Arkib Tag: angka jualan

Perodua Ativa kekal berbisa, atasi Proton X50 dan Traz pada September 2026

Dinamik persaingan dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan terus menyajikan plot menarik bagi penutup suku ketiga tahun 2026 (Q3 2026).

Selepas menguasai bulan Ogos, Perodua Ativa sekali lagi tampil pada bulan September 2026 sebagai juara pendaftaran bulanan.

Lonjakan ini membawa implikasi terhadap kedudukan carta pendaftaran terkumpul (YTD) nasional.

Ativa Tinggalkan X50 & Traz

Memasuki bulan September 2026, pendaftaran Ativa mencatatkan angka bulanan tertinggi di dalam segmennya dengan pendaftaran sebanyak 2,687 unit.

Angka tersebut meletakkan Ativa jauh di hadapan pencabar terdekat Proton X50, yang mencatatkan pendaftaran bulanan sebanyak 1,981 unit.

Perodua Traz pula menduduki tempat ketiga bulanan dengan pendaftaran 1,281 unit.

Kejayaan ini bermakna Ativa menerajui pendaftaran bulanan September dengan kelebihan selesa sebanyak 706 unit di hadapan X50 dan 1,406 unit di hadapan Traz.

Berikut adalah perbandingan pendaftaran bulanan bagi bulan September 2026:

  • Perodua Ativa: 2,687 unit (Ogos: 2,288 unit)
  • Proton X50: 1,981 unit (Ogos: 2,229 unit)
  • Perodua Traz: 1,281 unit (Ogos: 1,522 unit)

Ativa Rampas Semula Kelompok Top 10 YTD, Traz Terkeluar

Impak lonjakan bulanan membuahkan hasil apabila Ativa merampas semula kedudukan di dalam kelompok 10 model paling laris di Malaysia (YTD September 2026).

Dengan jumlah pendaftaran terkumpul sebanyak 17,044 unit, Ativa kini selesa menduduki tangga ke-9 YTD.

Kejayaan ini secara langsung menolak Traz daripada kelompok elit Top 10. Traz kini berada di tangga ke-11 di bawah Honda City (16,883 unit).


Proton X50 kekal mempertahankan kedudukan SUV paling banyak didaftarkan secara individu bagi tahun 2026 dengan mengumpul 19,809 unit di tangga ke-8 YTD.

Lonjakan Ativa juga menunjukkan perbezaan di antara X50 yang menyusut.

Berikut adalah pencapaian terkumpul YTD sehingga 30 September 2026 bagi model-model utama SUV:

  • Proton X50 (No. 8 YTD): 19,809 unit
  • Perodua Ativa (No. 9 YTD): 17,044 unit
  • Perodua Traz (Luar Top 10 YTD): (16,883 unit)

Strategi Dua Penjuru Perodua & Isyarat ‘Saga Cross’ Daripada Proton

Di sebalik persaingan individu, strategi taktikal Perodua menerusi Ativa dan Traz terus membuktikan keberkesanannya dalam menguasai pasaran automotif tempatan.

Gabungan pendaftaran terkumpul kedua-dua SUV kompak Perodua ini terus mendominasi pasaran massa secara menyeluruh.

Namun, di sebalik penguasaan Perodua, Proton sebenarnya sudah bersiap untuk menghangatkan lagi persaingan.

Sejumlah gambar SUV yang dikatakan sebagai Saga Cross sudah pun tersebar luas di media sosial, sekali gus memberi isyarat bahawa persaingan sebenar baru sahaja bermula!

Sumber Data: data.gov.my

JAECOO 7 kereta terlaris di Britain pada September, kali ke-2 pada 2026!

Selepas mencatatkan rekod sebagai kereta terlaris pada Mac, JAECOO 7 sekali lagi  mencatatkan pendaftaran tertinggi pada September 2026.

