Arkib Tag: Auto China 2026

Auto China 2026: Lepas buat kemunculan rasmi, pamer barisan model NEV premium

Lepas, jenama premium baharu di bawah Chery Group membuat kemunculan rasmi dan mengumumkan strategi NEV di acara Beijing Auto Show 2026.

Berbekalkan sistem R&D global Chery Group dan platform pintar LEX, Lepas menyasarkan pelbagai segmen daripada kompak hingga saiz pertengahan-besar.

Setiap kenderaan Lepas akan dibangun berdasarkan tiga tonggak utama:

  • Leopard Aesthetics
  • Elegant Technology
  • Exquisite Space

Dalam usaha menawarkan pemanduan yang premium, Lepas mahu mencipta kelebihan tersendiri menerusi aspek berikut:

  • bahasa reka bentuk
  • sistem bateri-motor-elektronik
  • kokpit pintar
  • ciri ADAS

Lepas L6 EV

Ia merupakan SUV elektrik berteknologi tinggi yang direka untuk kegunaan keluarga dan profesional urban.

Ia memfokuskan kepada tiga tiang utama, iaitu reka bentuk berkarisma, pengalaman pintar serta ruang dalaman serba guna.

Lepas L6 EV menampilkan rekaan badan jenis low-slung dan lebar serta unit lampu “Hunting Eye” yang menyumbang kepada visual graviti rendah dan penampilan lebih gagah di dalam kelasnya.

Ciri pintar seperti VPD, H-NOA, Bosch IPB 2.0 dan Super AI Agent sangat membantu dalam pelbagai senario pemanduan, parkir dan pengalaman dalam kabin.

Lepas L4 EV

SUV elektrik ini pula direka untuk mobiliti urban ringan.

Ia membawakan penggayaan dinamik “Hunting Motion” yang membawakan warna badan kontras dan roda Leopard Shadow yang menjadikannya lebih menonjol.

Lepas L4 EV dipacu oleh motor elektrik 218 hp, dan turut menampilkan suspensi bebas multi-link di belakang, casis talaan khusus, serta 21 fungsi ADAS.

Dengan sokongan pengecasan pantas dan jarak pandu sejauh 500 km, Lepas L4 EV sememangnya direka untuk memenuhi keperluan pergerakan harian dan perjalanan hujung minggu.

Auto China 2026: Chery jalankan ujian pelanggaran dunia sebenar libatkan model Tiggo 7 & Tiggo 9

Chery sekali lagi mengambil langkah berani dengan mempamerkan demonstrasi ujian keselamatan dunia sebenar bersempena Beijing Auto Show 2026.

Bertempat di Longshan Test Centre, Chery Group mensimulasikan situasi pelanggaran trafik berisiko tinggi melibatkan tiga kenderaan termasuklah SUV Tiggo 7 dan Tiggo 9.

Ujian ini dibuat bagi menilai keupayaan sebenar keselamatan SUV Tiggo, dan membuktikan komitmen Chery untuk menjadi jenama paling selamat untuk seisi keluarga.

Ujian berdasarkan situasi sebenar

Tidak seperti ujian pelanggaran standard, demonstrasi awam ini memberi tumpuan kepada senario kemalangan yang berlaku dalam dunia sebenar melibatkan pelbagai kenderaan seperti:

  • kemalangan berantai di lebuh raya
  • rempuhan dua arah di persimpangan jalan

Dalam ujian di Wuhu, Tiggo 9 menerima hentaman hadapan 50 km/j daripada Tiggo 7, dan dalam masa yang sama dirempuh dari belakang pada kelajuan 40 km/j oleh sebuah lagi kenderaan.

Di sini, aspek seperti struktur badan, koordinasi sistem penahan dan keupayaan tindak balas kecemasan pasca-pelanggaran diuji pada tahap jauh melebihi piawaian ujian biasa.

