Arkib Tag: cx-30

Mazda CX-30 2.0G High+ bukan untuk semua – Pandu uji

SEMASA Mazda CX-30 mula menerjah ke pasaran Malaysia pada penghujung 2019, rata-rata kami para media amat menggemarinya. Bukan sahaja ia nampak cantik dan seksi dengan lekuk dan garisan seperti SUV Itali, CX-30 juga sedap dipandu.

Jika anda suka memandu dan seorang pemandu tegar, CX-30 akan cepat serasi dengan anda. Masalahnya, harga CX-30 pada masa itu agak ‘keras’, membuatkan kebanyakan orang risau untuk meminangnya. Lantas menjadikan jualannya sedikit sendu.

Namun tahun lepas, Mazda Malaysia telah memperkenalkan varian CKD (pemasangan tempatan) untuk SUV kompak segmen-B ini, menjadikan harganya lebih sedap didengar.

CX-30 2.0G bermula pada RM131,000 hingga 2.0G High+ Premium pada RM159,000. Ini kira-kira RM13,000 ‘diskaun’ berbanding 2.0G model 2019 dulu.

Cuma untuk CKD kali ini kesemua empat varian menggunakan enjin 2.0-liter petrol sahaja, tiada lagi pilihan 1.8-liter diesel SkyActive-D seperti dulu yang berharga lebih RM170,000.

Jadi, baru-baru ini kami memandu uji varian pertengahan tinggi, iaitu CX-30 2.0G High+ yang berharga RM149,000. Adakah ia berbaloi dibandingkan dengan model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross? Dan untuk siapakah CX-30 ini?

Seperti satu kelas lebih atas

Mazda CX-30 apabila diteliti dengan lebih dekat, anda akan rasa ia seperti dalam satu kelas lebih atas dari model-model lain dalam segmennya.

Sebagai contoh, bilah krom di bawah gril depan yang bersambung hingga ke lampu depan kiri dan kanan sebenarnya mahal untuk dihasilkan kerana ia komponen krom nipis yang besar.

Kemudian permukaan panel badan di fender, pintu, hingga belakang kereta tidak mempunyai garisan yang jelas, sebaliknya berlekuk dan membentuk permainan cahaya yang cukup menarik. Ia beralun dan memberikan imej CX-30 ini seperti seekor makhluk, bukannya sebuah jentera atau benda.

Permukaan organik sebegini memerlukan tahap penjagaan kualiti yang tinggi dan lebih teliti berbanding garisan konvensional.

Rekaan belakang juga cukup penulis suka kerana nampak elegan dan sporti seperti SUV Itali yang jauh lebih mahal. Untuk anda yang tidak tahu, penulis maksudkan Alfa Romeo Stelvio.

Di dalam, anda lihat sahaja pedal minyak jenis organ pada CX-30 ini, iaitu jenis engsel di lantai. Automatik membuatkan SUV ini rasa lebih mahal berbanding model lain yang menggunakan pedal minyak jenis gantung.

Begitu juga dengan paparan meter rpm dan speedometer. Hanya paparan rpm yang merupakan meter fizikal, sementara speedometer sebenarnya paparan digital. Tetapi Mazda berjaya memberikan penelitian hingga kedua-dua ini nampak begitu serupa. Bila padamkan enjin baru anda perasan bahawa meter kelajuan ialah skrin.

Perkara-perkara sebegini kita tidak dapat lihat dalam risalah atau spesifikasi atas kertas. Jadi, normal untuk kita susah untuk menjustifikasikan harga Mazda CX-30 yang lebih mahal ini. Tetapi setelah pandu uji atau meluangkan masa beberapa hari, barulah kita boleh faham.

Pengorbanan ‘sports car’

Di bawah hud depan Mazda CX-30 kali ini – seperti disebut tadi – ialah enjin 2.0-liter SkyActiv-G petrol naturally-aspirated, cukup untuk menjana 162hp dan 213Nm tork.

Walaupun angkanya biasa-biasa sahaja dan tidak begitu mengujakan, Mazda mengajar kita bahawa sporti bukan bermakna output kuasa tinggi semata-mata. Ya, Mazda CX-30 ialah antara SUV paling sporti dalam kelasnya, jika tidak paling sporti.

