Arkib Tag: Audi Malaysia

Audi e-tron GT tiada masalah beraksi di litar – Pandu Uji

Jika anda seorang yang kaya dan ingin memiliki kenderaan elektrik (EV), anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan yang akan menarik perhatian anda namun berani penulis katakan bahawa tidak ada satu pun yang boleh menangkap jiwa anda seperti Audi e-tron GT.

Sekali pandang sahaja, anda tahu bawa e-tron GT adalah sebuah EV yang direka khusus untuk individu yang bergaya dan berjaya seperti anda.

Ya, mungkin akan ada orang di sekeliling anda yang akan berkata “Baik beli Porsche Taycan, lagi laju”. Benar, atas kertas, kembarnya dari Zuffenhausen itu lebih pantas tetapi ia tidak akan membuatkan anda terasa seperti Tony Stark.

Sebagai sebuah sedan empat pintu dengan jarak pandu sejauh 458 km dengan satu cas penuh, e-tron GT boleh dijadikan sebagai kereta untuk rutian harian, tidak kira jika anda masih bujang atau pun sudah berkeluarga.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa kereta ini juga sentiasa bersedia untuk beraksi di litar. Baru-baru ini, penulis dijemput oleh Audi Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan e-tron GT quattro dan RS e-tron GT di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk pengetahuan, acara Audi Driving Experience itu dijalankan di bahagian selatan litar (South Paddock) sahaja. Aktiviti pemanduan terbahagi kepada dua bahagian iaitu sesi pandu uji di litar dan ujian pecutan di laluan lurus selepas selekoh 14.

Untuk pusingan pertama, penulis diberikan e-tron GT quattro, varian entry-level yang dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan output keseluruhan sebanyak 476 PS dan 630 Nm.

Sebaik sahaja keluar dari pit, tujahan keras pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terus ‘hidup’ dan memecut bagai tiada hari esok. Kepala tertolak sedikit ke belakang dan tangan mula menggenggam stereng dengan lebih kuat, menandakan kuasa pecutan yang tinggi.

Berdasarkan spesifikasi, model ini hanya memerlukan 4.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari keadaan pegun namun apabila memecut ketika sedang bergerak, ia boleh mencapai kelajuan 150 km/j sebelum penulis sempat menghembuskan nafas.

Salah satu kelebihan memandu EV adalah tork sentiasa tersedia. Di litar berkelajuan tinggi seperti Sepang, ini amat berguna kerana ia membolehkan anda keluar dari selekoh sepantas kilat. Dan apa yang mengagumkan, ini boleh dilakukan berulang kali.

Bukan itu sahaja, sistem pacuan semua roda quattro yang merupakan trademark Audi juga memainkan peranan penting dalam memberikan cengkaman tinggi, terutamanya ketika menghadapi chicane di selekoh 12 dan 13.

Seterusnya, penulis berpeluang mencuba RS e-tron GT yang secara asasnya merupakan varian yang lebih berkuasa dan mempunyai tahap kelengkapan yang lebih tinggi.

Seperti versi asas, ia juga mempunyai sebuah motor elektrik pada setiap gandar namun kuasa yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 598 PS dan 830 Nm. Perbezaan kuasa ini memang boleh dirasakan dengan jelas dan bagi penulis, varian ini terasa lebih ‘liar’ ketika beraksi.

Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan yang membuatkan ia lebih hebat berbanding versi asas dari segi dinamik.

Yang pertama adalah sistem suspensi udara. Dengan peredam adaptif pada gandar hadapan dan belakang, sistem ini boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm pada kelajuan 90 km/j dan 12 mm lagi ketika kereta bergerak pada kelajuan 180 km/j ke atas.

Bukan itu sahaja, RS e-tron GT juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (rear-wheel steering). Pada kelajuan sekitar 50 km/j, sistem ini akan memusingkan roda belakang berlawanan arah dengan roda hadapan bagi memberikan radius putaran yang lebih kecil.

Pada kelajuan 80 km/j pula, roda belakang akan dipusing mengikut arah roda hadapan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan kereta lebih stabil terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Satu lagi kelebihan versi RS adalah differential lock pada gandar belakang. Dalam konteks pemanduan di litar, komponen ini menggunakan pemvektoran tork untuk menjadikan kereta lebih lincah ketika memasuki selekoh tajam dan meningkatkan cengkaman ketika keluar.

