Arkib Tag: Cub Prix

Yamaha Tekhne AHM Motor Sports pertaruh 5 jentera untuk Cub Prix 2024

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports yang akan bertanding dalam kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024.

Pasukan itu merupakan kerjasama strategik antara HLYM dan Tekhne yang merupakan pengeluar alat ganti automatif. Ia diketuai oleh Kenny Chua selaku pengerusi pasukan dan ketua pegawai eksekutifnya, William Chua.

Majlis pelancaran yang diadakan di Kompleks HLYM di Sungai Buloh itu turut menyaksikan kemunculan barisan pelumba dan jentera baharu pasukan berkenaan.

Bagi saingan tahun ini,  Yamaha Tekhne AHM Motor Sports akan mempertaruhkan lima jentera, tiga untuk Kelas CP150 dan dua lagi untuk Kelas CP125.

Untuk Kelas CP150, cabaran di pentas perlumbaan itu akan digalas oleh Iqbal Amri Malik, Faiz Zekri dan Syukran Aizat, manakala Afizad Supaat dan Iqram Danish akan bersaing dalam Kelas CP125.

Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024 dijadual membuka tirainya pada 2 dan 3 Mac ini di Litar Jasin Bestari, Melaka.

Pelumba Cub Prix, Izzat Zaidi kritikal selepas terlibat kemalangan

PELUMBA CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md Salehan kini masih berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia, di Iskandar Puteri, kelmarin (Sabtu).

Menurut Pengurus Pasukan CKJ Racing, Amer Saad, pelumba berusia 27 tahun itu mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Beliau berkata, Izzat Zaidi kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas selesai menjalani pembedahan pada pukul 4 pagi tadi.

“Izzat masih lagi bergantung 100 peratus mesin bantuan pernafasan selepas selesai menjalani pembedahan.

“Menurut doktor, mereka akan tunggu dalam masa 48 jam untuk melihat sama ada masih terdapat pendarahan di paru-paru atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat di Facebook, dipercayai video kemalangan membabitkan pelumba tersebut menunjukkan jentera Yamaha yang dipacunya sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan di tepi litar.

Turut tular, hantaran isteri kepada Izzat Zaidi di Instagram milik ‘elyshanorizal’, memohon orang ramai agar mendoakan suaminya yang selesai menjalani pembedahan dan bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan.

Turut dimuat naik adalah sekeping gambar dipercayai Izzat Zaidi yang dipercayai baru selesai menjalani pembedahan.

Amer memberitahu, keluarga Izzat Zaidi termasuk isterinya kini berada di HSA dan menunggu kebenaran untuk melawat pelumba berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkenaan kemalangan tersebut.

Kami mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dikurniakan kesihatan seperti sedia kala.

PKP: Pusingan ketiga Cub Prix Malaysia di Litar Tangkak ditangguh

PEMINAT Kejuaraan Cub Prix Malaysia mungkin sedikit kecewa apabila perlumbaan pusingan ketiga pada 22 dan 23 Mei ini terpaksa ditangguhkan.

Keputusan diambil selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara sehingga 7 Jun depan.

Setakat ini, pihak penganjur masih belum menetapkan tarikh baharu bagi pusingan ketiga perlumbaan itu.

“Kalendar baharu bagi musim 2021 akan diumum dalam masa terdekat.

“Pihak penganjur meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan yang mungkin dialami,” memetik kenyataan penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

Pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor.

Pada pusingan kedua, pelumba Nazirul Izzat Mohd Bahauddin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya menaiki podium di tempat pertama.

Ia merupakan kemenangan pertama Nazirul sejak 2019 selepas terpaksa berehat selama enam bulan akibat mengalami kecederaan tangan.

Sementara itu, perlumbaan akhir CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team.

Bagi kategori Wira KBS, pelumba Petronas Sprinta Yamaha–31 Racing Mohd Aqil Danial Nasrul berjaya merangkul tempat pertama.