Arkib Tag: bahan bakar

Enam syarikat setuju henti keluar kenderaan guna bahan bakar menjelang 2040

ENAM syarikat automotif dikatakan bersetuju menghentikan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan api petrol dan diesel.

Memetik laporan Nikkei Asia, kesemua syarikat automotif berkenaan bersetuju menamatkan pengeluaran kenderaan menggunakan bahan api menjelang tahun 2040.

Antara syarikat dimaksudkan termasuk Ford, General Motors, Volvo, Mercedes-Benz, BYD dan Jaguar Land Rover.

Terdahulu, satu perbincangan diadakan antara kerajaan British dengan beberapa pengeluar kenderaan pada sidang berkaitan cuaca (COP26) di Glasgow.

Volvo antara syarikat memberi komitmen untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030. – Foto ihsan Volvo Car Malaysia

Perbincangan antara lain memberi tumpuan terhadap penamatan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan bakar selain memperhebat pengeluaran electric vehicle (EV).

Bagaimanapun, masih terdapat pengeluar kenderaan tidak terlibat dengan perjanjian dimeterai.

Syarikat terbabit termasuk Volkswagen dan Toyota selain beberapa syarikat dari China serta Jerman.

Setakat ini, penghasilan EV kebanyakannya dihasilkan oleh syarikat automotif mewah dengan harga yang agak tinggi.

Justeru, wujud persoalan mengenai nasib golongan pertengahan sama ada mempunyai peluang untuk memiliki EV atau sebaliknya.

Diesel Max Euro 5 kini di pasaran, Petron jamin lebih berkualiti

PETRON terus meningkatkan usaha dalam memasarkan bahan bakar berkualiti di negara ini dengan pengenalan Petron Diesel Max Euro 5.

Dirumus khas menggunakan formula TriAction Advantage, ia dikatakan memenuhi syarat spesifikasi diesel Euro 5 lebih ketat.

Petron Diesel Max Euro 5 dikatakan lebih mesra alam kerana menghasilkan pelepasan asap dengan kandungan sulfur rendah sebanyak 10 ppm sahaja.

Ia jauh lebih rendah berbanding Euro 2M Diesel yang mempunyai kandungan sulfur lebih 500 ppm.

Petron dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu sentiasa berusaha menghasilkan produk bermutu tinggi demi kepentingan penjagaan alam sekitar.

Pada masa sama, bahan bakar berkualiti juga dapat memastikan enjin kenderaan berada dalam keadaan baik.

“Petron Diesel Max Euro 5 ini membuktikan komitmen kami menghasilkan produk berkualiti tinggi dan mesra alam.

Pelanggan juga dapat menikmati pengalaman pemanduan lebih unggul selain memberikan perlindungan terbaik terhadap kenderaan mereka,” jelas Petron.

Sistem aditif TriAction Advantage menjanjikan enjin sentiasa dalam keadaan bersih selain menghasilkan pembakaran lebih menyeluruh.

Selain itu, ia turut memaksimumkan kecekapan enjin dan menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih ekonomi.