Bukan itu sahaja, OMODA&JAECOO UK mencatat bulan terbaik pada September dengan 22,296 pendaftaran, meningkat 106 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut angka terbaharu SMMT, OMODA&JAECOO menguasai 6.37 peratus pasaran kereta baharu Britain pada September.

Pada September 2025, OMODA&JAECOO merekodkan 10,812 pendaftaran dengan pegangan pasaran 3.45 peratus.

Pegangan JAECOO meningkat daripada 2.07 peratus kepada 4.30 peratus, manakala OMODA meningkat daripada 1.38 peratus kepada 2.07 peratus.

Jumlah pendaftaran September juga 24 peratus lebih tinggi berbanding Mac 2026. Pada Mac, OMODA&JAECOO merekodkan 17,951 pendaftaran.

JAECOO 7 Kereta Terlaris Britain

JAECOO 7 menjadi kereta baharu paling laris di Britain pada September dengan 10,813 pendaftaran.

Ini kali kedua JAECOO 7 menjadi kereta terlaris Britain pada 2026 selepas mencatat rekod pada Mac lalu.

Kedudukannya juga meningkat daripada tempat keempat pada September 2025.

Untuk rekod, OMODA&JAECOO UK muncul sebagai kumpulan jenama automotif ketiga terbesar di Britain berdasarkan pendaftaran pada Julai sebelum naik ke tempat kedua pada Ogos.

Pada Ogos, tiga modelnya turut berada dalam kelompok 10 kereta baharu paling laris di Britain.

Lebih 100,000 Jualan Dalam Dua Tahun

Pencapaian September hadir selepas OMODA&JAECOO UK melepasi 100,000 jualan terkumpul di Britain dalam tempoh dua tahun.

OMODA memasuki pasaran Britain pada Ogos 2024, diikuti JAECOO pada Januari 2025.

Dalam tempoh 12 bulan lalu, rangkaian peruncit kedua-dua jenama itu berkembang daripada 81 kepada 146 lokasi.

Barisan model pula meningkat dua kali ganda, daripada tiga keluarga model dengan lima pilihan rangkaian kuasa kepada enam keluarga model dengan 12 pilihan rangkaian kuasa.

Pengguna kini dihidangkan OMODA 5, OMODA 7, OMODA 9, JAECOO 5, JAECOO 7 dan JAECOO 8.

76 Peratus Pendaftaran Adalah Model Elektrifikasi

Permintaan terhadap OMODA&JAECOO disokong pilihan SUV petrol, elektrik dan hibrid.

Sebanyak 76 peratus daripada keseluruhan pendaftaran September terdiri daripada model elektrifikasi.

  • 55.7 peratus ialah hibrid plug-in
  • 10.4 peratus ialah hibrid penuh
  • 10.0 peratus ialah elektrik bateri
  • Model petrol penuh menyumbang 23.9 peratus

Sebagai perbandingan, model petrol menyumbang 37.5 peratus daripada keseluruhan campuran pendaftaran setahun sebelumnya.

Sebahagian model hibrid plug-in OMODA&JAECOO menggunakan sistem Super Hybrid System (SHS) generasi kelima.

OMODA 7 SHS-P Catat 1,239 KM

Kecekapan sebenar sistem hibrid plug-in OMODA&JAECOO turut diuji di UTAC Millbrook.

OMODA 7 SHS-P mencatat jarak 1,239 km (770 batu), kira-kira 10 peratus lebih jauh berbanding jarak gabungan rasmi WLTP.

JAECOO 7 SHS-P pula mencatat 1,333 km (828 batu), melebihi jarak rasmi WLTP sebanyak 11.14 peratus.

Waranti 7 Tahun

Selain memperluas rangkaian model, OMODA&JAECOO UK turut meningkatkan sokongan selepas jualan.

Pada Ogos, beberapa komponen utama termasuk sistem maklumat hibur, pam bahan api, alternator dan pam air dimasukkan ke dalam waranti pengeluar penuh selama 7 tahun/100,000 batu.

Perubahan itu turut terpakai kepada semua model OMODA dan JAECOO yang telah dijual di Britain.

