Arkib Tag: bantuan

Banjir: Diskaun 25 peratus untuk kos baik pulih kenderaan oleh UMW Toyota

DALAM membantu meringankan beban mereka yang terjejas disebabkan banjir, UMW Toyota menawarkan program khas untuk pelanggan yang terkesan.

Toyota Flood Assist Program menawarkan diskaun 25 peratus untuk jumlah bil alat ganti dan upah. Selain itu, pelanggan juga akan mendapat khidmat tunda, penilaian dan anggaran kerosakan secara percuma di bawah program ini.

“Walaupun kerugian dan beban yang ditanggung oleh mereka yang terjejas oleh banjir ini sangat berat, kami berharap Toyota Flood Assist Program ini dapat memberi sedikit kelegaan untuk rakyat Malaysia,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan sangat bernilai buat kami dan dengan program ini, kami mahu meringankan sedikit beban mereka,” tambahnya.

Toyota juga menawarkan faedah sifar peratus untuk Easy Payment Plan bagi pelanggan-pelanggan yang layak.

Semua pusat servis dan cat Toyota juga akan dibuka bagi membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat berkenaan.

Bagi anda pemilik yang mengalami kerosakan kenderaan juga boleh mendapatkan bantuan 24SEVEN Road Assist Toyota yang akan bersedia 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Untuk sebarang pertanyaan atau bantuan, hubungi 1-800-8-869682 atau layari www.toyota.com.my.

Banjir: Perodua tawar bantuan pemeriksaan percuma, tunda dan diskaun untuk pemilik terjejas

PERODUA menawarkan bantuan, termasuk rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kenderaan kepada semua pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

Setakat 19 Disember 2021, beberapa bahagian di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah terkesan akibat banjir.

“Para pelanggan kami amat penting buat kami dan perkhidmatan tambah nilai ini disediakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka semasa bencana ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Walaupun beberapa pusat servis kami turut terjejas akibat banjir, para pelanggan kami amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan kami yang  lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.”

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyambung semula operasi kami (di kawasan terjejas) secepat mungkin,” tambah beliau lagi.

Imej: Bernama

Mengenai bantuan yang diberikan, pelanggan Perodua boleh membuat tuntutan untuk perkhidmatan menunda kenderaan maksimum sehingga RM100 di pusat servis Perodua berhampiran mengikut kepada terma dan syarat.

Selain itu, Perodua juga turut menawarkan potongan 20 peratus untuk alat-alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

“Alat-alat ganti tulen kami disertakan dengan jaminan pengeluar dan kami meminta para pelanggan kami untuk tidak menggunakan sebarang alat ganti tiruan kerana ini boleh menjejaskan prestasi kenderaan mereka,” kata Dato’ Zainal .

Alat-alat ganti tersebut termasuk semua barangan elektronik, gasket baik pulih enjin, tempat duduk kenderaan, kemasan pintu dan permaidani.

Pelanggan Perodua, yang kenderaannya mengalami kerosakan akibat banjir digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan bebas tol Perodua di 1-800-88-5555 untuk bantuan menunda (tertakluk kepada terma dan syarat).

BMW Malaysia sumbang dana kepada program bantuan makanan dengan setiap jualan EV

BMW Group Malaysia melanjutkan sokongannya kepada program bantuan makanan yang sedang dijalankan oleh dua pertubuhan tempatan.

Mereka mengumpul sumbangan bernilai RM100 bagi setiap kontrak yang dibiayai bagi mana-mana model elektrik (EV) BMW dan MINI.

BMW Group Financial Services Malaysia telah memulakan inisiatif baharu untuk mengumpul dana bagi membantu Refuge for the Refugees dan Empire Project, iaitu dua pertubuhan tempatan yang giat menyalurkan bantuan makanan kepada warga komuniti yang kurang bernasib baik disebabkan Covid-19.

Pertubuhan-pertubuhan ini turut disokong oleh BMW Group Malaysia dari segi keperluan logistik dan bantuan penghantaran.

