Arkib Tag: Bas Ekspres

Pemandu bas ekspres turunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan akan disaman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah memberi amaran kepada pemandu bas ekspres supaya tidak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan.

Menurut pengarahnya Stien Van Lutam, mana-mana pemandu bas ekspres yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan saman serta-merta.

Tambahnya, setakat ini dua kesalahan telah dikesan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dilancarkan mulai 24 Mac hingga 8 April ini.

“Anggota JPJ yang melakukan penyamaran mengesan pemandu bas ekspres berusia 29 tahun dalam perjalanan dari Ipoh ke Sungai Petani telah bertindak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan atau di luar terminal bas.

“Seorang lagi pemandu bas ekspres berusia 27 tahun turut dikesan melakukan kesalahan sama ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kelantan, selain memotong di garisan berkembar,” katanya.

Beliau berkata tindakan menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan bukan sahaja membahayakan penumpang, tetapi juga menjadi punca kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Stien berkata operasi khas selama 14 hari itu membabitkan 271 anggota JPJ di seluruh negeri yang dibekukan cuti mereka bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan pengguna jalan raya, di samping dalam usaha meminimunkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Beliau berkata JPJ akan terus memberi keutamaan kepada sembilan kesalahan utama antaranya tidak mematuhi peraturan had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit.

“Pengguna yang pulang ke kampung nanti dinasihatkan agar bersabar dalam pemanduan, tidak beremosi dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Tiada pemandu kedua, JPJ saman 25 bas ekspres, persiaran

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 25 bas ekspres dan persiaran kerana kesalahan tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam berterusan, dalam operasi khas di tiga plaza tol di negeri ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini, JPJ memaklumkan operasi bermula 10 malam semalam dan berakhir 7 pagi itu dilaksanakan di Plaza Tol Juru (kedua-dua arah), Plaza Tol Bukit Tambun dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“JPJ turut menyita sebuah bas ekspres kerana pemandu tiada lesen memandu dan sebuah lori kontena kerana pemandu di bawah umur.

“Tindakan juga diambil ke atas 23 bas atas kesalahan tiada buku log atau kemas kini buku log pemandu manakala satu kes tiada pemandu pelancong,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu secara keseluruhan 273 notis saman dikeluarkan dalam operasi selama hampir 10 jam itu atas pelbagai kesalahan dan kesalahan teknikal.

JPJ memaklumkan tujuan penguatkuasaan itu bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD 2010 ).

Sistem pendawaian tidak teratur punca insiden renjatan dalam bas ekpres

Laman berita Bernama melaporkan sistem pendawaian elektrik yang tidak teratur merupakan antara punca insiden renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres yang berlaku tempoh hari.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, selain itu sistem pendawaian dalam bas tersebut dilakukan oleh pihak yang tidak mendapat tauliah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Laporan awal oleh Pasukan Petugas Khas juga turut mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.

“Pendawaian bas ini baharu, tetapi apa yang dikenal pasti oleh pasukan ini ialah ada pendawaian tidak teratur menyebabkan ia tidak selamat, iaitu pendawaian soket dipasang secara terbalik jadi ada input dan output terbalik.

“Voltan yang tinggi dikeluarkan melalui soket tersebut dan bila voltan itu mengalir dalam badan mangsa menyebabkan kematian berlaku. Itu yang kita kenal pasti antara punca insiden ini berlaku,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

APAD sebelum ini telah mengeluarkan larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres pada 6 Nov lepas yang berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat pengendali digalakkan untuk menghantar bas berkenaan menjalani pemeriksaan pendawaian tambahan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Suruhanjaya Tenaga. Sekiranya lulus mereka boleh serahkan kepada APAD untuk guna semula soket itu,” katanya.

Bagi proses pelesenan, APAD juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Mereka juga perlu mengemukakan laporan pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan, contohnya kabel, soket alur keluar dan peranti arus baki yang digunakan semua kenderaan perdagangan.

Pada masa sama, Loke berkata pihaknya sedang membangunkan satu garis panduan pendawaian tambahan baharu bagi semua syarikat pengendali bas yang dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

Anthony Loke: Semua bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres berikutan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini, menurut laporan Kosmo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres itu sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.

“Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.

“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada MOT boleh mengarahkan APAD memastikan peralatan mengecas telefon yang di pasang dalam pengangkutan awam diuji tahap keselamatan sebelum diberi kelulusan untuk digunakan.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.

