Arkib Tag: bmw m2

BMW M2 CS Edition EDGE 2026 dilancar di Jepun, 530PS, 40 Unit

BMW Japan memperkenalkan BMW M2 CS Edition EDGE 2026, iaitu model edisi terhad berasaskan BMW M2 CS yang dipertingkat menerusi pelbagai komponen M Performance.

Hanya 40 unit model ini untuk pasaran Jepun, dengan penghantaran kepada pelanggan dijadual bermula September 2026.

Model ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada keluarga BMW M High Performance, iaitu kategori model yang memberi tumpuan kepada prestasi litar.

Model M Performance pula lebih menekankan keseimbangan prestasi untuk kegunaan harian.

Lebih Ringan 30kg, Kuasa Meningkat ke 530PS

BMW M2 CS Edition EDGE menerima pelbagai penambahbaikan berbanding M2 standard.

Model ini 30kg lebih ringan, selain menghasilkan 530PS, iaitu peningkatan sekitar 50PS, manakala tork maksimum meningkat 50Nm kepada 650Nm.

Gabungan peningkatan kuasa dan pengurangan berat membolehkan kereta sport kompak ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat (spesifikasi Eropah).

Kuasa disalurkan menerusi enjin 3.0 liter enam silinder sebaris M TwinPower Turbo, yang menerima talaan baharu termasuk peningkatan tekanan boost bagi menghasilkan prestasi lebih tinggi.

Komponen CFRP dan M Performance Lebih Menyeluruh

Bagi mengurangkan berat serta meningkatkan aerodinamik, BMW menggunakan CFRP (Carbon Fiber Reinforced Plastic) pada beberapa komponen utama, termasuk:

  • Bumbung
  • Penutup ruang but
  • Perumah cermin sisi
  • Difuser belakang
  • Penutup enjin M Performance

Selain itu, model ini turut dilengkapi:

  • Bampar hadapan M Performance CFRP
  • Bampar belakang M Performance CFRP
  • Difuser belakang baharu
  • Sistem ekzos M Performance Sports Muffler
  • Brek karbon seramik dengan angkup merah

Lencana model di bahagian belakang pula menggunakan kemasan hitam dengan aksen merah bagi menyerlahkan identiti eksklusif edisi khas ini.

Kabin Berinspirasikan Kereta Lumba

Di ruang dalaman, BMW mengekalkan tema berorientasikan prestasi menerusi penggunaan material ringan dan kemasan premium.

Antara kelengkapan utama termasuk:

  • Stereng M Alcantara dengan penanda tengah
  • Kemasan M Carbon Fiber
  • Konsol tengah CFRP eksklusif
  • Pencahayaan logo CS
  • Tempat duduk hadapan M Carbon Bucket

Walaupun menampilkan fokus prestasi, BMW masih mengekalkan ruang tempat duduk belakang yang mampu memuatkan dua penumpang dewasa untuk kegunaan harian.

Sebagai identiti model edisi terhad, konsol tengah turut dipasang plak BMW M2 CS Edition EDGE.

Casis Ditala Semula untuk Prestasi Litar

Selain peningkatan kuasa, BMW turut melakukan talaan khusus pada casis bagi meningkatkan keupayaan di litar.

Antara perubahan yang dibuat ialah:

  • Cagak enjin khusus
  • Tetapan semula sistem DSC (Dynamic Stability Control)
  • Tetapan MDM (M Dynamic Mode) baharu
  • Suspensi direndahkan

Gabungan penambahbaikan itu memberikan respons pemanduan lebih tajam, kestabilan lebih tinggi ketika mengambil selekoh serta pengendalian yang lebih tepat ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Harga BMW M2 CS Edition EDGE di Jepun

BMW menetapkan harga BMW M2 CS Edition EDGE pada ¥16,630,000 (RM430,073), jauh lebih tinggi berbanding BMW M2 standard yang dijual pada ¥10,330,000 (RM267,650).

Sebanyak 20 unit ditawarkan dalam warna Black Sapphire Metallic, manakala baki 20 unit lagi hadir dengan kemasan M Brooklyn Grey Metallic.

Kesemua unit menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan M Steptronic.