Angka bukanlah segala-galanya untuk menjadi sporti, sebaliknya cara enjin SkyActiv ini menaikkan rev-nya, respon, serta bunyi memberikan anda rasa terhubung rapat dengan kereta ini.

Dari respon ultra-cepat bila anda sentuh pedal minyak, kemudian bila jarum rpm naik dengan lancar hingga ke redline 6,800rpm dalam mod manual, menyerlahkan sifat sporti Mazda CX-30 ini. Kemudian kotak gear SkyActiv-Drive yang digunakan ialah 6-kelajuan sebenar, bukan kelajuan maya dari CVT seperti kebanyakan pesaingnya (kecuali X50 yang menggunakan dwi-klac).

Ini bermakna sensasi pertukaran gear adalah ‘real’ dan benar sebenar benarnya, bukanlah gear acah-acah. Pertukaran tidak perlu terlalu cepat, yang penting responnya memadai dan anda rasa rapat dan akrab dengan powertrain CX-30 ini.

Bila rev menghampiri redline, degupan jantung anda semakin kencang, ditemani bunyi merdu yang selesa pada rev tinggi, dan bila upshift, degupan jantung anda turun sedikit. Kemudian meningkat lagi bila memecut dalam gear seterusnya.

Downshift juga seperti jentera sport sebenar. Sama ada mod automatik atau manual, anda dapat rasakan klacnya dipisahkan, enjin blip untuk rev match, dan klac disambung semula dengan lancar, tetapi sporti.

Tidak percaya bahawa output bukan penentu rasa sporti? Baik, ambil contoh Lotus Elise dengan 217hp dari enjin 1.8-supercaj, bandingkan dengan 255hp dalam Mercedes C300 bersama enjin 2.0-liter turbo. Yang mana lebih sporti?

Ya, sebab itu penulis tekankan ‘cara’ enjin itu menghantar kuasa atau karakternya lebih penting, bukan nombor yang kita boleh Google sahaja.

Cuma bila memandu kenderaan sporti, anda mungkin akan buat sedikit ‘pengorbanan’ dari segi ruang dan pratikaliti. Untuk Mazda CX-30 ini terus terang penulis katakan, bukan paling luas dalam segmennya. Ditambah lagi dengan warna hitam-coklat pada kabin, tidak membantu bab ini.

Duduk memang selesa dan suportif, tetapi bila penulis bawa seorang penumpang berbadan gempal duduk di sebelah, dan seorang penumpang agak tinggi di belakang, boleh dirasa sedikit sendat dalam kabin.

Dan jika anda duduk dengan posisi memandu rendah, agak sukar untuk lihat ke luar bahagian kiri dan bucu belakang kereta.

Panel papan pemuka dan segala suis serta tombol mudah dicapai, ini bagus kerana memberikan kita rasa yakin dan kereta ini memfokus terhadap pemandu.

Bukan untuk semua

Jadi senang cerita, Mazda CX-30 ini bukan untuk semua. Ia sedap dipandu, menghargai pemandu tegar dan berjiwa sporti, tetapi mungkin kurang ‘ngam’ dengan kebanyakan orang.

Jika sebelum ini anda pandu Mazda MX-5 semasa bujang, CX-30 sangat sesuai untuk digunakan untuk bina keluarga kecil sebelum anda beralih ke kenderaan lebih besar bila mempunyai lebih dari tiga anak.

Bagi penulis, penulis sangat suka memandu Mazda CX-30 ini kerana saiznya ideal untuk kegunaan harian, selain aspek responsif dan ‘feel’ pemanduan jitu yang ditawarkan oleh konsep Jinba Ittai. Bentuk CX-30 ini juga masih elegan dan evergreen walaupun hampir memasuki empat tahun dan Mazda dengan selamba belum memberikan sebarang kemaskini visual.

Tetapi memang tidak perlu pun. CX-30 masih nampak baharu dan segar dalam pasaran.

Untuk menjawab persoalan awal tadi, Mazda CX-30 nampak tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kereta biasa dalam segmennya, tetapi anda akan nampak nilai lebih baik bila dibandingkan dengan model seperti MINI Countryman, Lexus UX atau Mercedes A-Class hatchback.