Menurut beliau, soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.

“Ini jangan bimbang. Tidak perlu bimbang penggunaan soket tersebut. Bagi bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut.

“Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan. Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” katanya.

Berita penuh di Kosmo!

Lebih 19,000 bas persiaran dan ekspress diperiksa JPJ, 667 dikenakan tindakan

LEBIH 19,000 kenderaan termasuk bas persiaran dan ekspres diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu sejak 2 Julai sehingga 31 Julai lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam operasi tersebut sebanyak 667 bas telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Operasi Khas Bersepadu memfokuskan kepada semua bas persiaran dan ekspres berada dalam keadaan selamat serta pemandu yang mempunyai lesen kompeten dan kenderaan yang mematuhi semua peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu telah positif dadah.

“Sebanyak 19,456 kenderaan diperiksa; 667 diambil tindakan; 14 buah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); 1,600 notis mengikut JPJ P22, Seksyen 61 (1) Seksyen 59 dan lain-lain.

“Dalam operasi ini, pihak JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan saringan ujian air kencing ke atas pemandu bas persiaran dan ekspres,” katanya.

Tambah Anthony, JPJ juga melaksanakan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang memfokuskan kenderaan perkhidmatan barangan dan awam.

Ia berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas serta kesalahan-kesalahan utama yang bermula sejak 1 Ogos lalu hingga 31 Ogos 2024.

“Hasil dapatan sejak 1 Ogos hingga 5 Ogos, menunjukkan seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah, ia hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing ke atas 276 orang pemandu kenderaan perdagangan dalam tempoh lima hari operasi tersebut dijalankan.

“Ini bermakna dalam setiap 13 orang pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas iaitu memandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” jelasnya.

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan para pemandu-yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.

Tambah beliau, langkah tersebut bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Tular pandu melulu, pemandu bas ekspres digantung tugas serta-merta

Pemandu bas yang memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik, Perak sehingga tular, digantung tugas serta-merta.

Pengerusi Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata pemandu berusia 36 tahun itu digantung tugas semalam selepas video mengenainya tular.-

“Pemandu berkenaan sudah bekerja dengan Konsortium E-Mutiara sejak dua tahun lalu dan hari ini kita sudah beri surat kepada pemandu berkenaan untuk membuat penjelasan berhubung tindakannya itu.

“Saya akui sangat terkejut melihat video yang tular kerana ia membahayakan penumpang. Saya juga berterima kasih kepada pemandu lori berkenaan yang bertolak ansur bagi mengelak berlaku kemalangan.

“Saya difahamkan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik sudah memanggil pemandu berkenaan untuk merakam percakapan dan kita serahkan pihak polis untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Tegasnya, Konsortium E-Mutiara tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang bertindak sedemikian dan tindakan tegas akan diambil termasuk pecat serta-merta.

“Kita sentiasa mengadakan taklimat bersama pemandu dan sentiasa menitikberatkan supaya memandu secara berhemah kerana ia membabitkan nyawa orang ramai.

“Pelbagai cara sudah dibuat oleh syarikat bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan, namun masih ada pemandu yang cuai dan memandu secara berbahaya.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai merakam video kerana kita sendiri tidak tahu cara pemanduan sebenar pemandu bas di luar sana,” katanya.

Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok yang menyaksikan sebuah bas memotong sebuah lori dalam keadaan berbahaya di garisan berkembar.

JPJ beri amaran kepada pemandu bas buat ‘live’ di TikTok

PEMANDUS bas ekspres yang didapati membuat live melalui aplikasi TikTok akan dikenakan tindakan serta-merta pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, pegawai penyamaran akan ditempatkan di dalam setiap bas ekspres bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan itu.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak sedemikian juga sangat dialu-alukan.

“Mereka boleh menghantarkannya kepada kami berserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami mengambil tindakan.

“Sebelum ini, memang ada kes seperti ini (pemandu menggunakan telefon bimbit dan membuat siaran langsung melalui TikTok) tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini.

“Namun jika dikesan melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan terus. Bagaimanapun, perjalanan tetap boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita.