Spesifikasi Ringkas BMW M2 CS Edition EDGE 2026

  • Enjin: 3.0 liter enam silinder sebaris M TwinPower Turbo
  • Kuasa maksimum: 530PS
  • Tork maksimum: 650Nm
  • Transmisi: Automatik 8 kelajuan M Steptronic
  • Pacuan: Roda belakang (RWD)
  • 0-100 km/j: 3.8 saat
  • Pengurangan berat: Sekitar 30kg
  • Unit ditawarkan: 40 unit
  • Warna: Black Sapphire Metallic (20 unit), M Brooklyn Grey Metallic (20 unit)

BMW M2 2026 dengan M Performance Track Kit catat rekod Nürburgring, atasi masa M2 CS

BMW M2 2026 yang dilengkapi M Performance Track Kit berjaya mencatat rekod baharu di litar Nürburgring Nordschleife.

Jentera itu merekodkan masa 7 minit 25.068 saat, sekali gus menjadi 0.5 saat lebih pantas berbanding BMW M2 CS.

Catatan masa tersebut dilakukan pada 22 Mei 2026 dan telah disahkan secara rasmi oleh TÜV Rheinland.

Pencapaian itu lebih mengagumkan kerana sesi catatan berlangsung dalam keadaan mencabar, termasuk suhu udara dan permukaan litar yang tinggi selain kewujudan kesan minyak di selekoh T13.

Casis dan aerodinamik baharu kunci prestasi

Rekod tersebut dicapai hasil pembangunan casis baharu yang dikhususkan untuk BMW M2, selain pakej aerodinamik menyeluruh yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi di litar.

Matlamat utama M Performance Track Kit ialah mengoptimumkan ketepatan pengendalian, kestabilan serta prestasi ketika dipandu di litar tertutup.

Ia ditujukan kepada pemilik BMW M yang mahukan pengalaman hari litar lebih serius tanpa mengorbankan penggunaan di jalan raya.

M Performance Track Kit untuk pemanduan litar

Antara komponen utama yang dibekalkan menerusi pakej tersebut ialah:

  • Pemisah hadapan boleh laras.
  • Sirip Aero pada bampar hadapan.
  • Sayap belakang jenis leher angsa dengan pelarasan manual serta mod Race Mode khas.
  • Suspensi dengan sistem penyerap hentak berinspirasikan sukan permotoran yang menerima kelulusan penggunaan jalan raya buat pertama kali.

Gabungan komponen itu membantu meningkatkan cengkaman, kestabilan pada kelajuan tinggi serta ketepatan ketika mengambil selekoh, sekali gus menjadikan BMW M2 lebih kompetitif di litar.

Dibangunkan bersama jurutera BMW M

Semua komponen dalam M Performance Track Kit dibangunkan bersama pasukan jurutera BMW M.

Pakej aerodinamik diuji dan dibangunkan di terowong angin BMW, manakala talaan keseluruhan casis dilakukan oleh Jörg Weidinger, pemandu pemegang rekod Nürburgring dan jurutera pembangunan casis BMW M.

Hasilnya ialah sebuah BMW M2 yang bukan sahaja lebih pantas, malah menawarkan tahap ketepatan stereng, kestabilan dan keyakinan yang lebih tinggi ketika dipandu menghampiri had maksimum di litar.

Rekod baharu membuktikan potensi M Performance Parts

Rekod 7:25.068 minit ini menunjukkan M Performance Track Kit bukan sekadar aksesori kosmetik, sebaliknya menawarkan peningkatan prestasi yang boleh diukur.

Dengan kelebihan 0.5 saat berbanding BMW M2 CS, pakej ini membuktikan keberkesanan talaan yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di litar.

Penambahbaikan pada casis, suspensi dan aerodinamik yang tepat mampu memberikan impak besar terhadap prestasi keseluruhan tanpa mengubah asas mekanikal kenderaan.

BMW M2 dengan enjin 3.0L enam silinder sebaris

Model yang diperkenalkan pada Jun 2024 ini dikuasakan enjin 2,993 cc enam silinder sebaris dengan teknologi M TwinPower Turbo.

Enjin tersebut menggunakan dua pengecas turbo mono-scroll, sistem suntikan terus High Precision Injection bertekanan sehingga 350 bar, selain dipadankan dengan teknologi VALVETRONIC dan Double-VANOS.

Kuasa yang dihamburkan sebanyak 480 hp pada 6,250 rpm, manakala tork mencecah 600 Nm dari 2,650 hingga 6,130 rpm bagi varian M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic.

