Arkib Tag: Aston Martin EV

Aston Martin bakal keluarkan EV dengan bateri berprestasi tinggi, hasil kerjasama dengan Britishvolt

Aston Martin telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Britishvolt bagi menghasilkan bateri kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi.

EV tersebut dijangka akan membuat kemunculan pada sekitar 2025.

Britishvolt yang berpengkalan di Blyth, England sebelum ini telah memeterai perjanjian dengan Lotus untuk tujuan yang sama.

Menurut Aston Martin, mereka merancang untuk meletakkan satu standard baru dari segi prestasi di litar, masa pengecasan serta jarak pemanduan bagi pembangunan EV ultra mewah yang berprestasi tinggi.

Kredit: Autocar

Aston Martin yang menggunakan trenkuasa serta komponen dari Mercedes-Benz, berkata perkongsian dengan Britishvolt adalah pelengkap kepada perjanjian sedia ada dengan Mercedes.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin, Tobias Moers, “Kerjasama hebat ini menggabungkan penguasaan kejuruteraan Aston Martin selama 109 tahun dengan syarikat teknologi UK yang kian berkembang pesat.

“Melalui kerjasama dengan Britishvolt, kami boleh mencipta teknologi baharu dan menetapkan penanda aras yang sepadan dengan reputasi kami dalam mencipta EV ultra mewah yang berprestasi tinggi.

“Kerjasama ini juga membolehkan Aston Martin akses kepada teknologi serta meluaskan pilihan bagi proses elektrifikasi EV kami,”tambahnya lagi.

Orral Nadjari, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Britishvolt berkata,“Kami teruja dengan kerjasama Aston Martin dalam membangunkan EV yang dikuasakan oleh sel bateri mampan berkarbon rendah Britishvolt.”