Arkib Tag: cuti

Tol percuma sempena Deepavali mulai esok hingga Ahad

KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok, sempena cuti sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga Ahad, berakhir jam 11.59 malam.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PM umum tol percuma selama 4 hari, cuti am tambahan sempena Aidilfitri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran tol selama empat hari bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, inisiatif Tol Rahmah itu akan ditawarkan bermula 19 April hingga 21 April 2023, dan pada 24 April ini. Ia melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini akan dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing, serta memudahkan perancangan perjalanan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pengumuman sama, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung.

Sumber gambar: Facebook Anwar Ibrahim

“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

Tambah beliau, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri boleh mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.