Arkib Tag: beat

Honda BeAT 2023 – empat warna cun, harga dari RM5,990

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda BeAT, skuter bersaiz kecil yang dilancarkan di Malaysia pada 2015.

Untuk model 2023, BeAT akan ditawarkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Setiap warna dipadankan dengan grafik bertemakan ‘abstrak moden’ yang direka untuk menarik minat pembeli dari kalangan golongan muda.

Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Honda bermula 30 Jun 2023. Harga jualannya bermula dari RM5,990 dan ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. BeAT masih dikuasakan oleh enjin 109.5 cc silinder tunggal dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

 

Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 4 ini dan mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 59.1 km per liter.

BeAT mempunyai rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) di mana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Selain itu, BeAT didatangkan dengan ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED, kunci brek parkir dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 terima warna baharu, harga RM5,765

BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.

Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).

Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).