Nabil Azlan mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas kategori Assetto Corsa pada Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik 2026 (APMC 2026) baru-baru ini.
Atlet berusia 24 tahun itu memenangi saingan suku akhir dan separuh akhir sebelum menjuarai perlumbaan akhir.
Kemenangan ini memperbaiki pencapaian peraknya dalam kategori iRacing pada edisi 2025 selain meneruskan rekod emas Malaysia sejak kejohanan diperkenalkan pada 2023.
Penampilan sulung Iqbal Suji
Seorang lagi wakil negara dalam kategori Assetto Corsa, Iqbal Suji turut mara ke final sebelum menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.
Keputusan itu menjadi pencapaian memberangsangkan buat atlet berusia 28 tahun berkenaan pada penampilan sulungnya di APMC.
Nasib kurang menyebelahi wakil iRacing
Dalam kategori iRacing, Raja Amirul Syauqat, 22, mara ke final dan memulakan perlumbaan dari petak ketujuh.
Bagaimanapun, pelanggaran membabitkan peserta Australia menyebabkan beliau tercicir ke belakang sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Ethen Low pula mara sehingga separuh akhir sebelum cabarannya berakhir lebih awal.
Pada usia 16 tahun, peserta termuda disiplin e-sukan itu memperoleh pengalaman berharga berdepan pelumba simulator terbaik rantau ini.
Keempat-empat pelumba mendapat sokongan Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP).
