakan model serba baharu yang dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture.

Dari segi rekaan luaran, perbezaan utama untuk Kuro dan Elite ialah gril depan, dimana Kuro mendapat kemasan honeycomb manakala Elite menampilkan bar melintang. Rim 20-inci untuk Kuro adalah berwarna gelap sementara Elite berwarna cerah.

Enam warna ditawarkan untuk CX-60 ini iaitu Soul Red Crystal Metallic, Machine Grey Metallic, Rhodium White Metallic, Platinum Quartz Metallic, Deep Crystal Blue Mica, dan Jet Black Mica.

Bergantung kepada varian, kelengkapan dalaman merangkumi balutan kulit Nappa dengan kemasan kayu maple, dengan dua paparan bersaiz 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen.

Ciri standard lain termasuklah Active Driving Display, head-up display, lampu LED adaptif, bumbung panoramik, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa-wayar, dan pintu but berkuasa.

Untuk ciri keselamatan pula, Mazda CX-60 hadir standard dengan tujuh beg udara, kamera 360-darjah, dan sistem aktif seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring, Front and Rear Cross Traffic Alert, Driver Monitoring System, dan Driver Attention Alert.

Buat masa ini, kami belum ada maklumat mengenai pelancaran CX-60 untuk pasaran Malaysia. Tetapi dengan spesifikasinya yang agak premium, kami jangkakan ia akan ditawarkan pada harga antara RM240,000 hingga RM280,000. Apa pendapat anda?

Mazda lancar CX-60 pada musim luruh, tawar empat jenis penjana kuasa

MAZDA mengumumkan bakal memulakan jualan model terbaharu CX-60 menjelang musim luruh tahun ini.

Walaupun jualan hanya bermula bagi pasaran Jepun namun, ramai kalangan pengguna seluruh dunia sudah teruja dengan kedatangan model tersebut.

Justeru, Mazda mendedahkan beberapa spesifikasi terdapat pada model ini sebagai pengenalan awal kepada umum.

Berdasarkan pendedahan dibuat, CX-60 adalah kenderaan yang seangkatan dengan beberapa model lain seperti CX-70, C-80 dan CX-90.

Foto ihsan Mazda

Ia memiliki bentuk yang besar dengan ukuran 4,740mm panjang, 1,890mm lebar, 1,685mm tinggi dan jarak roda 2,870mm.

Model CX-60  ditawarkan dengan empat jenis penjana kuasa iaitu:-

Pertama

Skyactiv 2.5 liter naturally-aspirated empat silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion dan pacuan semua-roda i-Activ.

Jumlah keseluruhan kuasa mampu mencapai 323 PS atau bersama 319 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

Kedua

Skyactiv-G 2.5 liter tanpa teknologi plug-in hybrid dengan kuasa 188 PS atau 185 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 3,000 rpm.

Ketiga

Skyactiv-D 3.3-liter enam-silinder sebaris turbodiesel dengan 231 PS atau 228 kuasa kuda dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

Keempat

E-Skyactiv D dilengkapi sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan dengan 254 PS atau 251 kuasa kuda pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm.

Foto ihsan Mazda

Semua enjin ditawarkan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan secara standard.

Setakat ini, Mazda masih belum mendedahkan spesifikasi lain termasuk harga bagi model CX-60 ini.

Jom sama-sama kita nanti nanti ya…

Foto ihsan Mazda

CX-60 ini merupakan PHEV pertama Mazda, sistem hibrid dengan kuasa hingga 323hp/500Nm

MAZDA baru-baru ini memperkenalkan CX-60 baharu untuk Eropah, Jepun dan beberapa pasaran lain. Walaupun nampak ‘familiar’, ini sebenarnya model serba baharu yang dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture.

Ini merupakan platform untuk model PHEV (plug-in hybrid) pertama, hadir dengan sistem i-Active all-wheel drive yang akan memacu roda belakang.

CX-60 akan hadir dalam versi PHEV terlebih dahulu, menampilkan enjin 2.5-liter naturally-aspirated berserta motor elektrik.

Enjin itu akan menghasilkan 189hp dan 261Nm tork, dibantu motor elektrik yang memberi tambahan 134hp dan 250Nm tork.

Jadi secara gabungan, sistem e-SkyActiv ini menghasilkan output setinggi 323hp dan 500Nm tork. Prestasi pecutan 0-100km/j ialah 5.8 saat.

Kelajuan maksima ialah 200km/j dalam mod PHEV, tetapi jika dalam mod EV dengan enjin dipadamkan, kelajuan akan dihadkan pada 140km/j.

Bercakap mengenai mod EV, dengan pek bateri 17.8kWh, Mazda CX-60 mampu dipandu sehingga 63km (menurut kitaran WLTP).

Dari segi dimensi pula, Mazda CX-60 ini mempunyai ukuran 4,745mm panjang, 1,890mm lebar, 1,670mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,870mm.

Mazda CX-60 mempunyai berat sekitar 2,070kg, manakala pilihan rim adalah antara 18- dan 20-inci.

Selain itu, Mazda CX-60 juga bakal hadir dalam versi biasa, iaitu dengan pilihan petrol dan diesel. Untuk petrol, ia akan menggunakan e-SkyActive X 3.0-liter 6-silinder, manakala diesel bersesaran 3.3-liter.

Kedua-duanya akan dilengkapi dengan sistem elektrik 48-volt untuk lebih penjimatan bahan api.

Kesemua tiga janaan kuasa dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan baharu dengan beberapa klac, menggantikan sistem torque converter sedia ada.

Kini kita ke bahagian dalam, yang kelihatan sedikit seperti Volvo, ini sesuai dengan aspirasi Mazda yang ini ke arah jenama mewah.

Kelengkapan di sini termasuklah skrin infotainmen 12.3-inci, butang kawalan berpusing, dan kluster instrumen digital yang juga bersaiz 12.3-inci.

Mazda CX-60 akan mula dijual dengan pilihan varian Prime, Exclusive, Homura dan Takumi. Pilihan kelengkapan juga termasuklah bumbung panoramik, pakej sistem bantuan pemanduan, pakej balutan kulit, dan pakej sistem audio.