Arkib Tag: Arai

19 topi keledar Shoei, Arai bernilai RM63,200 dicuri

SEORANG peniaga topi keledar berputih mata apabila 19 topi keledar jenama Arai dan Shoei bernilai RM63,200 lesap dicuri orang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya mendakwa telah keluar dari kediamannya di Taman Bukit Kuchai, Puchong pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun menyedari kehilangan topi keledar itu selepas pulang ke bilik sewanya pada jam kira-kira 4.45 petang.

“Suspek disyaki masuk ke bilik mangsa melalui pintu pagar hadapan rumah yang tidak berkunci. Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas,” katanya.

Tambah beliau lagi, tempat kejadian adalah di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.

Siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual topi keledar jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.

“Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, kejadian itu turut dikongsikan di laman grup Facebook RXZ Members – Official yang memaparkan senarai jenis topi keledar yang hilang selain memohon jasa baik semua pihak untuk sebarkan berita ini agar barang terbabit dapat dipulangkan semula.

Vinales bebas atur masa depan, Yamaha tamatkan kontrak serta-merta

YAMAHA secara rasmi menamatkan kontrak bersama pelumbanya Maverick Vinales berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu hadir selepas Yamaha memutuskan tidak menggunakan khidmat Vinales pada perlumbaan British Grand Prix MotoGP pada 26 sehingga 29 Ogos ini.

Tindakan Yamaha itu sememangnya sudah dijangka walaupun Vinales membuat keputusan menamatkan kontrak setahun lebih awal yang berakhir hujung musim ini.

“Di Assen kami telah capai kata sepakat bahawa kontrak akan ditamatkan setahun lebih awal iaitu pada hujung musim ini.

“Bagaimanapun, amat mengecewakan perlumbaan tidak berlaku dengan baik di GP Styria dan lebih baik kedua pihak (Vinales) tamatkan perjanjian lebih awal.

“Ia juga bagus untuk Vinales menentukan haluannya tanpa sebarang kekangan dan terus fokus mencorak kerjayanya,” kata Pengarah Urusan Yamaha Moto Racing, Lin Jarvis.

Maverick Vinales pelumba paling kontroversi pada musim ini. – Foto ihsan Wikipedia

Konflik Yamaha dan Vinales bukan lagi rahsia apabila pelumba itu disering meluahkan rasa kecewa dengan pasukan diwakilinya.

Pada perlumbaan Styria, Vinales dilihat cuba melakukan kerosakan pada jenteranya sekaligus mengundang bahaya.

Susulan insiden itu, Vinales yang pada mulanya ‘mengunci’ mulut meluahkan rasa kesal dan memohon maaf kepada Yamaha.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui tindakan dilakukan kerana sukar untuk membendung kekecewaan terhadap pasukannya.

Maverick Vinales ketika di MotoGP TT Assen yang merupakan perlumbaan terakhirnya bersama pasukan Monster Energy Yamaha. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Vinales dalam satu kenyataan mengambil maklum mengenai keputusan terbaharu Yamaha.

Vinales mengucapkan terima kasih kepada Yamaha di atas peluang diberikan selama ini selain mendoakan agar pasukan diwakilinya sejak 2017 terus berjaya dalam MotoGP.

“Terima kasih kepada Yamaha untuk tempoh lebih empat tahun ini dan segala kejayaan pernah tercipta akan terus dikenang.

“Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mendoakan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.

Elak kepala ‘pecah’! Berikut helmet sering dipakai orang Malaysia

KADAR kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini amat membimbangkan.

Berdasarkan senario itu, pemilihan topi keledar (helmet) bagi tujuan keselamatan adalah sangat penting.

Penunggang motosikal wajib mengetahui ciri keselamatan setiap helmet termasuk mengenal pasti adakah ia memenuhi piawaian Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM).

Justeru bagaimana untuk memilih helmet yang sesuai?

Apakah jenama helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini?

Jom kita semak satu per satu!

Senarai helmet popular di Malaysia

Terdapat banyak jenis dan jenama helmet di pasaran dengan pelbagai harga.

Ada mahal dan ada juga yang murah.

Semuanya bergantung kepada kualiti dan jenama.

Berikut merupakan antara beberapa jenis helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini:

Arai Open Face Helmet

Nama Arai bukan biasa-biasa bagi kebanyakan pencinta helmet.

Bukan sahaja kerana harganya yang ‘berdentum’, tetapi Arai amat terkenal dengan kualiti yang super premium!

Setakat ini, kebanyakan helmet jenama Arai berharga ribuan ringgit.

Jika anda terjumpa Arai yang agak murah, hati-hati kerana ia mungkin produk cetak rompak.

Shoei Jo Helmet – Hawker

Reka bentuk helmet ini sesuai untuk penunggang motosikal jenis skuter.

Helmet ini membenarkan aliran udara di bahagian dalam sekaligus memberi keselesaan menyeluruh kepada si pemakai.

Rangka topi yang ringkas dan bergaya ini juga sesuai untuk meningkatkan prestasi semasa menunggang sambil mengutamakan keselamatan.

Bayangkan anda pakai helmet ini sambil bersiar di tengah ibu kota, ‘merecik!’

KYT NF-J

Helmet asal Indonesia ini kian menempa nama dalam kalangan penunggang motosikal negara ini.

NF-J bukan sahaja ‘sedap’ dipakai tetapi juga mempunyai pelbagai design menarik.

Kebanyakan design dicipta berjaya menarik perhatian anak muda.

Selain itu, antara helmet NF-J popular adalah bertemakan frontliner tanda tribute kepada petugas barisan hadapan menentang Covid-19.

ARC Ritz AR4 (Stars)

Reka bentuk helmet ini sangat unik dengan cermin depan diperbuat daripada bahan tahan retak.

Memiliki corak bintang eksklusif, ia mempunyai fitur keselamatan tinggi selain mendapat kelulusan piawaian Sirim.

Rata-rata penunggang mengakui ARC Ritz AR4 sangat selesa dipakai terutama ketika cuaca panas.

GIVI M50.2 Turismo Graphic Touring Helmet

Helmet jenis ini sangat sesuai untuk individu menunggang motosikal bagi jarak jauh.

Menutup wajah sepenuhnya, ia memberi perlindungan menyeluruh bahagian kepala dan muka.

Apa yang penting harganya amat berpatutan dengan kualiti yang amat memuaskan.

SGV Cruiser Visorex Helmet

Jangan panggil diri anda ‘Mat Motor’ jika tidak pernah mendengar nama helmet ini.

Sekiranya anda memerlukan helmet jenis sederhana dan ringan, SGV jenama paling sesuai.

Apa yang penting, ia bukan sahaja murah tetapi selamat digunakan kerana memilki pengiktirafan Sirim.

Sebenarnya ada banyak lagi helmet terkenal di negara ini.

Untuk kami senaraikan kesemuanya memang terlalu banyak!

Mungkin di masa lain kita akan borak lagi mengenai helmet yang sering digunakan penunggang motosikal negara ini.

Jumpa lagi guys!