Arkib Tag: AS

GML syarikat berpangkalan di Johor, bekal 140 unit bas elektrik ke AS

GEMILANG International Ltd (GML) dijangka menghantar lebih 140 unit bas sekolah elektrik (electrical vehicle) ke Amerika Syarikat (AS).

Syarikat terkemuka berpangkalan di Johor itu berkata, ia merupakan sebahagian misi mempromosikan penggunaan kenderaan mesra alam untuk bas dan badan bas.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pang Chong Yong mengakui pesanan diterima dari AS adalah suatu yang membanggakan.

Ia bukan hanya sebagai pencapaian dalam usaha penembusan ke pasaran AS malah, menjadi kuantiti terbesar dalam satu pesanan bas EV pernah diterima pihaknya.

“GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD Auto dan CRRC Electric Vehicle Ltd bagi beberapa pasaran.

“Kami menjangkakan lebih banyak negara menjejaki peralihan kepada EV,” katanya.

Foto ihsan Facebook/GML

GML disenaraikan di Bursa Hong Kong telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, lapor Bernama.

Tidak dinafikan, pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan eksponen.

Ini susulan Perjanjian Infrastruktur Bipartisan diumumkan menjadi undang-undang oleh Presiden AS Joe Biden.

Ia melibatkan komitmen US$2.5 bilion untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah di seluruh AS.

“Berdasarkan rancangan baharu untuk menukar 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan pelepasan sifar karbon, kami yakin dapat menguasai lebih,” katanya lagi.

Projek utama GML termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) dan bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro.

Selain itu, ia turut meliputi projek rintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.

GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun lepas.

Toyota kini kereta paling laris di AS, rampas takhta GM sejak 1931!

BUAT pertama kalinya dalam tempoh hampir satu abad, sebuah pengeluar asing telah mengambil tempat pertama di Amerika Syarikat (AS).

General Motors (GM) telah menjadi pengeluar paling laris di negara Uncle Sam itu sejak 1931 tetapi selepas 90 tahun, takhtanya telah dirampas oleh Toyota.

Toyota hari ini mengumumkan mereka telah menjual lebih 2.3 juta kenderaan di AS pada 2021 sahaja, iaitu 10 peratus lebih tinggi dari 2020. Angka ini mengalahkan jualan GM iaitu 2.2 juta unit kenderaan pada 2021, penurunan sebanyak 13 peratus dari 2020.

Sementara itu, Ford belum mendedahkan laporan jualan penuh mereka untuk 2021 tetapi sehingga November, mereka menjual 1.7 juta kenderaan iaitu agak jauh di belakang Toyota.

Penganalisis ada yang berbahas mengenai prestasi Toyota itu tetapi antara faktor utama ialah pemberhentian operasi pengeluaran disebabkan pandemik Covid-19 dan isu logistik dalam industri automotif melibatkan cip semikonduktor.

Toyota berjaya mengekalkan kelancaran operasi pengeluaran mereka lebih baik dari GM dan Ford, lantas membantu syarikat itu menghasilkan dan menjual lebih kenderaan.

Model paling popular Toyota iaitu RAV4 mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5 peratus, tetapi model-model utama lain seperti Camry, Corolla, Highlander dan Tacoma semua mencatatkan peningkatan.

Chevrolet Silverado dan GMC Sierra.

Bagi GM pula, jualan Chevrolet Silverado dan GMC Sierra masing-masing menurun manakala pesaing RAV4 iaitu Chevrolet Equinox mengalami penurunan 39 peratus.

Jurucakap Toyota berkata kepada Car and Driver, “Menjadi nombor satu tidak pernah menjadi fokus atau keutamaan.

“Fokus syarikat sentiasa – dan akan terus menjadi – salah satu jenama terbaik dari segi keselamatan dan kualiti untuk pelanggan.”

AS wajibkan pemasangan alat kesan pemandu mabuk pada kenderaan baharu

PELBAGAI usaha dilakukan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mengatasi kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Terbaharu, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang mewajibkan pemasangan alat pemantauan pemandu mabuk bagi setiap kenderaan baharu bermula tahun 2026.

Lapor Business Insider, alat itu perlu berfungsi dengan mengesan cara pemanduan sekaligus mengetahui sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

Jika pemandu didapati mabuk, alat tersebut secara automatik akan mengehadkan operasi kenderaan.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan AS masih belum memutuskan teknologi sesuai untuk pemasangan dalam kenderaan selain, memberi masa kepada pengeluar membuat kajian lanjut.

Berdasarkan data National Highway Traffic Safety Administration, satu pertiga daripada kes kemalangan di AS adalah berpunca daripada pemandu mabuk.

Dianggarkan 10,000 individu maut sejak 2010 sehingga 2019 akibat pengaruh aklkohol sekaligus melahirkan kebimbangan kepada pihak berkuasa negara itu.