Arkib Tag: coupe hibrid

KLIMS2026: Honda Prelude 2026 rasmi dilancarkan, harga dari RM278,000

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan model terbaharu Honda Prelude 2026 serba baharu di KLIMS 2026.

Ditawarkan dalam varian tunggal, Honda Prelude 2026 dijual pada harga RM278,000.

Spesifikasi

Coupe Honda ini dipacu oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada:

  • enjin 2.0 liter DOHC kitaran Atkinson, kuasa 143 PS/189 Nm
  • motor elektrik 184 PS/315 Nm
  • transmisi e-CVT

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 8.2 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 188 km/j.

Prelude juga dilengkapi dengan teknologi S+ Shift yang digandingkan dengan ciri Active Sound Control.

Sistem tersebut mensimulasikan penukaran gear serta respons pendikit yang lebih pantas untuk dinamik pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Dimensi

Honda Prelude membawakan ukuran sepanjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,355 mm dengan jarak antara roda 2,605 mm.

Kapasiti ruang kargo pula adalah sebesar 264 liter.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci.

Kelengkapan

Secara standard, Prelude didatangkan dengan lampu LED automatik, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang kombinasi, serta lampu membelok aktif.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 10.2 inci, skrin infohibur sebesar 9 inci dengan sokongan Google terbina, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio Bose 8-pembesar suara.

Roda stereng dan tempat duduk depan diberikan balutan upholsteri kulit, sementara tempat duduk belakang mendapat balutan fabrik.

Ciri lain termasuklah:

  • sistem kawalan iklim dua zon automatik
  • tempat duduk pemandu larasan manual 6-tahap
  • tempat duduk penumpang larasan 4-tahap
  • sistem pencahayaan ambien
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Ciri keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Auto Brake Hold (ABH), Bantuan Mula Mendaki (HSA), serta kamera undur.

Ciri bantuan pemandu termaju pula merangkumi fungsi berikut:

  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDMS)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF)
  • Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS)
  • Sistem Informasi Titik Buta (BSIM)
  • Sistem Pemantauan Lintasan Trafik
  • Sistem Brek Pasca-Pelanggaran

Honda Prelude 2026 bakal dilancarkan di Jepun September ini

Setelah sekian lama sesi acah dibuat, Honda akhirnya mengesahkan model generasi keenam Prelude bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun pada September ini.

Honda Prelude pertama kali membuat kemunculan di persada dunia bersempena dengan acara pameran Japan Mobility Show 2023, dua tahun lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Lebih daripada sekadar sebuah Civic coupe

Honda menggunakan asas Civic untuk membangunkan model Prelude, namun dengan pendekatan rekaan yang lebih berbeza.

Pada model Prelude, ia menampilkan tayar berdiameter besar, jarak antara roda yang optimum serta rekaan keseluruhan yang diilhamkan daripada peluncur.

 

2. Kereta sports ideal

Honda tidak berniat untuk menjadikan Prelude jauh lebih sporti berbanding penawaran Civic Type R sedia ada.

Namun begitu, Prelude tetap disifatkan sebagai sebuah kereta sports yang ideal – menggandingkan keseimbangan antara prestasi dan praktikaliti.

Ini disumbangkan dengan penggunaan komponen Civic Type R seperti suspensi hadapan dua paksi dan angkup brek Brembo, serta ciri praktikaliti seperti konfigurasi 2+2, tempat duduk baris kedua boleh lipat, storan bawah lantai dan bukaan pintu tailgate yang besar.

 

3. Spesifikasi penuh masih lagi rahsia

Buat masa ini, Honda masih belum sedia mendedahkan spesifikasi penuh coupe hibrid ini.

Apa yang pasti, tiada penawaran transmisi manual akan disediakan.

Honda Prelude akan menggunakan tetapan nadi hibrid 2.0 liter dengan dua motor elektrik yang dipinjamkan daripada Civic Hybrid yang mana ia menghasilkan 200 hp dan 315 Nm.

Antara teknologi baharu termasuklah mod S+ Shift yang akan mensimulasikan penukaran gear – sama seperti apa yang wujud pada Hyundai Ioniq 5 N.

 

4. Ruang kabin

Biarpun menggunakan asas Civic, susun atur papan pemuka Prelude telah diberikan nafas tersendiri.

Selain skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin tengah 9 inci yang sama macam Civic, Prelude mengguna pakai rekaan roda stereng jenis bawah rata dengan penanda pukul 12, kemasan jahitan biru dan corong pendingin hawa yang lebih kecil.

Pada konsol tengah pula menempatkan butang pilihan operasi transmisi PRND, butang mod pemanduan serta butang khas untuk S+ yang telah disebutkan di atas.

 

5. Aksesori dah pun siap tersedia

Honda Jepun turut menawarkan pakej aksesori Sports Style untuk pemilik yang mahukan imej yang lebih garang.

Ia terdiri daripada trim jeriji mengikut warna badan, spoiler belakang hitam, perumah cermin sisi hitam, serta rim rekaan baharu saiz 19 inci.

Jika anda ingat, Honda Malaysia ada mempamerkan model Prelude Concept semasa acara pameran KLIMS tahun lepas.

Adakah ia petanda model Prelude ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia kelak?