Bagi versi manual enam kelajuan, tork maksimum ialah 550 Nm pada julat rpm yang sama.

Dari segi prestasi, BMW M2 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.0 saat dengan transmisi automatik atau 4.2 saat bagi versi manual.

Pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 12.9 saat untuk automatik dan 13.7 saat bagi manual.

Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j, namun boleh ditingkatkan kepada 285 km/j dengan pilihan M Driver’s Package.

BMW Malaysia rasmi lancarkan empat model berprestasi tinggi – harga dari RM650k

Selain pelancaran empat model pemasangan tempatan (CKD), BMW Malaysia turut sama melancarkan empat buah model berprestasi tinggi BMW M dengan spesifikasi yang telah dikemas kini.

Empat model yang dimaksudkan itu ialah BMW M2, BMW M3 Competition M xDrive, BMW M4 Competition Coupe M xDrive dan BMW M5 baharu.

BMW M2

Enjin enam silinder sebaris, 3.0 liter turbo
Kuasa 473 hp, daya kilas 600 Nm
Transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j 4.0 saat
Kelajuan maksimum 250 km/j
Sistem suspensi adaptif M, bumbung gentian karbon M, sistem brek M Compound, rim aloi M saiz 19 inci depan, 20 inci belakang
Skrin paparan 14.9 inci, skrin kluster 12.3 inci, sistem operasi BMW OS 8.5, grafik khas M
Roda stereng kulit M, jahitan kontras, butang merah M1/M2, sistem bunyi keliling Harman Kardon (14 pembesar suara), kemasan gentian karbon M, tali pinggang merah M, tempat duduk M Sport
Pakej Driving Assistant & Parking Assistant
Harga jualan RM650,800 (RM693,100 dengan pakej Service & Repair)

 

BMW M3 Competition M xDrive


Enjin enam silinder sebaris, 3.0 liter turbo
Kuasa 530 hp, daya kilas 650 Nm
Pecutan 0-100 km/j 3.5 saat
Transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan
Sistem pacuan semua roda xDrive
Sistem suspensi adaptif M, M Sport Differential, M Drive Professional, sistem brek M Compound, rim tempa 19 inci depan, 20 inci belakang
Skrin tengah 14.9 inci, skrin kluster 12.3 inci, sistem operasi BMW OS 8.5
Tempat duduK M Sport, tali pinggang keledar M, trim gentian karbon M, butang pintas M1/M2, roda stereng kulit M, sistem audio Harman Kardon 464W (16 pembesar suara)
Pakej Driving Assistant & Parking Assistant Plus
Harga jualan RM838,800 (RM890,900 dengan pakej Service & Repair)

 

BMW M4 Competition Coupe M xDrive


Enjin enam silinder sebaris, 3.0 liter turbo
Kuasa 530 hp, daya kilas 650 Nm
Pecutan 0-100 km/j 3.5 saat
Kelajuan maksimum 250 km/j
Transmisi automatik M Steptronic Sport lapan-kelajuan
Sistem pacuan semua roda xDrive
Sistem suspensi adaptif M, M Sport Differential, M Drive Professional, sistem brek M Compound, rim tempa 19 inci depan, 20 inci belakang
Skrin tengah 14.9 inci, skrin kluster 12.3 inci, skrin paparan head-up, BMW Operating System 8.5, grafik spesifik M
Roda stereng kulit M, penunjuk pukul 12, trim M Carbon Fibre, tempat duduk M Sport, sistem audio Harman Kardon
Pakej Driving Assistant & Parking Assistant Plus
Harga jualan RM870,800 (RM922,900 dengan pakej Service & Repair)

 

BMW M5 PHEV

Enjin V8 4.4 liter turbo berkembar 585 hp/750 Nm
Motor elektrik 197 hp/280 Nm
Kuasa keseluruhan 727 hp/1,000 Nm
Transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan
Sistem pacuan semua roda xDrive
Pecutan 0-100 km/j 3.5 saat
Kelajuan maksimum 250 km/j
Bateri lithium-ion 18.6 kWh, jarak gerak elektrik 69 km
Rim aloi M saiz 20 inci depan, 21 inci belakang
Sistem suspensi adaptif M, sistem stereng gandar belakang aktif
Skrin tengah 14.9 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, skrin paparan head-up, grafik spesifik M, sistem operasi BMW OS 8.5
Roda stereng M jenis bawah rata, penanda pukul 12, paddle shifter M, butang mod M1/M2/M Hybrid, tali pinggang merah M, tempat duduk M Multifunctional, sistem audio Bowers & Wilkins 655W (18 pembesar suara)
Harga jualan RM1,188,800 (RM1,247,900 dengan pakej Service & Repair)

BMW M2 (G87) dah masuk pasaran Malaysia – harga dari RM598,800, siap ada Pro Package

HANYA beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global, BMW M2 serba baharu akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia.

