Arkib Tag: basikal

Decathlon hasilkan e-bike dengan kerangka aluminium, jarak gerak 160 km

Siapa yang tidak kenal dengan jenama Decathlon?

Bermacam jenis barangan sukan dan aktiviti riadah anda boleh dapatkan di kedai tersebut, dengan harga jualan yang lebih mampu milik.

 

Jangan tak tahu, Decathlon juga kini mula menawarkan produk berbentuk basikal berkuasa elektrik menerusi jenama Van Rysel.

Basikal yang digelar sebagai Van Rysel E-EDR AF Apex ini merupakan percubaan pertama Decathlon di dalam segmen basikal jalanan elektrik ultra-ringan di mana ia menggunakan kerangka aluminium dengan berat sekitar 14 kg sahaja.


Bukan itu sahaja, selain daripada aluminium basikal ini menggunakan komponen fork hadapan yang diperbuat daripada bahan karbon, bertujuan untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah.

Ia menggunakan motor elektrik Mahle X35 berkuasa 250W (0.34 hp) dan daya kilas 250 Nm dengan tiga tetapan bantuan, diikuti dengan sistem gear Sram APEX 12 nisbah kelajuan, dibantu dengan sistem brek hidraulik Sram APEX.


Pek bateri 250Wh 36 voltan itu membenarkan jarak sejauh 160 km untuk sekali cas penuh.

Menurut Decathlon, e-bike baharu ini telah menjalani ujian menyeluruh dalam dunia sebenar untuk tempoh enam bulan.

Decathlon meletakkan tanda harga jualan Van Rysel E-EDR AF Apex ini bermula dari 2,800 euro (RM14,318).

KTMB lancar XKB, boleh usung basikal naik tren!

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terbaharu mereka iaitu tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).

Melalui perkhidmatan baharu ini, para penggemar sukan berbasikal boleh membawa basikal terus ke destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman unik kepada peminat aktiviti berbasikal sekaligus memenuhi permintaan penumpang yang ingin menikmati perjalanan menggunakan lokomotif diesel.

Ketika majlis pelancaran baru-baru ini, seramai 150 orang peserta telah dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim. Seterusnya, mereka berbasikal sejauh 49km dari Stesen Tanjung Malim melalui Sungai Bil – Behrang Ulu – Sungai Dar sebelum berpatah semula ke Stesen Tanjung Malim.

Koc basikal yang telah diubahsuai ini mampu memuatkan kira kira 60 basikal pada satu-satu masa. Buat masa ini, pihak KTMB mempunyai tiga buah koc XKB.

Pemilik basikal juga tidak perlu khuatir kerana basikal-basikal ini akan diletakkan pada alatan khusus bagi memastikan keselamatan ketika perjalanan.

Pihak KTMB juga bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan sekiranya para pelanggan ingin menyewa koc basikal ini bersama dengan koc tempat duduk serta tempat tidur (ADNS) mahupun koc yang mempunyai kafeteria. Kadar sewaan XKB bergantung kepada pilihan pakej pelanggan serta jarak perjalanan tren.

Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pihak KTMB di talian 03-2263 1077 atau emel kepada chartertrain@ktmb.com.my

Inilah basikal Datuk Azizulhasni Awang yang membantunya memenangi pingat perak Olimpik 2020

DATUK Azizulhasni Awang semalam menghadiahkan pingat perak buat negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, menduduki tempat kedua perlumbaan akhir acara keirin di Velodrom Izu.

Pelumba Great Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Gambar: Malay Mail

Untuk bersaing di acara terulung dunia dan memperoleh pencapaian membanggakan, pastilah alatan yang digunakan bukan biasa-biasa. Basikal yang yang digunakan Azizulhasni dikhabarkan bernilai kira-kira RM300,000.

Dibangunkan di Oxon, United Kingdom, basikal Vorteq WX-R ini menggunakan teknologi R&D seperti Formula Satu dan apa-apa yang berkaitan F1 pasti bukan murah.

Gambar: WX-R.com

Vorteq WX-R mempunyai tempat duduk karbon sepenuhnya, manakala bar hendal dibangunkan menggunakan simulasi FEA (Finite Element Analysis) dan CFD (Computational Fluid Dynamics).

Gambar: WX-R.com

Ia juga diuji dalam terowong angin serta alat penguji ketegaran agar ia mempunyai keseimbangan terbaik dari segi daya seretan aerodinamik, berat, dan kekerasan. Ini penting bagi memastikan atlet yang bersaing di peringkat Olimpik mendapat prestasi terbaik.

Bar yang selebar 30cm dengan pemegang pendek meletakkan penunggang pada posisi aerodinamik paling optima. Aspek aerodinamik penting agar atlet atau penunggang mendapat kelajuan maksima dari kayuhan mereka.

Basikal Vorteq WX-R untuk Azizulhasni adalah kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dan sebuah syarikat penyelidikan Totalsim Ltd dengan kos R&D bernilai lebih RM13 juta.

Tahniah di atas pingat perak, Datuk! Jumpa di Paris pada 2024!

Riadah atas lebuh raya belum siap, betul cari penyakit!

TINDAKAN individu melakukan aktiviti jogging di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang masih dalam pembinaan mendapat kecaman di media sosial.

Rata-rata orang ramai menyifatkan tindakan sebagai kurang bijak kerana ia mampu mengundang bahaya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Memetik hantaran Brainless Driver Malaysia Edition di Facebook, ada juga individu yang turut melakukan aktiviti berbasikal di kawasan tersebut.

“Apa ada hal. Kubur masing-masing kan,” tulis pemilik akaun Facebook tersebut.

Seorang wanita kelihatan sedang berjogging di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang masih dalam pembinaan. – Foto ihsan Facebook/Brainless Driver Malaysia Edition

Sementara itu, pihak SUKE menaikkan papan tanda amaran kepada orang ramai untuk tidak memasuki kawasan pembinaan.

Pada masa sama, pihak SUKE memaklumkan tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana individu jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Insiden kemalangan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, pernah berlaku insiden kemalangan di tapak pembinaan lebuh raya dikendalikan SUKE.

Mac lalu, beberapa pekerja asing maut di tapak pembinaan SUKE dekat Puncak Banyan, Cheras.

Insiden berlaku apabila komponen sebuah kren ‘launcher’ terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya terbabit.

Insiden turut menyaksikan seorang pengguna jalan raya cedera apabila kenderaan dipandunya ditimpa komponen kren terbabit.