Arkib Tag: AOS 2026

Triumph Malaysia lancar model Tracker 400 & Thruxton 400, harga dari RM27,900

Triumph Motorcycles Malaysia meluaskan penawaran motosikal klasik moden dengan memperkenalkan dua model baharu, iaitu Tracker 400 dan Thruxton 400.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Triumph Tracker 400 – RM27,900
  • Triumph Thruxton 400 – RM29,900

Spesifikasi Tracker 400

Motosikal yang diinspirasikan daripada jentera lumba litar rata ini menampilkan enjin TR 398 cc menghasilkan 42 PS @ 9,000 rpm dan daya kilas 37.5 Nm @ 7,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac slip & assist.

Casis keluli tubular hibrid itu ditampung dengan tetapan suspensi fork teleskopik 43 mm jenis terbalik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal gas dengan larasan pra-beban di belakang.

Jarak pergerakan roda pula sekitar 140 mm untuk gandar depan dan 130 mm untuk roda belakang.

Sistem brek menggunakan rotor tunggal 300 mm dengan angkup radial empat-omboh di depan, dibantu dengan rotor tunggal 230 mm di belakang serta sistem ABS dua-saluran.

Ciri-ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • rim aluminium 17 inci
  • tangki bahan api 13 liter
  • tinggi pelana 805 mm
  • kawalan pendikit elektronik
  • paparan meter analog & skrin LCD berbilang fungsi

Terdapat pilihan warna Racing Yellow, Phantom Black dan Aluminium Silver Gloss.

Spesifikasi Thruxton 400

Berbeza dengan Tracker 400, Thruxton 400 membawakan penggayaan sebuah cafe racer dengan rekaan reraup klasik.

Ia berkongsi enjin 398 cc yang sama dengan Tracker 400, dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac slip & assist.

Thruxton 400 menggunakan tetapan suspensi fork 43 mm jenis terbalik dengan jarak pergerakan roda 135 mm di depan, dibantu dengan penyerap hentak gas dengan jarak pergerakan roda 130 mm.

Brek pula terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor tunggal 300 di depan, diikuti dengan angkup omboh tunggal dan rotor 230 mm di belakang.

Ia turut dilengkapi dengan bar hendal jenis clip-on dan tempat pemijak kaki belakang untuk posisi tunggangan lebih sporti.

Ciri-ciri lain termasuklah:

  • rim aluminium 17 inci
  • tangki bahan api 13 liter
  • tinggi pelana 795 mm
  • kawalan pendikit elektronik
  • paparan meter analog & skrin LCD berbilang fungsi

Pembeli boleh dapatkan pilihan warna Phantom Black/Aluminium Silver, Pearl Metallic White/Storm Grey dan Metallic Racing Yellow.

Vespa Malaysia lancar Primavera S 180, Sprint S 180 & Sprint Tech 180, harga dari RM21,500

Bertempat di Art of Speed 2026, Vespa Malaysia melancarkan tiga model skuter yang dilengkapi dengan enjin 180 cc serba baharu.

Tiga model yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Vespa Primavera S 180 – RM21,500
  • Vespa Sprint S 180 – RM21,900
  • Vespa Sprint Tech 180 – RM23,500

Enjin baharu lebih bertenaga

Enjin silinder tunggal i-get 173 cc serba baharu itu mampu menjana kuasa setinggi 14.8 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 6,250 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT.

Enjin baharu tersebut menawarkan manfaat seperti pecutan lebih lancar, tunggangan lebih meyakinkan dan tahap kecekapan yang lebih baik.

Ciri premium

Barisan model baharu 2026 ini turut menawarkan pelbagai ciri dan teknologi premium seperti:

  • skrin paparan LCD berwarna
  • sistem operasi tanpa kunci

Vespa Primavera S membawakan kemasan seperti aksen gangsa, rim potongan berlian, balutan tempat duduk yang dinaik taraf serta pilihan warna White Innocente dan Blue Capri.

Vespa Sprint S pula menampilkan kemasan aksen merah yang lebih menonjol, pelana yang direka baharu, serta pilihan warna White Innocente, Matt Black Convinto, Grey Intrepido, Green Tenace dan Grey Essenziale.

Vespa Sprint Tech pula merupakan varian Sprint yang lebih maju, dilengkapi dengan teknologi premium seperti skrin paparan TFT 5-inci dan sistem brek ABS dua-saluran. Ia tersedia dalam warna White Innocente, Matt Black Convinto dan Matt Grey Travolgente.

Vespa Primavera S 180 

Vespa Sprint S 180

Vespa Sprint Tech 180