Untuk sesi ujian pecutan, penulis melakukannya dengan RS e-tron GT sahaja. Di sini, fungsi overboost memainkan peranan penting kerana ia akan meningkatkan kuasa kepada 646 PS untuk sementara waktu bagi membolehkan kereta memecut sepantas yang boleh.

Atas kertas, model RS ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j namun penulis berjaya melakukannya dalam masa 3.2 saat, berdasarkan pengukur pecutan yang terpapar pada panel instrumen.

Malah, ada pihak media yang berjaya melakukan pecutan tersebut dalam masa 3.1 saat sahaja. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, RS e-tron GT sebenarnya lebih pantas dari yang diperkatakan.

Konklusi

Sejujurnya, penulis tidak rasa bahawa ingin memandu di litar adalah sebab utama kenapa orang membeli EV. Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah, Audi e-tron GT dan RS e-tron GT adalah EV yang cukup versatil dan sekiranya suatu hari anda ingin melepas gian untuk memandu laju, ia boleh melakukannya tanpa sebarang isu.

Anda mungkin tertanya-tanya jika jarak pandu akan menjadi penghalang untuk pemanduan di litar lumba. Untuk sebuah EV yang boleh dipandu sejauh lebih 400 km dengan satu cas penuh, penulis tidak rasa ada sebarang masalah kerana jika diambil kira jarak Litar Antarabangsa Sepang iaitu 5.543 km, anda sebenarnya boleh memandu e-tron GT berpuluh-puluh pusingan sebelum kuasa bateri turun ke tahap yang boleh dianggap ‘membimbangkan’.

Spesifikasi Audi e-tron GT quattro

Harga: RM588,790
Kuasa: 476 PS (530 PS dengan overboost)
Tork: 630 Nm (64o Nm dengan overboost)
Bateri: 93.4 kWj

Spesifikasi Audi RS e-tron GT

Harga: RM793,790
Kuasa: 598 PS (646 PS dengan overboost)
Tork: 830 Nm
Bateri: 93.4 kWj

Pemilik Audi tak usah pening kepala dengan adanya program servis Audi Plus

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan program kesetiaan baharu Audi Plus, disasarkan untuk memberi manfaat kepada pemilik-pemilik Audi berusia lebih lima tahun.

Prgoram Audi Plus menawarkan pemilik Audi tiga baucar servis 10 peratus yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun servis kelima. Sebagai tambahan, Audi menyediakan bantuan tepi jalan sehingga 12 bulan dari penebusan baucar.

Program ini khas untuk pemilik Audi dengan kenderaan berusia lebih lima tahun, termasuk kenderaan import terus dan parallel. Pemilik hanya perlu melawati mana-mana pusat servis Audi Centre terdekat untuk melanggannya.

Audi Plus juga merangkumi alat ganti tulen yang diperbuat dari bahan berkualiti tinggi yang akan digunakan dalam servis kenderaan. Ini termasuklah minyak, penapis udara, pengecaj bateri, bilah penggilap cermin, hinggalah kepada palam pencucuh dan pelapik brek.

“Pemilik-pemilik boleh menjangkakan servis komprehensif dan lancer di pusat servis kami melalui program ini. Juruteknik kami juga adalah terlatih dengan penilaian dan pensijilan oleh Audi,” kata Erik Winter, Pengarah Urusan PHSAM.

“Selain kepakaran yang betul, mereka (juruteknik) juga dilengkapi dengan alatan yang tepat untuk memeriksa dan menyelenggara kenderaan berdasarkan garis panduan Audi,” tambahnya.

Audi e-tron GT, Q8 e-tron bakal dilancarkan tidak lama lagi

NAMPAKNYA Audi Malaysia telah memulakan langkah mereka untuk memasuki pasaran EV premium di negara ini.

PHS Automotive Malaysia Sdn. Bhd. (PHSAM) selaku pengedar rasmi jenama itu, mengumumkan bahawa ia telah membuka pendaftaran minat untuk barisan EV Audi yang dikenali sebagai e-tron.

Barisan itu terdiri daripada e-tron GT Quattro, RS e-tron GT, Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron.

