Arkib Tag: Barcelona

Rasa macam mimpi, Damok kongsi strategi menang di Catalunya

STRATEGI saat akhir menjadi kunci utama pelumba muda negara Syarifuddin Azman mencetak kejayaan pada perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol, semalam.

Syarifuddin juga dikenali sebagai Damok berkata, tindakannya memberi tekanan kepada pelumba lain di pusingan akhir ternyata membuahkan hasil membanggakan.

Jelas Damok, kebanyakan pelumba kebiasaannya akan melakukan kesilapan di pusingan akhir susulan ‘tekanan’ tinggi daripada pencabar lain.

“Pada pusingan akhir saya cuba memberi tekanan kepada pelumba lain. Kebiasaannya pelumba mudah melakukan kesilapan di pusingan ini.

“Semalam, saya lihat perkara itu berlaku sekaligus mengambil kesempatan untuk memintas dan berada di hadapan.

“Apa yang saya lakukan seterusnya selepas itu adalah ‘menutup’ ruang bagi pelumba lain daripada memintas,” katanya ketika dihubungi EnGear, hari ini.

Damok berjaya memenangi perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol di Catalunya, Barcelona pada semalam.

Pelumba berusia 20 tahun itu mencatatkan masa keseluruhan 29 minit 32.553 saat sekaligus memungut 30 mata bagi keseluruhan perlumbaan.

Kejayaan itu merupakan yang pertama baginya pada perlumbaan musim ini.

Jentera berfungsi dengan baik

Sementara itu, Damok mengakui jenteranya berfungsi dengan baik pada perlumbaan semalam.

Bagaimanapun, Damok menjelaskan terdapat sedikit masalah suspensi ketika memasuki pusingan terakhir.

Pelumba SIC Racing itu pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada seluruh kru pasukan di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

“Saya dapat rasakan terdapat sedikit masalah pada bahagian suspensi di pusingan akhir. Jentera saya agak ‘goyang’ setiap kali mengambil selekoh.

“Apa pun saya berjaya mengawal jentera dan terima kasih kepada semua kru pasukan atas kerjasama dan sokongan diberikan selama ini,” katanya lagi.

Damok akui umpama mimpi

Kejayaan menamatkan perlumbaan semalam di tempat pertama tidak dinafikan umpama satu mimpi bagi Damok.

Mengakui sukar mempercayai kejayaan itu, Damok tetap bersedia untuk terus memberi saingan sengit dan mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Sebaik melintasi garisan penamat waktu itu saya rasakan umpama mimpi. Betul ke aku yang menang ni?

“Selepas beberapa ketika saya mulai sedar yang memang saya adalah juara bagi perlumbaan semalam.

“Saya tahu selepas ini ada banyak lagi cabaran. Saya sedia untuk memberi tekanan kepada pelumba lain. Mereka juga seperti kawan-kawan. Tiada apa perlu dirisaukan,” katanya.

Terdahulu, Damok turut memberi kata-kata semangat kepada bakat-bakat muda lain yang berminat menceburi sukan permotoran.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, segala kejayaan pasti akan tercapai jika terus berusaha tanpa mengenal erti lelah.

“Adik-adik yang meminati sukan permotoran teruskan minat anda. Lakukan sehabis baik demi mencapai cita-cita.

“Di sini (Eropah), umur empat tahun pun dah mula tunggang motosikal untuk berlumba secara profesional.

“Saya sendiri rasa agak berusia jika dibandingkan dengan pelumba lain yang ada antaranya berusia 15 tahun.”

Menang Moto3 Junior di Barcelona, ketahui latar belakang Damok

SUKAN perlumbaan motosikal negara terus meriah dengan kelahiran pelumba berbakat yang kian menyinar di persada antarabangsa.

Nama seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin, Zulfahmi Khairuddin dan Hafiq Azmi bukan sahaja membanggakan negara malah, menjadi ‘idola’ kepada ramai golongan muda.

Semalam, Malaysia sekali lagi menjadi sebutan apabila pelumba pasukan SIC Racing berjaya menjuarai perlumbaan satu Moto3 Junior World Championship CEV Motorcycle di Barcelona.

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Damok’ mencetak sejarah selepas menaiki podium di tempat pertama bagi kategori tersebut.

Anak kelahiran Puchong, Selangor yang menunggang jentera Honda itu mencatat masa keseluruhan perlumbaan 29 minit 32:553 saat.

Pelumba Avatel-Cardoso Racing David Munoz Rodriguez meraih posisi kedua dan diikuti tempat ketiga, Jose Antonio Rueda Ruiz (Team Estrella Galicia).

Damok ucap syukur, terima kasih

Kemenangan Damok di Catalunya turut menyaksikan pelumba itu melakukan sujud syukur sebaik selesai perlumbaan.

Pada masa sama, Damok turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya yang berusaha keras melakukan terbaik bagi perlumbaan tersebut.

“Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras untuk perlumbaan minggu ini.

“Terima kasih juga kepada ketua kru, pengurus dan Datuk Razlan Razali yang hadir memberi sokongan.

Setakat ini, Damok menduduki kedudukan keenam bagi pelumba keseluruhan dengan mengumpul 30 mata.

Lapan fakta mengenai Damok

  • Tarikh Lahir Damok adalah pada 24 November 2011
  • Merupakan anak jati Selangor (Puchong)
  • Damok pernah menyertai kejohanan Asia Talent Cup dan Cub Prix Malaysia
  • Menggunakan nombor 63 pada jentera
  • Damok mengakui banyak menerima ilmu daripada Adam Norrodin dalam usaha ke saingan Moto3
  • Kemenangan di Catalunya, Barcelona adalah yang pertama dalam saingan Moto3 Junior World Championship CEV
  • Memulakan karier sebagai pelumba selepas mengikuti bapanya menyertai motocross pada 2016
  • Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin merupakan antara idola Damok