Arkib Tag: Brembo

Brembo bakal lancar brek motosikal ‘supersport’, lebih ringan dari Stylema

Brembo merupakan jenama pengeluar brek terkemuka dunia bagi kenderaan empat dan dua roda. 

Terbaru, Brembo bakal melancarkan produk terbaru menerusi Brembo Hypure yang akan memasuki pasaran global tidak lama lagi.

Menariknya, Brembo Hypure merupakan produk yang dibangunkan khas bagi motosikal berkuasa tinggi terutamanya motosikal ‘supersport’ seperti Yamaha R1, Ducati Panigale V4, Honda CBR1000RR dan Kawasaki Ninja ZX-10R. 

“Brek kaliper ini dibangunkan khas untuk jentera berprestasi tinggi terutamanya motosikal supersport.

“Kaliper ini adalah 10 peratus lebih ringan berbanding rujukan utama dalam pasaran (Brembo Stylema) dan berat kurang 900g,” jelas Ketua Pembangunan Teknikal Motosikal Brembo, Cosimo Facibeni.

Ketibaan Hypure telah pun dijangka apabila pengeluar Itali itu mengumumkan produk tersebut ketika di EICMA tahun lalu. 

Menariknya, Brembo turut memberitahu kaliper brek Hypure itu akan turut dipasang secara standard kepada sebuah jentera berprestasi tinggi namun masih belum dinyatakan jenama dan model dimaksudkan.

Bugatti Bolide menggunakan sistem brek karbon terbesar Brembo

DIKUASAKAN oleh enjin 8.0-liter quad turbo W16 yang menghamburkan 1,850 PS dan 1,850 Nm, Bugatti Bolide adalah sebuah kereta litar yang sangat pantas dan menakutkan.

Namun di litar lumba, kuasa semata-mata tidak mencukupi kerana untuk membuat catatan masa yang pantas, sebuah kereta juga memerlukan brek yang kuat dan tahan lama. Dan siapa lagi yang boleh menghasilkan brek terbaik di dunia kalau bukan Brembo.

Untuk projek Bolide, jurutera lumba Brembo bekerja rapat dengan Bugatti untuk membangunkan sistem brek unik yang dapat menandingi kuasa kuda dan tork kereta itu.

Selepas dua tahun menjalankan ujian dan pembangunan, akhirnya mereka berjaya menghasilkan sistem brek karbon-karbon yang dikatakan setanding dengan teknologi yang digunakan pada kereta Le Mans dan Formula 1.

Di hadapan, terdapat cakera karbon berukuran 390 x 37.5 mm yang diapit oleh dua kaliper monobloc lapan piston, masing-masing dengan empat pad prestasi tinggi setebal 25 mm. Menurut Bugatti, ini merupakan sistem brek yang terbesar pernah dihasilkan Brembo.

Di belakang pula, Buggati menggunakan dua angkup monobloc enam piston yang digandingkan dengan cakera karbon 390 x 34 mm. Angkup berkenaan juga mempunyai empat pad namun lebih nipis iaitu 24.5 mm. Walaupun tidak sebesar brek hadapan, ia mempunyai spesifikasi yang sama dengan kelas LMDh (Le Mans Daytona hybrid).

Kehadiran sistem brek karbon-karbon ini bukan sahaja memberikan Bolide kuasa membrek yang secukupnya, malah ia juga membantu mengurangkan berat keseluruhannya, dengan setiap cakera hanya seberat 3.175 kg.

Apa yang menarik, jurutera Brembo turut mereka bentuk saluran udara pada Bolide untuk membantu penyejukan sistem brek berkenaan. Hasilnya, 85% hingga 90% udara dihalakan ke arah cakera dan pad, manakala selebihnya ke arah angkup.

Kenapa harga Mini 3 Door 2021 cecah RM300 ribu?

KETERUJAAN ketika mengendalikan kenderaan merupakan antara aspek penting perlu ada dalam diri setiap pemandu.

Kenderaan kini bukan sekadar membawa anda dari lokasi “A” ke lokasi “B”, malah menjadi simbol kepada kemegahan, keseronokan, keghairahan dan banyak lagi.

Untuk itu, syarikat pengeluar kenderaan Mini sekali lagi tampil memperkenalkan semula model John Cooper Works 3 Door baharu di pasaran.

Rekaan luaran yang lebih kemas dan ‘garang’ pasti memukau setiap mata memandang.

Menerusi sudut pandang hadapan, John Cooper Works 3 Door dilengkapi gril radiator baharu lebih besar berbentuk heksagon.

Selain itu, ia turut dilengkapi lampu hadapan LED Adaptif yang dilitupi perumah dalaman baharu berwarna hitam.

Model ini juga hadir dengan rongga udara penyejukan untuk memastikan sistem pemanduan dan brek berada pada tahap suhu optimum apabila jentera dipandu dalam kondisi ‘sporty’.

Logo John Cooper Works yang eksklusif. – Foto oleh Mini

Warisan DNA perlumbaan John Cooper Works

Model John Cooper Works 3 Door baharu dikuasakan oleh enjin Mini Twin Power Turbo 2.0 liter 4 silinder.

Ia dibangunkan menerusi kepakaran John Cooper Works dalam bidang perlumbaan kereta.

Apa yang menarik, John Cooper Works 3 Door baharu mampu menjana 231 kuasa kuda dan tork sebanyak 320 Nm.

Pecutan 0-100 km/j pula hanya perlu mengambil masa selama 6.1 saat sahaja!

Jentera ini mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 246 km/j dengan penggunaan bahan api direkodkan pada paras 6.3 liter bagi setiap jarak perjalanan 100 kilometer.

Sistem brek Brembo

Sistem brek Brembo terbukti amat berkualiti tinggi selain memberi cengkaman yang luar biasa. – Foto oleh Mini

John Cooper Works 3 Door mempunyai sistem brek sport meliputi angkup brek empat piston berserta cakera yang diventilasi dari dalam.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan Suspensi Adaptif menggunakan teknologi redaman selektif frekuensi.

Sekaligus, ia menjamin keseimbangan yang optimum dari segi kelasakan dan keselesaan ketika memandu.

Berikut antara ciri-ciri istimewa lain Mini John Cooper Works 3 Door:

  • Stereng baharu dengan ruji horizontal serta iras baharu
  • Mini Yours Aluminium Interior Surface baharu
  • Skrin sentuh 8.8 inci dalam rekaan panel hitam
  • Program audio,
  • Navigasi
  • Fungsi Live Widget

Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Rebel Green, Midnight Black, serta White Silver.

Kesemua tawaran warna ini dipadankan dengan bumbung warna merah yang menawan.

Harga bagi sebuah Mini John Cooper Works 3 Door baharu adalah RM311,259.49.