Arkib Tag: BMW Motorrad GS Challenge

BMW Motorrad GS Challenge 2023: Lima peserta wakili Malaysia di Namibia tahun depan

BMW Motorrad Malaysia telah menganjurkan acara BMW Motorrad GS Challenge edisi 2023 di Putrajaya pada 23 dan 24 September lalu.

Acara mendebarkan ini dihadiri lebih 180 pemilik dan peminat BMW Motorrad yang ingin menyaksikan penunggang jentera GS menguji kemahiran off-road masing-masing.

Terdapat pelbagai aktiviti dan cabaran off-road yang disediakan, termasuk laluan berliku ‘Follow the Trails’ yang mengujakan khusus buat para pemilik BMW G 310 GS.

Hari pertama acara menyaksikan 10 penunggang terbaik dipilih untuk mara ke pusingan yang seterusnya pada hari kedua, bagi merebut peluang menyertai jelajah ‘Follow the Trails’ (FTT) International BMW GS Trophy di Namibia pada tahun hadapan.

10 pemenang tersebut juga menerima hadiah-hadiah eksklusif daripada penaja tayar rasmi bagi acara BMW Motorrad GS Challenge 2023 iaitu Metzeler.

Selepas dua hari bersaing dengan sengit, lima finalis akhirnya berjaya mengatasi cabaran BMW Motorrad GS Challenge tahun ini seterusnya mendapat tempat untuk menyertai cabaran FTT Namibia 2024.

Lima pemenang tersebut adalah Asmawi Bin Ali, Diwaagar A/L Tambychandran, Affendy Syed Omar, Zulkifli Bin Zainal Abidin dan Azlan Shah Bin Ahmad Suhaimi.

BMW Motorrad GS Challenge Malaysia – 3 pemenang dibawa bertanding di Albania!

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini telah menghoskan lebih daripada 150 penunggang jentera kembara serta para peminat BMW Motorrad di acara BMW Motorrad GS Challenge.

Acara yang julung kali diadakan di Malaysia itu meraikan jiwa sebenar GS dengan pengalaman yang mengujakan di atas landasan luar jalan yang mencabar.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “BMW Motorrad GS Challenge ini mengimbau pertandingan popular kami, International GS Trophy yang mengambil tempat di lokasi-lokasi ekstrem di seluruh dunia.

Kami ingin membawakan sekali lagi keterujaan pengembaraan tersebut di Malaysia buat para penunggang GS di sini, susulan acara kelayakan serantau yang kami telah anjurkan pada tahun 2017 untuk memilih wakil-wakil kami bagi pertandingan tersebut.”

Cabaran ini telah menyaksikan para peserta menjalani ujian menunggang dan menavigasi di samping cabaran individu di atas landasan luar jalan berhalangan. Beberapa finalis terbaik telah terpilih untuk bersaing pada Hari ke-2 bagi merebut peluang eksklusif untuk menyertai “Follow the Trails” (FTT) Tour di Albania.

Acara yang merupakan sebahagian daripada acara International BMW GS Trophy itu akan berlangsung pada bulan Oktober ini. FTT memberi peluang kepada pemenang tersebut untuk menyusuri laluan seperti yang diguna oleh pesaing pertandingan International BMW GS Trophy 2022.

Setelah cabaran ini berlangsung selama dua hari, empat finalis telah muncul sebagai pemenang BMW Motorrad GS Challenge dan akan menuju ke Albania untuk menyertai FTT Tour yang eksklusif! Pemenang-pemenang tersebut ialah Muhairi bin Muhammad, Rosmadi bin Saad, Niranjan a/l Visuvalingam dan Elis Suriani binti Johari.