Spesifikasi Mazda CX-30 2.0L High+

Harga: RM149,000
Enjin: 2.0-liter SkyActiv-G 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan SkyActiv-Drive
Kuasa: 162hp @ 6,000rpm
Tork: 213Nm @ 4,000rpm

Mazda CX-30 facelift 2023 dilancar – kini CKD, harga bermula RM128k sahaja

SALAH satu sebab kenapa jualan Mazda CX-30 agak ‘suam’ di sini adalah kerana harganya yang agak tinggi walaupun ia sebuah crossover yang sangat seksi. Kini untuk 2023, Bermaz Motor Sdn Bhd telah mengumumkan bahawa CX-30 telah dipasang secara CKD di Kulim, Kedah.

Maka dengan itu, harganya telah menjadi jauh lebih kompetitif berbanding sebelumnya. CX-30 facelift 2023 hadir dengan empat varian, dengan harga seperti berikut:

CX-30 2.0G 2WD Standard: Bermula RM128,109
CX-30 2.0G 2WD High: Bermula RM136,109
CX-30 2.0G 2WD High Plus: Bermula RM146,109
CX-30 2.0G 2WD High Plus Premium: Bermula RM156,109

Harga di atas adalah atas jalan tanpa insurans. Kami tulis ‘bermula’ kerana harga tersebut adalah untuk warna metalik, sementara warna premium adalah RM2,000 lebih tinggi untuk setiap varian.

Seperti dapat dilihat, kesemua varian kini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter petrol SkyActiv-G, menjana 162hp dan 213Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 6-kelajuan. Tiada lagi varian diesel dan AWD seperti sebelum ini.

Bergantung kepada varian, Mazda CX-30 2023 dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya untuk depan, DRL dan belakang. Varian High Plus Premium mendapat tambahan bumbung suria berkuasa.

Untuk dalaman, ciri standard pada semua varian adalah stereng multi-fungsi, cruise control, paparan instrumen 7-inci dan HUD berwarna. Varian High dan High Plus diberikan cermin pandang belakang self-dimming.

Untuk infotainmen pula, semua varian dilengkapi dengan paparan 8.8-inci dengan Commander Control, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lapan pembesar suara, dan dua soket USB. Hanya High Plus Premium mendapat paparan 360-darjah.

Dari segi keselamatan, CX-30 2023 didatangkan dengan ciri aktif seperti Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Driver Attention Assist dan Radar Cruise Control for Stop & Go.

Tempahan untuk Mazda CX-30 2023 kini dibuka, dan penghantaran dijangka bermula hujung bulan ini. CX-30 ini boleh didapati dengan warna seperti berikut: Machine Gray, Soul Red Crystal, Deep Crystal Blue, Platinum Quartz, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan Polymetal Gray.

Mazda CX-30 2022 kini dengan Ignite Edition, harga dari RM146k

DALAM siri penambahbaikan model-model Mazda, model CX-30 seterusnya menerima beberapa pembaharuan serta edisi Ignite Edition.

Sama seperti Mazda3, CX-30 Ignite Edition juga diberikan kemasa hitam pada perumah cermin sisi dan rim aloi 18-inci, serta tempat duduk balutan kulit Burgundy dan trim papan pemuka hitam.

Pembaharuan lain pada Mazda CX-30 2022 adalah soket USB pada konsol tengah dan perehat tangan, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk paparan infotainmen 8.8-inci.

Mazda CX-30 mengekalkan kelengkapan keselamatan i-Activsense untuk varian High dan ke atas. Pakej ini merangkumi Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) dengan Driver Monitoring and Cruising & Traffic Support (CTS).

Crossover ini boleh didapati dengan tujuh warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, Deep Crystal Blue, Polymetal Gray, dan Platinum Quartz.

Harga jualan Mazda CX-30 bermula pada RM145,759 termasuk pengurangan cukai SST 50 peratus yang sah sehingga 30 Jun ini.

Kesemua kenderaan Mazda juga hadir dengan jaminan serta pakej penyelenggaraan percuma lima tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.