Perodua Ativa juara SUV Ogos, Proton X50 di depan Traz!

Dinamik persaingan dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan terus bergejolak pada bulan Ogos 2026.

Selepas Perodua Traz menguasai pendaftaran bulanan pada Julai, giliran Perodua Ativa pula bangkit dan muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan pada bulan Ogos.

Berdasarkan data pendaftaran kenderaan terbaharu, persaingan tiga segi antara Ativa, Traz, dan Proton X50 semakin panas dengan pelbagai kejutan angka.

Ativa Juara Bulanan, X50 Pintas Traz

Memasuki bulan Ogos, pendaftaran Perodua Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo melonjak tajam.

Ativa mencatatkan angka bulanan tertinggi antara ketiga-tiga model ini dengan 2,288 unit.

Proton X50 turut menampilkan kebangkitan semula selepas kejatuhan pada bulan Julai dengan mencatatkan 2,229 unit, memintas Perodua Traz (1,522 unit).

Walau bagaimanapun, angka X50 masih belum cukup untuk menewaskan Ativa yang menerajui pendaftaran bulanan dengan kelebihan 59 unit.

Berikut adalah pendaftaran bulanan bagi Ogos 2026:

  • Perodua Ativa: 2,288 unit (Julai: 1,959 unit)
  • Proton X50: 2,229 unit (Julai: 1,953 unit)
  • Perodua Traz: 1,522 unit (Julai: 2,244 unit)

Ativa Rapatkan Jurang Dengan Traz, X50 Di Tangga Ke-8

Impak lonjakan 2,288 unit pada bulan Ogos memberikan kelebihan besar buat Ativa dalam perebutan kedudukan terkumpul (YTD).

Walaupun Ativa berada di luar kelompok 10 teratas YTD dengan jumlah 14,357 unit, ia kini rapat mengekori Perodua Traz (14,519 unit) di tangga ke-10 YTD.

Jualan Perodua Ativa, Perodua Traz dan Proton X50 pada Ogos 2026

Jurang antara dua SUV Perodua yang berada pada paras 928 unit pada Julai mengecil secara mendadak kepada 162 unit sahaja.

Jika momentum Ativa berterusan, tidak mustahil Ativa bakal merampas semula kedudukan Top 10 YTD daripada Traz menjelang penutup suku ketiga.

Berikut adalah pencapaian terkumpul YTD sehingga 31 Ogos 2026:

  • Proton X50 (No. 8 YTD): 17,828 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 14,519 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 14,357 unit

Duo Perodua Terus Kuasai Pasaran

Walaupun X50 masih mempertahankan gelaran SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi tahun 2026 (17,828 unit), strategi dua penjuru Perodua terbukti memberi cengkaman padu.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo Perodua (Traz + Ativa) kini sudah pun mencecah 28,876 unit (YTD).

Dengan baki empat bulan sebelum melabuhkan tirai 2026, mampukah Proton Saga Cross yang disebut-sebut menggugat penguasaan Perodua?

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Traz Juara Julai 2026, Ativa atasi Proton X50 dengan 6 unit!

Persaingan tiga segi dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan menyajikan kejutan baharu bagi pendaftaran bulan Julai 2026.

Selepas terkeluar daripada kelompok 10 teratas pada separuh pertama tahun ini (1H 2026), Perodua Ativa kembali bangkit dengan penuh bergaya.

Bersama Perodua Traz, kedua-dua model kompak itu akhirnya berjaya memintas kedudukan bulanan Proton X50.

Berdasarkan data pendaftaran daripada portal data.gov.my setakat 31 Julai 2026, bulan Julai menyaksikan corak penguasaan baharu yang memihak kepada Perodua.

Pendaftaran Julai: Traz Juara Bulanan, Ativa Dipisahkan 6 Unit Dengan X50

Perodua Traz merekodkan angka pendaftaran tertinggi antara ketiga-tiga model ini, manakala Proton X50 yang biasanya mendominasi takhta bulanan mengalami sedikit penurunan.