Inisiatif ini sekali lagi akan menyalurkan sumbangan bernilai RM100 bagi pihak pelanggan BMW dan MINI, iaitu menerusi setiap kontrak yang dibiayai bagi model-model seperti 330e, 530e, 740Le xDrive, X5 xDrive45e, Cooper SE serta Cooper SE Countryman.

Kesemua kontrak yang dibiayai dari 1 September hingga 31 Disember 2021 bagi model-model yang dinyatakan tadi layak menyertai inisiatif ini.

Sumbangan tersebut akan menyokong program bantuan makanan oleh Refuge for the Refugees yang mensasarkan lebih daripada 700 buah keluarga dalam kategori B40.

Bantuan yang diberikan termasuklah bantuan makanan dan barangan keperluan yang dibekalkan oleh Empire Project ketika pandemik untuk golongan masyarakat yang tersisih di seluruh negara.

Terokai BMW Engage di https://www.bmwfs.my/, dan maklumat lanjut mengenai Refuge for the Refugees boleh didapati di https://rftr.super.site/ serta https://www.instagram.com/refugefortherefugees/.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti terkini oleh Empire Project, sila layari https://www.facebook.com/empireprojectwecareweshare/.

Petron sumbang bantuan petrol untuk ambulans NGO Covid-19

PETRON Malaysia menyokong beberapa badan kebajikan dalam misi mereka memberikan bantuan perubatan dan makanan kepada komuniti.

Tiga badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) iaitu Community Policing Malaysia, MERCY Malaysia dan My Food Directory & Delivery Covid-19 telah menerima tajaan minyak dari Petron Malaysia bernilai RM60,000.

Puan Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia berkata, “Kami berasa gembira dapat menyokong organisasi-organisasi ini yang telah banyak membantu golongan barisan hadapan, komuniti yang memerlukan dan keluarga yang terkesan semasa pandemik ini.

“Kami berharap tajaan minyak ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka untuk memenuhi misi-misi di waktu yang sukar ini.”

 

Aktivis, Uncle Kuan daripada Community Policing Malaysia berkata, “Sepanjang tahun, kami telah berjaya membantu ramai orang melalui inisiatif Ambulans RM1 dan Teksi RM0.10, di mana sesiapa yang memerlukan bantuan boleh membayar servis dengan harga RM1 dan RM0.10 sahaja.

“Kami amat berterima kasih kepada Petron kerana inisiatif ini tidak dapat dijayakan tanpa tajaan minyak oleh syarikat tersebut.”

Menurut Uncle Kuan, melalui tajaan bahan api tersebut ianya membolehkan mereka membantu lebih ramai lagi keluarga B40 yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan ke hospital dan pusat pemberian vaksin.

Semenjak PKP tahun lepas, Petron kekal komited dalam memberi sokongan kepada misi-misi kemanusiaan di bawah MERCY Malaysia, yang menyasarkan kepada komuniti dan hospital. MERCY merupakan sebuah NGO yang memberi bantuan dan sokongan perubatan dan kesihatan kepada masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara.

Satu organisasi yang bermula dari gerakan kumpulan warga prihatin di Facebook yang memberi perkhidmatan penghantaran makanan kepada komuniti B40 juga turut mendapat tajaan minyak Petron.

My Food Directory & Delivery Covid-19 (MFDDC19) mempunyai lebih dari 90 penghantar sukarelawan yang bertugas di 70 kawasan di Lembah Klang.

“My Food Directory and Delivery C19 memulakan operasi mereka pada April 2021, mengumpulkan 42,000 rakan komuniti untuk membantu satu sama lain dengan menyokong perniagaan tempatan,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.

“Dengan kehadiran Petron dalam misi kami, kami boleh menyediakan lebih sokongan kepada 90 lebih orang pemandu kami yang bertugas sebagai penghantar makanan kepada komuniti di Lembah Klang,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.

“Kami ingin membantu kesemua organisasi ini dalam mengurangkan kos mereka, lantas membantu lebih ramai komuniti. Kami akan terus menyokong pemulihan negara dan terus membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas dengan pelbagai cara,” tambah Faridah.