Arkib Tag: boon siew

Honda EX-5 edisi terhad diperkenal – warna Extravagant Gold Metallic, RM5,198

BOON Siew Honda hari ini memperkenalkan Honda EX-5 edisi terhad untuk rakyat Malaysia. Sejak memasuki pasaran pada 1987, Honda EX-5 telah menjadi sebahagian besar dari mobiliti rakyat negara ini dengan ketahanan yang terbukti.

EX-5 edisi terhad ini hanya ditawarkan dalam warna khas Extravagant Gold Metallic sempena ulang tahun ke-35 model ini, dan hanya 2,000 unit akan ditawarkan.

Tiada perubahan dari sudut mekanikal, Honda EX-5 edisi terhad ini dipacu oleh enjin 110cc berkuasa 6.37kW pada 7,500rpm dan 8.62Nm tork pada 5,500rpm.

Enjin dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan.

Selain dari warna retro dan premium emas metalik itu, EX-5 ini juga didatangkan dengan rim jenis spoke berwarna sama.

Honda EX-5 edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM5,198 berserta jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Honda Beat 2022 terima warna baharu, harga RM5,765

BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.

Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).

Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda Rebel 500 terima warna baharu Pearl Organic Green, harga RM33k

SERENTAK dengan pengenalan CBR250RR dan Gold Wing GL1800, Boon Siew Honda juga melancarkan Rebel 500 untuk tahun 2022. Motosikal ini ditawarkan pada harga RM32,899 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Apa yang baharu? Rebel 500 2022 mendapat warna baharu Pearl Organic Green sebagai penambahan kepada Matte Jeans Blue Metallic dan Graphite Black sedia ada.

Honda Rebel 500 dikuasakan oleh enjin 471cc parallel-twin dengan sistem PGM-Fi yang mampu menjana 45.59hp pada 8,500rpm dan 43.3Nm tork pada 6,000rpm. Enjin ini – menurut Honda – telah ditala untuk lebih tork pada julat rpm rendah. Kuasa disalurkan ke roda dengan transmisi 6-kelajuan dan klac slipper.

Rebel 500 mendapat lampu LED depan dan belakang, serta kluster instrumen berdiameter 100mm yang ringkas serta memberikan paparan jelas. Ia mampu memaparkan maklumat seperti gear dan penggunaan bahan api.

Rebel 500 menggunakan fork teleskopik di depan berserta penyerap hentak Showa dengan nitrogen untuk keselesaan tunggangan. Brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan, manakala rim bersaiz 16-inci dengan tayar 130/90 (depan) dan 150/80 (belakang).

Tempat duduk Rebel 500 ini cukup mesra penunggang dengan ketinggian 690mm, dan mempunyai berat 190kg serta tangki minyak berkapasiti 11.2-liter.

Honda Rebel 500 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara.

Honda Gold Wing GL1800 dikemaskini untuk 2022, harga kini RM211k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan Gold Wing GL1800 baharu untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM210,888.

Harga ini meningkat sedikit berbanding sebelum ini pada RM208,800. Gold Wing GL1800 boleh didapati secara eksklusif dengan satu warna sahaja di negara ini iaitu Pearl Glare White, menawarkan tunggangan paling selesa untuk jarak jauh.

Gold Wing ini masih mengekalkan enjin flat-six yang menjadi identitinya, berkapasiti 1,833cc dan menghasilkan 124.7hp pada 5,500rpm serta 170Nm tork pada 4,500rpm.

Kuasa disalurkan melalui kotak gear dwi-klac DCT 7-kelajuan menggunakan shaf berserta Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Empat mod tunggangan disediakan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain, dimana setiap mod akan memberikan perbezaan pada rasa klac, kelajuan penukaran gear dan tahap rpm untuk upshift dan downshift.

Tour merupakan mod asas pada Gold Wing dengan keseimbangan pada semua aspek terutamanya keselesaan dan kuasa.

Dalam mod Sport, pecutan lebih kuat dan injap dibuka lebih agresif, manakala penyerap hentak ditala lebih keras. Sementara itu Econ pula mengutamakan penjimatan bahan api dan Rain ‘melembutkan’ penghantaran kuasa untuk lebih kawalan di permukaan licin atau basah.

Disebabkan Honda Gold Wing GL1800 sebuah motosikal besar dan berat, ia juga dilengkapi Hill Start Assist dan Idling Stop untuk memudahkan tunggangan. Ciri lain termasuklah Smart Key, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth, dan skrin TFT 7-inci.

Tempat duduk Gold Wing ini dibaluti kulit sintetik dan suede manakala sudut tempat duduk belakang diubah untuk lebih keselesaan perjalanan jauh.

Kapasiti kargo juga ditingkatkan sebanyak 11 liter pada kotak atas, menjadikan 61 liter kesemuanya.

Honda Gold Wing GL1800 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara dan ia dilindungi jaminan 2 tahun atau 20,000km.

CBR250RR dapat warna baharu Honda Trico, harga RM25,999

TIADA kemaskini besar bagi Honda CBR250RR untuk tahun depan 2022, dimana harganya kekal RM25,999 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Walaubagaimanapun, Boon Siew Honda telah membawakan warna baharu Honda Trico untuk sportbike ini yang menggantikan warna Winning Red dari 2020. Warna Honda Trico ini juga mirip dengan kemasan Honda CBR1000RR-R SP.

Dari segi mekanikal, CBR250RR kekal dipacu oleh enjin 249.7cc yang menjana 40.23hp pada 13,000rpm dan 25Nm tork pada 11,000rpm. Unit dengan PGM-Fi ini digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan berserta klac ‘assist and slipper’ serta quickshifter sebagai standard.

Rim adalah 17-inci di depan dan belakang, dengan tayar bersaiz 110/70 (depan) dan 140/70 (belakang). Suspensi pula adalah fork terbalik di depan, manakala monoshock di belakang dengan pelarasan preload. Brek ABS dwi-saluran juga dibekalkan sebagai standard.

Honda CBR250RR mempunyai tinggi pelana 780mm, dan dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 14.5-liter, serta berat keseluruhan 189kg.

Sportbike ini boleh didapati di cawangan Honda BigWing dan Impian X seluruh negara, dan hadir dengan jaminan 2 tahun atau 20,000km.