Arkib Tag: batang kali

Tragedi tanah runtuh: Jalan Batang Kali ditutup setahun

Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, tempat berlakunya tragedi tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, meskipun kejadian tanah runtuh itu tidak menjejaskan jalan terbabit, namun ia perlu ditutup bagi mengelak sebarang risiko.

Bagaimanapun beliau berkata, JKR ada membuat jalan alternatif untuk laluan pengguna di kawasan terjejas.

“Jalan tu sebenarnya ok, tapi kita tak berani, oleh sebab itu, kita masih tutup hinggalah pembaikan cerun dibuat,” katanya.

“Biasanya pembaikan cerun setahun baru siap, tapi buat masa ni kita ada jalan alternatif… jalan alternatif akan dibuat oleh JKR.”

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh, Wan Ahmad Uzir berkata, ia berlaku disebabkan terdapatnya aliran air bawah tanah yang wujud secara semula jadi.

Katanya, berdasarkan siasatan oleh JKR, tiada sebarang aliran pengairan haram daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Kelmarin, JKR berkata, siasatannya mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh telah meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

Pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

Tanah runtuh: JKR nasihat guna laluan alternatif

Laluan Jalan Batang Kali–Genting, Hulu Selangor kini ditutup atas arahan pihak polis berikutan insiden tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dengan ketinggian 70 meter.

Sumber: Malay Mail

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.

“Jalan B66 kini telah ditutup atas arahan pihak Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang awam boleh menggunakan laluan seperti lakaran infografik di lampiran sebagai laluan alternatif buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekahan terbuka pada permukaan ‘pavement’ (permukaan) jalan.

“JKR dan pelbagai agensi kini menumpukan kepada misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian,” tambahnya.

Menurutnya, pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima,” ujarnya.

Jalan Batang Kali-Genting Highlands bakal muncul dalam Assetto Corsa

BUAT enthusiasts atau pemandu tegar di Malaysia, beberapa laluan sering menjadi pilihan seperti Kuala Kubu Bharu, Sg. Koyan menuju Cameron Highlands, Ulu Yam, dan Batang Kali menuju Genting Highlands.

Tidak lama lagi, cara untuk ‘menikmati’ jalan-jalan ini tidak akan terhad kepada memandu kereta sebenar sahaja, sebaliknya boleh dibuat dari rumah sahaja. Ini kerana ‘litar-litar’ ini akan direalisasikan dalam permainan simulasi Assetto Corsa.

Dibangunkan oleh AntuDusun melalui Project Kaido, mereka berkongsi rekaan-rekaan mereka ke laman Facebook Malaysian Touge Simracing dan menyenaraikan lokasi-lokasi popular seperti Simpang Pulai, Sumpitan, dan Ulu Yam.

Terbaharu, mereka menayangkan video ‘litar’ terbaharu iaitu laluan Batang Kali-Genting Highlands atau juga dikenali sebagai Ulu Yam.

Selain bentuk dan selekoh jalan yang disimulasikan sebaik mungkin, perincian turut ditambah seperti papan-papan tanda, latar belakang gunung-ganang, garisan kuning jalan, malah lengkap dengan sekatan jalan raya (SJR) serta pondok polis!

Jangan lupa perlahankan kereta anda di sini, barulah real, bukan?

Bagi kami, Project Kaido bukan sahaja satu platform terbaik untuk menyerlahkan bakat pereka grafik Malaysia, malah ia akan menjadikan sesi pemanduan hujung minggu lebih mudah dan selamat.

Tidak semestinya kita perlu memandu keluar kereta, lebih-lebih lagi dengan meningkatnya insiden kemalangan di Litar Ulu Yamburgring sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, tunjukkan sokongan anda dengan melanggan kepada pautan Patreon mereka dengan bayaran hanya RM12. Semoga mereka boleh membawakan lebih banyak laluan dan ‘litar’ ke dunia simulasi Assetto Corsa di masa depan.