Tiggo 9 kekal utuh

Hasil ujian menunjukkan:

  • ruang penumpang kekal utuh tanpa sebarang perubahan (deformasi) ketara pada tiang A, B, C atau D
  • sistem penahan utama seperti beg udara dan tali pinggang berfungsi dengan tepat seperti yang direka
  • keempat-empat pintu yang dikunci terbuka secara automatik untuk memastikan penumpang mudah diselamatkan selepas pelanggaran
  • tiada kebocoran bahan api dikesan, dan lampu amaran kecemasan diaktifkan

Struktur badan Tiggo 9 menggunakan 85 peratus keluli kekuatan tinggi, termasuklah 21 peratus keluli hot-stamp untuk mengukuhkan kawasan kritikal kabin.

Seni bina pemindahan beban dioptimumkan supaya dapat membantu menyerap tenaga hentaman dengan lebi berkesan.

Kesemua sistem keselamatan yang dibekalkan membentuk perlindungan berperingkat sebelum, semasa dan selepas impak.

Prestasi konsisten merentasi barisan Tiggo

Dalam masa yang sama, struktur casis Tiggo 7 terbukti berkesan dalam ujian komposit ini.

Ia membuktikan keupayaan Chery menawarkan tahap keselamatan tinggi secara konsisten bukan sekadar untuk model flagship semata-mata, tapi untuk semua keluarga Tiggo.

Di peringkat global, pelbagai model Tiggo menerima penarafan 5 bintang daripada Euro NCAP, ANCAP dan ASEAN NCAP.

Inisiatif pengesahan keselamatan global

Ujian pelanggaran komposit ini merupakan sebahagian daripada inisiatif siri pengesahan keselamatan berprofil tinggi yang dijalankan di seluruh dunia.
Sebelum ini, Chery menjalankan Cabaran Keselamatan Bateri CSH di beberapa lokasi seperti:
  • Malaysia – ujian kebakaran suhu tinggi
  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

 

Auto China 2026: Omoda C7 bakal sertai keluarga OJ Malaysia tahun ini

Sebuah lagi model SUV dipamerkan di acara Beijing Auto Show 2026, iaitu Omoda O7.

SUV ini turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia menggunakan nama C7.

Ini bermakna, ia diposisikan ditengah-tengah antara model Omoda C4 dan Omoda C9 yang telah pun dijual sejak Disember 2024.

Unit rangkaian kuasa

Di Beijing Auto Show, Omoda C7 yang dipamerkan ini merupakan varian SHS-P yang merujuk kepada sistem plug-in hybrid (PHEV).

Di pasaran tertentu, SUV ini dikuasakan oleh nadi 1.5 TGDi hibrid dengan jarak sifar emisi 95 km dan jarak pandu keseluruhan 1,250 km.

Pada J7 PHEV, sistem SHS tersebut menampilkan:

  • enjin 1.5 liter TGDi 156 PS/220 Nm
  • motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • bateri 18.3 kWh
  • jarak gerak sifar emisi 88 km

Masih ingat unit yang pernah dipamerkan di Malaysia?

Omoda C7 tersebut dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Dimensi

Omoda C7 merupakan sebuah SUV saiz kompak/pertengahan, dengan ukuran sekitar 4,621 mm, lebar 1,872 mm dan tinggi 1,673 mm.

Jarak antara roda pula sekitar 2,700 mm.

Luaran

Daripada sudut depan, Omoda C7 menampilkan ciri seperti lampu utama yang tajam memanjang diikuti bukaan bampar yang dihiasi elemen sarang lebah.

Sama seperti Omoda C4, lampu belakang C7 turut membawakan elemen grafik kilat dalam perumah yang memanjang penuh.

Selain itu, SUV ini dilengkapi dengan rim dua tona 20 inci dan rekaan bumbung terapung.

Kabin

Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan sepasang tempat duduk gaya kerusi gaming balutan kulit.

Roda stereng juga dikatakan mengambil inspirasi daripada kayu ria PlayStation 5.

