Arkib Tag: Bridgestone

Bridgestone jadi pembekal tayar rasmi perlumbaan GR86 Cup Malaysia

Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd diumumkan sebagai Rakan Pembekal Tayar Rasmi bagi perlumbaan jenama tunggal GR86 Cup Malaysia Series yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

GR86 Cup Malaysia Series akan menjadi perlumbaan sokongan bagi AUTOBACS Super GT 2025 pusingan Malaysia pada 26-28 Jun ini bertempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Kesemua jentera lumba GR86 Cup akan dipasangkan tayar berprestasi tinggi Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17 94W.

Tayar semi-slick tersebut boleh digunakan secara sah di atas jalan raya, dan dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan pemanduan berprestasi baik di dalam litar mahupun di luar.

Pelantikan Bridgestone sebagai Pembekal Tayar Rasmi bagi GR86 Cup Malaysia Series juga merupakan satu pengiktirafan terhadap jenama yang telah menyokong siri Super GT sejak awal 2000-an lagi termasuklah ketika era awal sebagai Kejuaraan Japan GT (JGTC).

Hanya 30 unit sahaja GR86 Cup yang akan diimport masuk dari Jepun (berdasarkan siapa cepat dia dapat), di mana kesemua unit dibina mematuhi peraturan kategori SP1 Malaysia Championship Series 2025.

Setiap satu berharga RM208,315 termasuk cukai jualan dan AP sukan permotoran.

Berikut merupakan spesifikasi jentera lumba Toyota GR86 Cup yang bakal digunakan dalam perlumbaan tersebut:

– enjin boxer 2.4 liter
– kuasa 228 hp @ 7,000 rpm, daya kilas 250 Nm @ 3,700 Nm
– transmisi manual enam-kelajuan
– sistem ekzos penuh Fujitsubo
– unit pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen
– klac plat tunggal Cusco
– sistem penyejuk transmisi
– angkup brek aluminium Advics empat omboh depan, angkup dua omboh belakang
– rotor brek two piece 345 x 30 mm depan, rotor 330 x 26 mm belakang
– penyerap hentak perlumbaan KW Racing
– sesendal suspensi TRD
– tayar Bridgestone Potenza RE-71RS 225/45R17
– rim aloi tempa Raxer RP10X 17 inci
– sangkar keselamatan rekaan khas, patuh piawaian “Speed B” dan “Speed SA” JAF
– tempat duduk bucket Bride ZETA
– tali pinggang keselamatan enam mata serasi dengan kelengkapan HANS
– sistem pemadam kebakaran

Rim Bridgestone Super R.A.P. dijelmakan semula sebagai Evo

SEKALI pandang, rim Mazda MX-5 (atau Miata) di atas nampak tidak ubah seperti rim kompang Perodua Axia yang dicat putih.

Tapi takkan lah kereta cantik macam Miata pakai rim kompang je? Sebenarnya ia adalah rim Bridgestone Super R.A.P. yang diperbuat daripada aluminium aloi. Bukan calang-calang punya rim ni!

Untuk pengetahuan anda, rim Super R.A.P. diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1987 sebagai rim yang ideal untuk pertandingan.

Tahun ini, ia dihasilkan semula dengan nama Super R.A.P. Evo sempena ulang tahun ke-60 penglibatan Bridgestone dalam sukan permotoran.

Menurut Japanese Nostalgic Car, rim Super R.A.P. Evo membuat kemunculan pertamanya di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu namun ketika itu ia masih dalam peringkat prototaip.

Bridgestone pada masa itu sedang membuat tinjauan untuk melihat PCD dan saiz yang patut dihasilkan. Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan dengan lebih 3,000 respons diterima.

Kini, rim Super R.A.P. Evo telah pun memasuki pasaran Jepun dalam saiz 15 inci, lebar 7.0J dan 7.5J, serta dua pilihan PCD iaitu 4×100 untuk MX-5/Miata/Roadster dan 4×114.3 untuk kereta-kereta lain. Harga bermula dari 48,000 yen (RM1,555) untuk PCD 114.3 dan 49,000 yen (RM1,587) untuk PCD 100.

Tetapi kenapa rim Super R.A.P. mempunyai rekaan seperti rim kompang? Rim ini asalnya direka untuk rali dan gymkhana, jadi lubang-lubang kecil yang anda lihat ini dikatakan dapat melindungi komponen brek dari batu dan lumpur lebih baik berbanding jejari.

Apa yang menarik, rim Super R.A.P. yang asal boleh didapati dalam saiz 13 dan 14 inci sebelum saiz 15 inci diperkenalkan di pasaran. Ia juga menggunakan binaan two piece berbanding Evo yang merupakan rim jenis one piece.

Bukan itu sahaja, Super R.A.P. yang asal yang juga boleh didapati dalam warna merah selain warna putih Racing Pearl White ini.