Arkib Tag: cukai

Perodua ‘pulun’ 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022!

PERODUA berjaya mencatatkan 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022 lepas, iaitu jumlah tempahan tertinggi mereka dalam sejarah untuk satu hari.

Ini berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan kepada 31 Mac 2023 untuk kenderaan yang ditempah sehingga 30 Jun 2022, sebelum cukai SST dikenakan semula bermula 1 Julai.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.”

Perodua Axia

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tarikh akhir penghantaran kepada 31 Mac 2022 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” kata Dato’ Zainal.

Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit. Pada perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Kerajaan umum pengecualian cukai kenderaan OKU, EV hingga 2025

KERAJAAN menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, kenderaan motor elektrik akan menikmati pengecualian itu bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Jelas Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pengecualian bagaimanapun tidak terpakai untuk kenderaan hibrid mempunyai enjin pembakaran dalaman.

“Pengecualian fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau ‘fuel cell’ (sel bahan api),” katanya, semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, pengecualian fi LKM kenderaan motor milik OKU hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk mereka yang berkenaan.

Kenderaan tidak diubah suai pula, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.

“Kenderaan motor terbabit yang layak hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU berkaitan.

“OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar mempunyai anak OKU.

Ia meliputi suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU dengan syarat OKU terbabit juga telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Permohonan bagi pengecualian itu akan bermula pada 15 Mac 2022.

Pada Belanjawan 2022, kerajaan mengumumkan akan membayar sepenuhnya Lesen Kenderaan Motor bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.

EV juga mendapat rangsangan termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.

Indonesia jadi negara ketiga buat kiraan cukai berdasarkan pelepasan karbon, bukan lagi ikut kapasiti enjin

INDONESIA akan mengubah struktur cukai kenderaan mereka yang berdasarkan kapasiti enjin kepada pengiraan berdasarkan pelepasan karbon CO2 yang lebih terkini.

Sistem ini akan bermula pada 16 Oktober 2021 dan ini menjadikan Indonesia negara yang ketiga di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan sistem ini selepas Singapura dan Thailand.

Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sumber: Facebook

Ia sebahagian langkah menyesuaikan Cukai Barangan Mewah (Luxury Goods Tax) untuk kenderaan akan menjadikan struktur cukai Indonesia setaraf dengan negara maju ASEAN yang lain yang mula diumumkan pada 2019.

Jadi, apa perubahan yang akan berlaku dalam industri automotif negara jiran ini? Pertamanya, sedan dan SUV tidak akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana tiada lagi cukai berdasarkan jenis badan kenderaan dalam sistem baharu ini.

Kenderaan seperti MPV, SUV, dan hatchback sebelum ini dikenakan cukai antara 10 hingga 125 peratus bergantung kepada kapasiti enjin, manakala sedan dan kenderaan 4WD/AWD dikenakan cukai antara 30 hingga 125 peratus.

Sumber: bestsellingcarsblog.com

Ini menjelaskan kenapa Toyota Avanza dan Innova lebih banyak dijumpai di sana berbanding Honda Civic. Sistem baharu ini akan menjadikan model sedan seperti Civic dan Toyota Corolla lebih berdaya saing.

Sumber: Kompas Otomotif

Sementara itu, kenderaan Low Cost Green Cars (LCGC) seperti Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (kembar Perodua Axia) akan melihat sedikit kenaikan harga kerana akan dikenakan cukai 3 peratus.

LCGC di sini dikategorikan sebagai kereta bandar dengan kapasiti enjin bawah 1.2-liter dan mempunyai kecekapan bahan api sekurang-sekurangnya 20km/liter.

Untuk segmen MPV dan SUV Rendah (seperti Toyota Avanza dan Rush) juga akan mengalami kenaikan harga.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak akan merasai kenaikan harga tahun ini. Struktur cukai baharu akan melihatkan cukai antara 15 hingga 70 peratus untuk kenderaan penumpang dengan penekanan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV).

Untuk menikmati cukai terendah (15 peratus), kenderaan petrol harus memperoleh kecekapan bahan api minimum 15.5km/liter dan pelepasan karbon tidak lebih 150g/km, manakala diesel pula 17.5km/liter dengan pelepasan CO2 sama.

Pengurangan cukai seterusnya akan meningkat 5 peratus untuk setiap kenaikan 50g/km dan sehingga 25 peratus untuk tahap 250g/km.

Had kecekapan bahan api petrol bermula pada minimum 11.6 hingga 15.5 km/liter untuk lingkungan cukai 15 peratus, meningkat kepada 9.3 hingga 11.5 km/liter dan kemudiannya 9.2km/liter kebawah.

Untuk diesel: 13.1 hingga 17.5 km/liter, 10.5 hingga 13 km/liter, dan 10.5 km/liter ke bawah untuk lingkungan cukai yang sama.

Kenderaan elektrik Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), BEV, dan Biofuel akan dikenakan cukai minimum 15 peratus sahaja.

Secara umumnya, harga kenderaan hibrid juga akan meningkat, tetapi kenaikan akan diketepikanbagi pengeluar kenderaan yang telah memberi komitmen pelaburan sekurang-kurangnya Rp5 trilion (sekitar RM1.47 bilion) dalam pengeluaran kenderaan elektrik tempatan.

Sumber: Malay Mail

Malaysia bila lagi? Ya, satu persoalan menarik. Malangnya tanah air kita masih mengenakan struktur cukai zaman dinosaur yang berdasarkan kapasiti enjin.

Jangankan bab cukai, kurikulum sekolah memandu kita pun masih lagi menyuruh penunggang motosikal mengangkat tangan jika berhenti. Siapa antara anda yang pernah praktikkan cara ini semasa menunggang di jalan raya sebenar?