Arkib Tag: beg udara

Mitsubishi Xpander facelift kini sudah ada enam beg udara!

Mitsubishi mengemas kini penawaran bagi model MPV popular Xpander untuk pasaran Indonesia.

Tiada sebarang perubahan dari segi kuasa, bermakna Xpander masih lagi kekal dengan enjin 1.5 liter MIVEC yang mampu menjana kuasa 104 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm.

Terdapat pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.

Namun begitu, terdapat satu perubahan penting di mana Xpander versi standard kini hadir dengan fungsi Active Yaw Control (AYC) yang sebelum ini dikhaskan untuk model Xpander Cross sahaja.

Dari segi rupa luaran, Mitsubishi Xpander facelift ini menampilkan beberapa perubahan kecil.

Seperti contoh, unit lampu utama berbentuk T itu diberikan efek asap, diikuti dengan struktur jeriji yang dikemaskan dengan jalur perak melintang dan bukaan menegak pada bahagian bawah.

Selain itu, bampar depan dan belakang juga telah direka semula, manakala keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi 17 inci baharu.

Varian Xpander Cross pula membawakan elemen yang lebih agresif dan lasak, seperti rekaan panel jeriji berbentuk huruf X, bampar hadapan dan belakang yang lebih nampak lasak, serta rekaan rim 17 inci yang lebih eksklusif.

Untuk ruang kabin, Xpander dan Xpander Cross didatangkan dengan beberapa pembaharuan seperti skrin kluster digital lapan inci dan skrin tengah 10 inci lengkap dengan butang fungsi kapasitif.

Tempat duduk baris kedua pula didatangkan dengan ciri perehat tangan di bahagian tengah siap dengan tempat meletak botol.

Tidak cukup dengan itu, Xpander facelift kini didatangkan dengan enam beg udara, satu perubahan yang amat dialu-alukan walaupun ia terhad kepada varian yang paling tinggi.

Di negara jiran, Mitsubishi Xpander dijual pada harga bermula dari Rp 270,100,000 (RM70,642) hingga Rp 337,800,000 (RM88,348).

Manakala Xpander Cross pula dijual pada harga Rp 338,000,000 (RM88,401) hingga Rp 364,200,000 (RM95,253).

 

Mitsubishi Xpander 2025 facelift

Mitsubishi Xpander Cross 2025 facelift

Chevrolet beri peringatan untuk recall beg udara Takata di Malaysia

Chevrolet telah menyiarkan notis peringatan pemanggilan semula (recall) melibatkan 3,725 unit kenderaan Chevrolet dan Saab di Malaysia. Notis pemanggilan semula itu mula dikeluarkan pada Jun tahun lepas.

Chevrolet Orlando. Gambar oleh: Autoworld

Menurut syarikat itu, pemanggilan semula tersebut bagi menggantikan inflator beg udara pemandu Takata yang bermasalah.

Model-model yang terlibat adalah:

  • Chevrolet Cruze (2010-2015)
  • Chevrolet Orlando (2013-2015)
  • Chevrolet Sonic (2013-2014)
  • Chevrolet Trax (2017)
  • Saab 9-3 (2007)
Saab 9-3. Gambar oleh: Autopedia

Seperti yang diketengahkan tahun lepas, syarikat itu berkata kenderaan yang terlibat berkemungkinan mempunyai inflator beg udara yang mengandungi tablet PSAN (phase-stabilized ammonium nitrate) yang tidak dikeluarkan lembapan padanya.

Chevrolet Cruze

Ia berkemungkinan mengalami perubahan selepas terdedah kepada suhu tinggi dan kitaran suhu di kawasan berkelembapan tinggi.

Hasilnya, inflator itu mungkin pecah jika gas terhasil melebihi kemampuan inflator untuk mengeluarkan gas itu. Ini menyebabkan tekanan meningkat melebihi kekuatan mekanikal inflator itu, menjurus kepada pecahnya perumah inflator.

Chevrolet Sonic. Gambar oleh: Yahoo News Malaysia

Seorang jurucakap untuk Chevrolet Sales Thailand berkata syarikatnya bertanggungjawab untuk kempen pemanggilan semula di rantau Asia Tenggara. Katanya, kadar respon di Malaysia adalah di bawah jangkaan, maka sebab itulah ada peringatan semula.

Syarikat itu berkata mereka bimbang memandangkan kematian boleh berlaku jika beg udara yang bermasalah itu meletup semasa kemalangan. Mereka mendesak agar pemilik kenderaan-kenderan ini menggantikan beg udara mereka.

“Kami berharap pengguna jalan raya di Malaysia berkongsi berita ini, atau sebarkan kepada rakan-rakan serta insan tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet.

“Pemilik Chevrolet terlibat yang belum mendapat notis atau panggilan disebabkan data yang tidak dikemas kini digalakkan menghubungi pasukan talian kami atau layari laman web pemanggilan semula ini.

“Untuk keselamatan anda dan insan tersayang, lebih baik untuk menukarnya sebelum musim perayaan bermula,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Chevrolet, memandangkan kenderaan yang terlibat bukanlah baharu, ianya menjadi sukar untuk mengesan pemilik memandangkan data yang tidak dikemas kini. Ini lebih buruk lagi disebabkan tiadanya wakil rasmi Chevrolet di Malaysia.

Bagi mereka yang terlibat atau ingin membuat semakan, boleh terus ke laman web atau hubungi 011-3129-9963 atau 011-3129-9965.

Kenapa kereta lumba tiada beg udara?

TEKNOLOGI dalam dunia automotif boleh diumpamakan seperti air sungai yang sentiasa mengalir.

Ia tidak akan berhenti malah, terus berkembang pesat dari masa ke masa.

Antara teknologi sering menerima pembaharuan sudah pasti membabitkan elemen keselamatan.

Maka, tidak keterlaluan jika kita mengandaikan setiap kereta keluaran baharu ‘wajib’ mempunyai sistem keselamatan tinggi termasuk penggunaan beg udara.

Beg udara keselamatan terbukti dapat mengurangkan risiko kecederaan dan maut kepada pemandu serta penumpang.

Bagaimanapun, pernahkah anda terfikir mengapa beg udara keselamatan tidak dipasang pada kereta lumba?

Terdapat beberapa sebab mengapa kereta lumba tidak dilengkapi beg udara.

Berikut antara jawapan telah kami sediakan untuk tatapan anda!

‘Letupan’ beg udara berbahaya

Kereta lumba seperti Formula Satu (F1) terkenal dengan corak perlumbaan agresif dan kelajuan memukau.

Namun, ketahuilah jentera F1 tidak memilki beg udara.

Hal ini kerana kedudukan pemandu sangat dekat dengan stereng jentera sekaligus menyukarkan usaha menyelamatkan diri jika berdepan kemalangan.

Jentera perlumbaan rally juga sama seperti F1. Tiada beg udara keselamatan tetapi dilengkapi roll cage.

Fungsi komponen ini adalah bagi menghalang daya luar daripada ‘sampai’ kepada pemandu.

Cesi luar kereta akan menyerap impak hentakan manakala, roll cage melindungi pemandu dari hentaman.

Selain itu, penggunaan tali pinggang keledar 6 poin turut membantu mengekalkan badan pemandu pada kerusi.

Berdasarkan peraturan, semua pemandu lumba diwajibkan memakai topi keledar yang telah diluluskan.

Topi keledar ini lebih dikenali dengan nama Head And Neck Support atau HANS yang bertindak melindungi kepala sewaktu berlaku kemalangan.