Pelanggan yang berminat boleh mendaftar minat mereka di laman web Audi Malaysia dan nyatakan alamat e-mel, nama penuh, nombor telefon, pengedar kegemaran dan model yang diminat.

Audi e-tron GT secara asasnya adalah ‘kembar’ kepada Porsche Taycan dan menggunakan platform J1 yang sama. Untuk e-tron GT Quattro dan RS e-tron GT, kedua-dua varian ini didatangkan dengan motor elektrik berkembar dan bateri berkapasiti 85 kWh yang menawarkan jarak sehingga 487 km.

Dari segi prestasi, e-tron GT Quattro mempunyai 476 PS dan 630 Nm. Jumlah ini akan dipertingkatkan kepada 530 PS dan 640 Nm dalam versi Launch Control, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Dengan 598 PS dan 830 Nm, RS e-tron GT hanya memerlukan 3.3 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 250 km/j.

Sementara itu, Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron masing-masing akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 50 dan 55. Varian 50 dilengkapi dengan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) dan bateri lithium-ion berkapasiti 89 kWh, sekaligus memberikan jarak pemanduan dari 491 km hingga 505 km.

Varian 55 juga mempunyai dua motor elektrik namun dengan bateri berkapasiti lebih tinggi iaitu 106 kWh, ia boleh bergerak sejauh 582 km untuk versi biasa dan 600 km untuk versi Sportback.

Inisiatif #ReadyToDrive Audi Malaysia tawar ketenangan minda kepada pelanggan

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mengumumkan inisiatif #ReadyToDrive yang memberi fokus kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan ketenangan minda buat para pemilik Audi.

Ini merupakan insiatif selepas jualan yang pertama oleh PHSAM selepas mewakili jenama Audi dari segi jualan, pemasaran dan selepas jualan di Malaysia bermula Julai 2022.

“Kepuasan pelanggan amat penting kepada kami. Jadi, kami meningkatkan usaha terhadap semua aspek. Kami mahu memastikan Audi sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” kata Pengarah Selepas Jualan PHSAM, Deenan Nadar.

Berdasarkan kepada laporan terkini daripada satu kaji selidik yang dijalankan setiap dua tahun oleh Audi, keselamatan kenderaan menjadi keutamaan paling penting buat pelanggan.

“Pemilik Audi boleh memanfaatkan pakej penjagaan pelanggan terkini kami yang direka untuk menawarkan keselamatan dan kebolehpercayaan. Dengan musim cuti sekolah dan perayaan, tidak ketinggalan musim tengkujuh yang diramal berlaku tidak lama lagi, kami mahu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat.

“Ini akan menjadi masa puncak dengan jumlah kenderaan lebih banyak berada di atas jalan, pemanduan yang panjang dan mungkin berbahaya, di samping hujan lebat, banjir dan ribut petir yang tidak dijangka. Kami mahu memastikan semua pemilik Audi menempuhi perjalanan dengan minda yang tenang,” kata Deenan.

Untuk mengukuhkan kualiti perkhidmatan selepas jualan, juruteknik di semua Pusat Audi di seluruh negara telah menjalani proses penilaian dan peningkatan kemahiran secara berterusan demi menambah baik prestasi servis mereka.

Kempen #ReadyToDrive yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember 2022 akan menawarkan nilai luar biasa kepada pemilik Audi menerusi satu pakej komprehensif yang merangkumi:

  • Pemeriksaan 30 poin kenderaan secara percuma untuk pemilik yang tidak mengunjungi Pusat Audi sejak 12 bulan lalu
  • Perkhidmatan ambil dan serah secara percuma
  • Penjimatan sebanyak 20 peratus ke atas Servis Audi serta alat ganti lusuh Audi terpilih
  • Penjimatan sebanyak 20 peratus ke atas bateri Audi

Pusat-pusat Audi juga menawarkan kemudahan dan keselesaan ketika berada di lounge pelanggan yang dilengkapi wifi percuma. Pusat-pusat itu telah disanitasi sepenuhnya dan sentiasa dipantau bagi memastikan kebersihan maksimum dapat dikekalkan.

Kereta Audi yang dibeli di Malaysia hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Maklumat lanjut mengenai Audi #ReadyToDrive offers, atau menempah temu janji servis, sila layari laman web www.audi.com.my atau hubungi Audi Centre.