Antara ciri lain termasuklah:

  • skrin kluster digital kecil
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci yang boleh dialih kedudukannya
  • sistem audio Sony
  • kawalan fungsi berbentuk arahan suara dan gerak isyarat tangan

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi di pasaran Malaysia pada tahun ini.

Auto China 2026: Omoda C4 sah bakal masuk Malaysia

Bertempat di Beijing Auto Show 2026, Omoda | Jaecoo memperlihatkan model SUV segmen B baharu Omoda 04 versi produksi sebenar.

Ia dijangka akan memasuki pasaran Malaysia sebagai Omoda C4 dan diposisikan di bawah model C9.

Pilihan rangkaian kuasa

Terdapat sehingga tiga varian rangkaian kuasa yang ditawarkan untuk model Omoda C4.

Versi asas dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter turbo yang sama wujud pada model Tiggo Cross, menghasilkan kuasa 156 PS dan 210 Nm.

Terdapat juga Omoda C4 versi hibrid SHS-H, merujuk kepada sistem hibrid pengecasan kendiri.

Pada model Chery Tiggo Cross Hybrid, tetapan ini terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 102 PS/125 Nm
  • dua motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • transmisi Direct Hybrid (DHT)
  • pek bateri LFP 1.8 kWh

Akhir sekali, varian elektrik (BEV) yang dipamerkan dalam satu majlis yang diadakan berasingan.

Tidak banyak info diketahui tentang model ini, besar kemungkinan ia akan menggunakan tetapan sama seperti Omoda E5.

Ciri luaran

SUV Omoda C4 ini membawakan penampilan yang cukup agresif, dan sememangnya direka untuk golongan muda.

Antara ciri luaran termasuklah:

  • lampu utama jenis terpisah
  • lampu DRL gaya kuku binatang
  • plastik pelindung bersegi pada gerbang roda
  • lampu belakang dengan grafik kilat

Omoda C4 versi standard hadir dengan rim sporti saiz 18 inci.

Sementara C4 versi HEV dan EV pula dibekalkan dengan rim 18 inci yang lebih aerodinamik.

Kelengkapan kabin

Elemen sporti turut diterapkan pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih sesuai dengan jiwa muda.

Antara kelengkapan yang boleh dilihat termasuklah:

  • roda stereng tiga jejari
  • skrin infohibur menegak
  • skrin kluster digital berwarna penuh
  • konsol tengah yang tinggi lengkap dengan tempat meletak cawan
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • butang suis mula gaya Lamborghini

Ciri butang suis tersebut walau bagaimanapun tidak ditawarkan pada model C4 EV.

Omoda C4

Omoda C4 SHS-H

Omoda C4 EV

Omoda | Jaecoo raikan ulang tahun ketiga, jualan global lebih satu juta unit

Bersempena dengan acara pameran Beijing Auto Show 2026, jenama Omoda | Jaecoo (OJ) meraikan dua pencapaian penting, iaitu:

  • sambutan ulang tahun ketiga
  • jualan global melebihi satu juta unit

Dalam tempoh masa tiga tahun selepas debut global, Omoda | Jaecoo telah bertapak di lebih 64 pasaran antarabangsa.

Pencapaian ini menjadikannya antara pemain global yang paling pesat berkembang.

SHS sebagai teras utama

Di sebalik kebangkitan global jenama OJ ini ialah Super Hybrid System (SHS) yang dibangunkan oleh Chery Group.
Lebih daripada sekadar unit rangkaian kuasa, SHS menawarkan manfaat seperti:
  • prestasi tinggi
  • kecekapan luar biasa
  • jarak pemanduan lebih jauh
  • boleh disesuaikan dengan pelbagai pasaran dunia dari Amerika Latin, Eropah hingga Asia Tenggara

Kini digunakan pada model produksi utama, SHS menegaskan komitmen OJ untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih praktikal dan relevan dengan kehidupan harian.

Super Hybrid Marathon

Menjelang Beijing Auto Show 2026, OJ turut menganjurkan pemanduan jarak jauh Super Hybrid Marathon pada 25-26 April 2026.

