Arkib Tag: antonov

Tiada lagi Mitsubishi di Rusia, pasaran automotif mulai terjejas?

RUSIA terus berdepan tekanan susulan tindakan menyerang negara jiran, Ukraine.

Terbaharu, industri automotif Rusia pula menerima ‘tamparan’ hebat selepas sebuah syarikat pengeluaran kenderaan dari Jepun memberi bayangan menghentikan pengeluaran di negara itu.

Mitsubishi Motors seperti dilapor Reuters berkata, syarikat itu bukan sahaja bakal menghentikan pengeluaran malah, menghentikan jualan kenderaan di Rusia.

Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. – Foto ihsan Mitsubishi

Ia berikutan langkah sekatan ekonomi dikenakan oleh beberapa kuasa besar termasuk Jepun yang mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. 

Sejak dua minggu lalu, ketegangan mula memuncak selepas Rusia mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine.

Tindakan Rusia terus dikecam majoriti negara Eropah yang menggesa serangan bersenjata dihentikan segera.

Sementara itu, konflik bukan sahaja menyaksikan kehilangan nyawa orang awam tetapi turut melibatkan kerosakan infrastruktur dan harta benda.

Antonov AN-225. Foto ihsan Wikipedia

Media melaporkan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 turut musnah dibedil tentera Rusia.

Insiden itu menyebabkan ramai pihak mengkritik tindakan Rusia yang secara tidak langsung menghapuskan identiti Antonov sebagai pesawat terbesar dibina sejak 1988.

Pesawat kargo terbesar dunia, Antonov An-225 musnah dalam serangan Rusia di Ukraine

PESAWAT kargo terbesar dunia, Antonov An-225 dilaporkan telah musnah semasa serangan Rusia terhadap Ukraine baru-baru ini.

Imej satelit dari Maxar Technologies yang menunjukkan kemusnahan semasa serangan.

Pesawat malang itu berada di Lapangan Terbang Gostomel yang terletak 25km dari Kyiv bagi proses penyelenggaraan ketika serangan.

Menurut Ukroboronprom, syarikat pertahanan milik Ukraine yang menguruskan Antonov, mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status terkini pesawat tersebut.

Kenyataan rasmi tersebut telah menyatakan bahawa Antonov An-225 telah pun musnah pada Ahad lalu dan menjangkakan kos pembinaan semula sekitar USD3 Billion yang bersamaan RM12.6 Billion.

Selain itu, kenyataan rasmi tersebut turut menyatakan tempoh pembinaan semula akan mengambil masa sekitar lima tahun.

Ketika kejadian, dilaporkan bahawa salah sebuah enjin dalam proses baik pulih sekaligus menyebabkan pesawat itu tidak mampu terbang meskipun arahan telah pun dikeluarkan untuk mengosongkan lapangan terbang.

Antonov An-225 merupakan satu-satunya pesawat kargo terbesar dunia dengan kapasiti muatan 250 tan. Pesawat ini mempunyai bukaan wingspan sepanjang 88 meter dan 84 meter panjang serta dikuasakan dengan enam unit enjin turbofan.

Pesawat ini sering kali menarik perhatian setiap kali kemunculannya di serata dunia dan pernah membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2018.