Pada operasi itu, beliau turut melakukan pemeriksaan pada bas ekspres menggunakan peralatan khusus bagi memastikan ketebalan tayar supaya tidak botak, selain lampu isyarat berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, Lokman memaklumkan sepanjang Ops HRA 2024 hingga kini, lima pemandu bas ekspres didapati positif dadah jenis methamphetamine membabitkan dua di Sarawak; Kota Bahru, Kelantan (satu); dan Alor Setar (dua).

Beliau berkata, dua pemandu berusia 31 dan 67 tahun di Alor Setar terbabit dikesan mengambil bahan terlarang itu, ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di Terminal Bas Shahab Perdana, malam tadi.

Taktik menyamar JPJ berhasil, 24 pemandu bas ekspres disaman

SERAMAI 24 pemandu bas ekspres dikenakan saman dalam Ops Penyamaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sempena sambutan Tahun Baru Cina dari 1 Februari lalu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sepanjang ops itu berlangsung, pihaknya mengesan pemandu bas ekspres itu melakukan 64 kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk memandu di lorong kanan (12 saman) dan tiada pemandu kedua atau memandu secara berterusan bagi perjalanan melebihi 300 km atau perjalanan selama empat jam secara berterusan (tujuh saman).

“Selain itu, kesalahan pemandu yang merokok (dua saman), tidak selenggara buku log (sembilan saman), abai isyarat lalu lintas (tujuh sama) dan lain-lain kesalahan (27 saman),” katanya.

Tambah Hanif lagi, menerusi operasi setiap kali musim perayaan, anggota jabatan itu akan menyamar sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas eskpres yang meletakkan nyawa penumpang di hujung tanduk.

“Teknik penyamaran sebagai penumpang bas dilihat sangat efektif dalam mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu, selain menasihati mereka tidak mengabaikan keselamatan penumpang, namun masih ada yang berdegil.

“Setiap peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk menjaga keselamatan penumpang dan pemandu itu sendiri termasuk penggun jalan raya lain. Pengabaian peraturan ini merisikokam nyawa penumpang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemandu dan pemilik bas yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Volvo Buses lancar bas dua tingkat B11RLE 6×2 untuk pasaran Malaysia

VOLVO Buses baru-baru ini melancarkan bas dua tingkat Volvo B11RLE 6X2 yang pertama kalinya dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia.

Menurut syarikat itu, model B11R yang hadir dengan ciri pintu masuk rendah itu menampilkan badan jenis ALPHA DD12 TQ.

Ia direka untuk menjadi ‘raja’ di jalanan dengan menawarkan keselamatan maksimum menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Antara teknologi ADAS yang disertakan termasuklah Sistem Pemantauan Pemandu (DMS) yang berfungsi memberi amaran jika pemandu tertidur seketika atau terleka ketika memandu.

Bukan itu sahaja, ALPHA DD12 TQ mempunyai penampilan lebih lebar dan titik graviti rendah untuk memberi kestabilan lebih baik, terutama ketika memandu di atas lebuh raya.

Ini sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pemandu, di samping menambah baik aspek keselesaan dan keselamatan di atas jalan raya.

Bagi membolehkan pelanggan merasai sendiri pengalaman memandu bas itu, Volvo Buses dan rakan pemasangan casis di Malaysia iaitu Truckquip Sdn. Bhd. (TQ) menganjurkan acara Ride and Drive bermula di pejabat Volvo Buses Malaysia di Shah Alam.

“Ini adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan,” kata Naib Presiden Volvo Buses Asia Pacific, Mats Nilsson. “Malaysia ialah satu-satunya pasaran di Asia yang menawarkan Volvo B11RLE, ia dipasang dan dibina di Malaysia.”

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya sangat teruja untuk melihat pengeluar seperti Volvo bekerjasama dengan rakan pembuat badan bas tempatan seperti Truckquip dalam menghasilkan produk-produk yang dibina khas demi memenuhi keperluan operasi di peringkat tempatan.

Bas dua tingkat Volvo B111RLE 6×2 yang baru dibina itu akan diserahkan kepada Sani Express Sdn Bhd (Sani). Syarikat itu telah membuat tempahan sebanyak 12 unit yang akan diserahkan sepanjang tahun ini dan bakal digunakan untuk perjalanan di antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Kumpulan Sani, Wan Mohd Iskandar bin Dato Salleh yakin bahawa model Volvo B11RLE yang baru dibeli itu akan meningkatkan lagi rangkaian bas sedia ada miliknya ke tahap lebih tinggi.