Konvoi ini melibatkan wakil media daripada sembilan pasaran utama merentasi laluan sepanjang 625 km, terdiri daripada J5 HEV, Omoda 5 HEV dan Jaecoo J7 HEV.

Perjalanan bermula dari Wuhu melalui Tasik Chaohu dan Huoshan, sebelum bermalam di Doushahe Hot Spring Town dan kembali melalui lebuh raya sejauh 309 km.

Pencapaian di Malaysia & peringkat global

Di Malaysia, OJ telah menjual lebih 17,800 unit kenderaan untuk tahun 2025, dengan pertumbuhan sebanyak 153 peratus tahun ke tahun dan dijangka melepasi 25,000 unit kumulatif sejak debut pada 2024.

Di peringkat global:

  • OJ berkembang pesat di 16 pasaran Eropah dan jualan melebihi 220,000 unit dalam tempoh dua tahun
  • raih lebih 2 peratus pegangan pasaran dalam tempoh 9 bulan di UK, dan masuk kelompok 10 teratas dalam 17 bulan
  • muncul sebagai jenama paling dikenali pengedar di Sepanyol dengan skor kepuasan 9.9/10 (kajian VCON 2025)

Lebih daripada sekadar jenama automotif

OJ kini bukan sekadar sebuah pengeluar automotif.

Bertempat di Beijing Auto Show 2026, jenama itu turut mempamerkan teknologi baharu seperti:

  • robot humanoid Mornine yang dibangunkan bersama pasukan AiMOGA
  • Valet Parking Driver (VPD) membolehkan kereta mencari petak parkir sendiri

 

Auto China 2026: Chery Tiggo V buat penampilan sulung

Bertempat di Auto China 2026 di Beijing, Chery Group memperlihatkan model SUV baharu Tiggo V kepada umum.

Ia merupakan SUV keluarga pertama Chery yang boleh diubah bentuknya berdasarkan keperluan semasa.

Tiggo V turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan kemampuan meredah air sedalam 700 mm.

Pakej tiga-dalam-satu

Chery Tiggo V menggabungkan kestabilan SUV, keselesaan MPV dan praktikaliti trak pikap dalam satu pakej yang lengkap.

Menurut Chery, ‘V’ pada Tiggo V itu merujuk kepada tiga nilai iaitu:

Dengan jarak roda sepanjang 2,800 mm, Tiggo V menawarkan ruang kabin luas dengan konfigurasi tiga baris dan tujuh tempat duduk.

Selain boleh dilaras kedudukannya, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat untuk pelbagai konfigurasi, termasuklah mod katil.

Ruang kabin pula menempatkan sehingga 42 ruang storan, corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga baris, kawalan iklim dua-zon automatik, serta sistem penapisan udara kabin N95 PM0.3.

Ubah jadi trak pikap

Tidak cukup dengan itu, Tiggo V boleh diubah menjadi sebuah trak pikap!

Dengan struktur belakang boleh ditanggalkan dengan mudah, Tiggo V boleh menyediakan ruang kargo yang lebih besar, ditambah pula dengan bukaan pintu yang lebar.

Terdapat juga sokongan untuk aksesori seperti khemah bumbung serta ruang storan tambahan untuk disesuaikan dengan pelbagai aktiviti luar.

Sistem Chery Super Hybrid

Tiggo V dipacu dengan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi ke-6 yang menawarkan pemanduan yang lancar dan prestasi responsif.

Versi plug-in hybrid (PHEV) menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 6 liter/100 km.

Versi enjin pembakaran dalaman tulen (ICE) pula menawarkan 7.84 liter/100 km.

Keselamatan

Chery Tiggo V menampilkan struktur binaan badan yang diperbuat daripada 76 peratus aluminium dan keluli berkekuatan tinggi.

Aspek keselamatan dibantu dengan sistem ADAS merangkumi:

  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Parkir Automatik (APA)
  • Bantuan Parkir Kawalan Jauh (RPA)