Menurut BMW Malaysia, model generasi G87 itu kini boleh ditempah secara dalam talian pada harga bermula dari RM598,800 untuk versi standard dan RM642,800 bagi versi Pro Package.

Tidak seperti M3 dan M4 yang mendapat gril besar, M2 masih memakai gril ‘kidney’ bersaiz biasa cuma ia telah direka semula dan mempunyai bilah-bilah mendatar. Bahagian bampar pula menampilkan apron dan salur masuk udara berbentuk segi empat bagi membantu penyejukan enjin dan brek.

Selain itu, M2 didatangkan dengan lampu LED adaptif, sayap depan yang diperbuat daripada aluminium dan ‘kubah kuasa’ (power dome) pada bonet. Gerbang roda yang lebar diisi dengan roda aloi dwiwarna 930 M berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.

Di belakang pula terdapat bibir spoiler yang meningkatkan ‘downforce’ serta ‘diffuser’ yang menempatkan paip ekzos berkembar.

Dari segi dimensi, M2 mempunyai ukuran panjang 4,580 mm, lebar 1,877 mm dan tinggi 1,403 mm, bermakna ia 119 mm lebih panjang, 33 mm lebih lebar dan 11 mm lebih rendah berbanding model generasi sebelum ini. Ukuran jarak roda pula bertambah sebanyak 54 mm kepada 2,747 mm.

Ruang kokpitnya pula menampilkan BMW Curved Display yang merangkumi paparan kawalan 14.9 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia mempunyai paparan spesifik M yang memuatkan BMW M iDrive generasi terkini.

Turut disertakan adalah kerusi M Sport, logo M yang bercahaya pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, stereng M dengan balutan kulit, pedal penukar gear, butang mod M berwarna merah dan ‘head-up display’.

M2 dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang mampu menghasilkan 453 hp dan 550 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, jentera pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan M Driver’s Package yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 285 km/j. Pakej ini boleh dipasang di mana-mana wakil pengedar BMW di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan Pro Package yang membawakan penambahan seperti berikut:

  • sistem brek M Compound dengan angkup merah
  • roda aloi berwarna hitam
  • pakej M High-gloss Shadowline dengan konten lanjutan
  • M Lights Shadowline
  • bumbung karbon
  • tali pinggang keledar M
  • trim gentian karbon
  • sistem audio Harman Kardon
BMW M2 dengan Pro Package

Pilihan warna luaran bagi M2 dan M2 Pro Package terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red.

Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan Leather Vernasca berwarna hitam, Leather Vernasca hitam dengan sulaman biru dan Leather Vernasca berwarna cognac dengan sulaman dekor.

BMW M2 2022 tidaklah buruk mana! 3.0-liter 6-silinder sebaris, 453hp, pilihan manual 6-kelajuan

TIDAKLAH seburuk seperti dari imej yang tersebar sebelum ini. Itulah yang mampu kami katakan mengenai BMW M2 2022 serba baharu.

Setelah imej rasmi M2 generasi kedua itu disiarkan bersama beberapa foto lain menunjukkan ia sedang beraksi di litar, ia nampak agak cantik. Tetapi kami masih lebih gemarkan rupa BMW M2 yang sebelum ini.

Baik, jom kita lihatkan perincian BMW M2 baharu ini. Di bawah hud depannya tersimpan enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris twin-turbo, mampu menghasilkan 453hp dan 550Nm tork.

Sebagai sebuah jentera M sejati, enjin S58 ini menghantar kuasa ke roda belakang sahaja, melalui pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik 8-kelajuan M Steptronic.

Pecutan 0-100 adalah 4.1 saat untuk transmisi manual, dan 3.9 saat bagi versi automatik. Ya, automatik pasti lebih pantas tapi adakah itu lebih penting berbanding keseronokan memandu dengan kotak gear manual H-pattern?

Kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j walaubagaimanapun ianya ditingkatkan kepada 284km/j dengan pakej M Driver. Sistem brek pula adalah 6-piston di depan dengan angkup berwarna biru metalik, tetapi anda juga boleh pilih kemasan brek berwarna merah.

Dari segi saiz, M2 baharu adalah sedikit lebih besar berbanding sebelumnya. Ia kini 4.1-inci lebih panjang, 1.3-inci lebih lebar, tetapi 0.3-inci lebih rendah.

Jarak roda pula dipanjangkan sebanyak 2.1-inci, sementara lebar gandar depan dan belakang ditambah, kini menyamai M4. Rim adalah aloi ringan bersaiz 19-inci di depan dan 20-inci di belakang dengan kemasan hitam.

Suspensi Adaptive M serta differential Active M didatangkan standard.

BMW M2 2022 menampilkan gril kidney berkembar BMW yang ‘duduk’ atas apron depan dengan tiga seksyen. Ruang-ruang udara ini penting bagi penyejukan komponen-komponen enjin serta brek.

Bahagian belakang pula menampilkan bampar dan diffuser yang lebih menyerlah dan bersegi, menjadi kontroversi dan bualan sejak akhir-akhir ini. Pelengkap kepada bahagian ini adalah ekzos quad yang menjadi identiti jentera M.

Kabin M2 dilengkapi dengan tempat duduk sport M baharu dengan perehat kepala dihiasi tulisan M bernyala. Terdapat pilihan tempat duduk gentian karbon ditawarkan buat kali pertama, sebahagian dari Carbon Package, yang juga merangkumi bumbung karbon untuk merendahkan titik graviti kereta ini.

Aspek teknologi pula merangkumi sepasang skrin masing-masing bersaiz 12.3-inci dan 14.9-inci, kawalan khas M, pelbagai pilihan konfigurasi, menu M Setup, serta M Traction Control.

BMW M2 2022 akan boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Alpine White, Sapphire metalik, Brooklyn Grey metalik, Toronto Red metalik, dan Zandvoort Blue baharu.

BMW M2 CS Racing dipilih jadi kereta keselamatan MotoGP 2022

SAINGAN MotoGP musim 2022 yang akan membuka tirainya pada Mac depan bakal menyaksikan kelibat BMW M2 CS Racing sebagai kereta keselamatan terbaharu kejohanan itu.

Ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah buat BMW dan MotoGP kerana ini adalah kali pertama kereta lumba sebenar dipilih untuk menggalas tugas itu. Bukan itu sahaja, pemilihan jentera istimewa ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 divisyen BMW M.

Oleh kerana ia asalnya memang dibangunkan untuk digunakan di litar lumba, M2 CS Racing hanya memerlukan beberapa modifikasi untuk ditransformasikan menjadi kereta keselamatan MotoGP. Ini termasuk penambahan bar lampu di atas bumbung dan lampu tambahan pada bampar hadapan.

Selain itu, ia juga dipakaikan livery khas yang menampilkan warna tradisi BMW M iaitu biru muda, biru gelap dan merah, serta logo ulang tahun khas divisyen itu pada bahagian bumbung.

Dibangunkan berasaskan M2 CS, versi Racing ini didatangkan standard dengan kelengkapan yang spesifik untuk kegunaan sukan permotoran seperti Limited-Slip Differential (LSD) mekanikal dengan fungsi pre-load dan sistem penyejukan berasingan, aci pacuan (drive shaft) yang dihasilkan khas serta bumbung yang diperbuat dairpada karbon.

Kuasa dibekalkan oleh enjin S55 3.0-liter enam silinder turbo yang turut digunakan oleh M2 Competition dan M2 CS, namun dalam versi ini ia ditala bagi menghasilkan 450hp dan 550Nm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang dinaik taraf dengan perisian khas.

Selain M2 CS Racing, barisan jentera BMW M untuk MotoGP tahun ini juga akan disertai oleh M3 Competition, M4 Competition, M5 CS, M8 Competition Gran Coupe, X5 M Competition dan dua buah superbike M 1000 RR.

Sementara itu, i4 M50 pula akan digunakan sebagai kereta keselamatan dalam MotoE World Cup yang merupakan program sokongan MotoGP.