Arkib Tag: baucar

Modenas: Mangsa banjir boleh guna baucar RM1000 beli motosikal baharu

PEMILIK motosikal Modenas berdepan kejadian banjir Disember tahun lalu layak menerima Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bernilai RM1,000.

Baucar tersebut boleh ditebus bagi proses membaiki motosikal yang rosak akibat banjir.

Modenas berkata, baucar tersebut juga boleh diguna sebagai bayaran mendapatkan motosikal baharu jika kenderaan sebelum ini rosak secara keseluruhan (total loss).

Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk memudahkan urusan mereka yang berdepan cabaran pasca banjir.

“Kami semua di Modenas berusaha sedaya upaya menyokong usaha murni seperti ini.

“Dengan sedikit usaha ini, kami berharap agar mangsa dapat bangkit untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang,” katanya.

Motosikal yang tenggelam dalam banjir perlu diperbaiki segera bagi mengelak kerosakan lebih serius. – Foto hiasan ihsan Modenas

Pada Disember tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian banjir di beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan negeri Pantai Timur.

Bencana menyebabkan penduduk berdepan kerugian bukan sahaja melibatkan peralatan dalam rumah tetapi termasuk kenderaan seperti kereta dan motosikal.

Terdahulu, Modenas memaklumkan turut menawarkan diskaun tambahan 25 peratus untuk semua caj buruh dan kos alat ganti.

Untuk sebarang pertanyaan, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-181.

Modenas turut boleh dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp Careline di 019-570 8135 atau layari pautan http://modenas.my/v2/baucar-diskaun-automotif/.

Perodua selesai baiki lebih 300 kenderaan rosak akibat banjir

INISIATIF Baucar Diskaun Automotif diumum kerajaan baru-baru ini mendapat reaksi positif ramai pihak.

Perodua antara yang memuji langkah itu yang disifatkan membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah itu juga membuktikan keprihantinan kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan.

Jelasnya, Perodua telah menerima ribuan kenderaan yang rosak akibat banjir dan bantuan dihulur kerajaan sudah pasti melancarkan segala proses pembaikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu mangsa banjir. – Foto oleh Engear

“Perodua berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam membantu mangsa.

“1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaiki,” kata Zainal Abidin.

Minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 bagi membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan.

Baucar boleh digunakan bagi membuat tuntutan terhadap pembaikan serta penggantian kenderaan persendirian yang rosak.

Pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis Perodua yang sah seluruh negara sehingga 31 Mac 2022.

Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, Perodua juga telah melancarkan Program Bantuan Banjir Perodua pada 19 Disember 2021 selain menyediakan hab khas pembaikan banjir di Shah Alam.

Program Bantuan Banjir Perodua merangkumi diskaun 50 peratus alat ganti standard selain kos upah dan perkhidmatan tunda percuma.