Arkib Tag: c400

BMW C400 X ‘Golden Age’ NMoto kustom hampir menyerupai Vespa

SEKILAS pandang, skuter gaya retro ini tampak seperti produk keluaran Vespa. Namun percayakah anda bahawa jentera yang diberi jolokan ‘Golden Age’ ini asalnya adalah sebuah BMW C400 X?

Sukar untuk percaya namun inilah hasil tangan terbaharu syarikat kustom terkenal dari Florida, NMoto. Dengan bantuan Zillers Motorcycles, sebuah garaj motosikal kustom yang berpengkalan di Moscow, C400 X yang asalnya kelihatan seperti robot makhluk asing dari planet Cybertron kini kelihatan seperti Volkswagen Beetle beroda dua.

Walaupun begitu, Beetle bukanlah inspirasi untuk Golden Age. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMoto Alex Niznik, rekaan era pra-perang jentera ini diilhamkan oleh motosikal Henderson Streamliner yang dibina oleh O.Ray Courtney pada 1936.

Kit badan unik ini dihasilkan oleh Zillers dan diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon komposit bagi memastikan ia tidak terlalu berat. Keringanan kit ini, serta permukaannya yang licin dan aerodinamik, membolehkan Golden Age mencapai kelajuan maksimum 144km/j, kira-kira 6km/j lebih tinggi berbanding C400 X.

Bagaimanapun, NMoto tidak menyatakan sama ada enjin asal C400 X itu telah diubah suai atau tidak. Atas kertas, enjin silinder tunggal bersesaran 350cc dengan teknologi penyejukan cecair itu menjana 34hp pada 7,500rpm dan 35Nm tork pada 6,000rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear jenis CVT.

Menariknya, walaupun tampil dengan bentuk badan yang berbonjol, Golden Age dikatakan mempunyai sudut condong maksimum yang mencecah 35 darjah, lebih 1 darjah jika dibandingkan dengan sudut condong Harley-Davidson Sportster S.

Antara modifikasi lain yang telah dilakukan pada skuter ini termasuklah penggunaan subrangka hadapan dan belakang baharu dan perumah lampu isyarat membelok baharu. Haluan sistem ekzos turut diubah suai, di mana ekzos gas kini keluar melalui bukaan gril kecil pada bahagian bawah fairing belakang.

Semua kelengkapan dari kilang masih dikekalkan, termasuk ABS, Automatic Stability Control, paparan 6.5-inci dengan sambungan Bluetooth dan ruang storan di bawah tempat duduk. Tempat duduk itu mempunyai ciri pemanas dan sistem penguncian sentral.

Sasaran NMoto adalah untuk menawarkan 100 kit Golden Age, sama ada dalam versi yang telah siap dipasang atau kit DIY. Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti upholsteri kustom, suspensi udara, rak bagasi, sistem pencahayaan LED serta cermin sisi, lampu utama dan lampu membelok yang direka khusus berdasarkan pasaran yang berlainan.

BMW C400 X dan C400 GT pilihan terbaharu skuter premium di Malaysia, dari RM44k

PENAMBAHAN terbaharu BMW Motorrad di Malaysia adalah skuter premium C400 X dan C400 GT yang baru dilancarkan semalam.

Harga adalah seperti berikut:

C400 X: RM44,500
C400 GT: RM48,500

Harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dengan jaminan 3 tahun.

Untuk penampilan, C400 X didatangkan dengan trim berbentuk V, postur badan menegak, lampu depan LED dan DRL sebagai standard.

BMW C400 GT pula mendapat lampu LED berkembar, lampu DRL, dan perisai angin yang sesuai untuk tujuan kembara.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 350cc silinder tunggal yang menjana 34hp dan 35Nm tork, dengan kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT. Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro 5 dan dikawal dengan pendikit elektronik.

Terdapat juga torsional drivetrain swing arm yang mengurangkan gegaran.

Ciri standard lain pada C400 X dan GT adalah soket 12V, pengecas USB, paparan FTF berwarna 6.5-inci, fungsi BMW Motorrad Connected untuk sambungan telefon pintar, Automatic Stability Control yang ditambahbaik, dan angkup brek baharu dengan ABS.

Hanya satu warna untuk BMW C400 X iaitu Black Storm (Style Triple Black) baharu. Sementara itu, C400 GT hadir dengan tiga warna – Black Storm (Style Triple Black) baharu, Callisto Grey, dan Alpine White.