Arkib Tag: Aruz

Anak-anak ditinggal kepanasan dalam Perodua Aruz, ibu bapa pergi beraya!

UMUM mengetahui Malaysia sedang melalui musim panas melampau sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ramai yang lebih memilih untuk tidak melakukan aktiviti luar, lebih selesa tinggal dalam bilik dengan pendingin hawa bagi mengelakkan berlaku strok haba.

Malangnya, di sebalik musim cuaca panas yang melanda, masih terdapat ibu bapa yang mengambil mudah isu ini dengan meninggalkan anak-anak dalam kereta tanpa pendingin hawa. Enjin kereta ditinggalkan dalam keadaan tidak dihidupkan, hanya tingkap dibuka sedikit.

Perkara ini dikongsikan oleh pengguna Facebook, Nana Nandos, dimana beliau memaklumkan mendengar tangisan dua kanak-kanak yang didakwa kembar di dalam sebuah Perodua Aruz di Taman Kajang Impian.

Melihat kejadian itu, beliau memaklumkan sempat memberikan air kotak untuk menenangkan dua kanak-kanak ini.

Lebih mengejutkan, beliau terpaksa menanti kira-kira 30 minit untuk ibu bapa mereka kembali semula ke kereta selepas beraya ke rumah terbuka berdekatan. Rupanya datuk dan neneknya juga turut bersama!

Dimaklumkan penjaga kepada dua kanak-kanak ini sekadar mengangkat tangan dan senyum kepada wanita ini kerana membantu. Lebih memburukkan keadaan ialah reaksi daripada ibu kanak-kanak ini yang didakwa seolah tidak mengendahkan perkara yang berlaku.

Perkongsian yang dibuat wanita ini telah mendapat perhatian para netizen di mana rata-ratanya menyelar tindakan penjaga dua kanak-kanak ini.

Malah, terdapat netizen yang mencadangkan agar wanita ini membuat laporan isu pengabaian kanak-kanak pada pihak yang bertanggungjawab.

Wanita ini memaklumkan beliau memilih untuk tidak membuat laporan polis. Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan perkara ini seharusnya diambil serius.

Beliau akui agak terkejut bagaimana ibu bapa serta penjaga mampu ambil mudah dalam isu menjaga anak-anak ini.

Jualan meningkat, Perodua mohon pelanggan sabar tunggu kenderaan dibeli

PERODUA mencatatkan jualan memberansangkan pada bulan lalu.

Menurut kenyataan Perodua, syarikat itu telah melakukan penghantaran lebih 14,160 unit kenderaan pada September.

Jumlah itu meningkat 102 peratus daripada 6,988 unit terjual pada bulan Ogos.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. – Foto ihsan Perodua

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, syarikat itu bagaimanapun akan terus berusaha untuk mencatatkan peningkatan jualan.

“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan. Bagaimanpun, ia masih belum mencapai potensi penuh.

“Perodua akan terus berusaha dengan para pembekal dan pengedar untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatan,” kata Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Setakat ini, Perodua telah menjual 119,093 kenderaan dengan berbaki tempoh dua bulan sebelum memasuki tahun 2022.

Namun, jumlah itu sedikit menurun berbanding 145,012 kenderaan terjual pada tahun 2020.

Model Perodua Aruz merupakan antara kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia. – Foto ihsan Facebook/Perodua Aruz

Terdahulu, Zainal meminta para pelanggan bersabar menunggu kenderaan yang ditempah.

Jelasnya, Perodua kini sedang meningkatkan produktiviti selain terus memastikan kualiti produk dihasilkan pada tahap terbaik.

“Terima kasih kepada para pelanggan yang terus bersabar kerana kami kini sedang meningkatkan pengeluaran kami.

“Kami juga memohon maaf di atas kesukaran dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran.

“Kami akan membantu para pelanggan untuk memastikan kenderaan mereka dihantar secepat mungkin,” katanya lagi.

Aruz masuk pasaran Singapura, dijual pada harga S$92,999

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasmi melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Aruz di Singapura, hari ini.

Memetik kenyataan dikeluarkan, Aruz dijual pada harga S$92,999 atau bersamaan RM286,409.

Harga tersebut termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sijil hak memiliki kenderaan (COE).

Untuk rekod, Aruz merupakan kenderaan tujuh tempat duduk pertama ditawarkan Perodua di Singapura.

Menjadi kenderaan SUV terlaris di Malaysia, sebanyak 58,000 unit Aruz telah terjual sejak ia diperkenalkan di pasaran tempatan pada 2019.

Singapura merupakan antara beberapa negara yang menerima eksport kenderaan Perodua selain Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.