Berikut adalah angka pendaftaran rasmi bagi bulan Julai 2026:

  • Perodua Traz: 2,244 unit (Jun: 1,904 unit)
  • Perodua Ativa: 1,959 unit (Jun: 1,834 unit)
  • Proton X50: 1,953 unit (Jun: 2,016 unit)

Peningkatan pendaftaran Traz kepada 2,244 unit membolehkannya muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi bulan Julai.

Lebih menarik, Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo turut membuktikan kejaguhannya apabila memintas X50 dengan perbezaan yang sangat tipis, iaitu 6 unit sahaja.

Kedudukan YTD: X50 Kekal Raja Individu, Duo Perodua Pegang Dominasi Keseluruhan

Meskipun tewas dalam persaingan bulanan Julai, Proton X50 masih lagi mempertahankan kelebihan dalam carta pendaftaran terkumpul (YTD) hasil momentum kukuh pada awal tahun.

Berikut adalah pencapaian terkumpul sehingga 31 Julai 2026:

  • Proton X50 (No. 6 YTD): 15,599 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 12,997 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 12,069 unit

 

Namun, dari sudut strategi perniagaan, gabungan pendaftaran duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 25,066 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini menyerlahkan cengkaman kukuh Perodua dalam menguasai pasaran SUV kompak secara keseluruhan.

Proton Bangkit Dengan Saga Cross?

Dengan baki lima bulan menuju penghujung tahun 2026, mampukah X50 bangkit semula memintas pendaftaran bulanan Traz dan Ativa, atau adakah duo Perodua bakal berterusan sehingga penutup suku ketiga?

Jawapannya terletak pada model baharu Proton yang kerap disebut sebagai Saga Cross. Persaingan pasaran SUV tempatan kini semakin hangat untuk disaksikan!

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Ativa tersingkir daripada 10 model teratas 1H 2026, diganti Traz!

Prestasi Perodua Ativa yang hebat daripada Januari hingga Jun tahun 2025 (1H) nampaknya tidak berjaya diulangi pada tahun ini.

Bulan lalu, kami melaporkan bagaimana Ativa berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz pada bulan Mei.

Ativa kembali berada di tangga kesepuluh carta pendaftaran terkumpul (YTD) namun kedudukan itu tidak bertahan lama.

Memasuki data penutup H1 2026, Ativa terpaksa akur apabila terkeluar terus daripada kelompok 10 pendaftaran tertinggi di Malaysia.

Tempat Ativa kini digantikan oleh saudara baharu, Perodua Traz.

Penurunan Ketara Ativa: Perbandingan 1H 2025 vs 1H 2026

Jika menyingkap kembali prestasi separuh pertama tahun lalu, Ativa merupakan antara watak utama yang mendominasi carta dengan angka pendaftaran yang sangat kukuh.

Namun, dalam tempoh setahun sahaja, angka tersebut merosot dengan sangat ketara.

Berikut adalah perbandingan prestasi pendaftaran terkumpul (YTD) Ativa bagi tempoh Januari hingga Jun:

  • Januari – Jun 2025 (1H 2025): Ativa berada di tangga No. 6 keseluruhan dengan jumlah 16,740 unit.
  • Januari – Jun 2026 (1H 2026): Ativa jatuh ke tangga No. 11 keseluruhan dengan jumlah 10,110 unit.

Kehilangan sebanyak 6,630 unit (kemerosotan hampir 39.6%) dalam tempoh setahun ini memberi isyarat jelas bahawa perhatian pembeli sedang beralih arah.

Meskipun tidak berada dalam kelompok sepuluh teratas 1H 2026, Ativa sebenarnya berjaya menduduki tempat kesepuluh pendaftaran tertinggi bulan Jun 2026 dengan 1,834 unit.

Traz pula satu tangga di atas sebanyak 1,904 unit.

Perodua Traz Ambil Alih Tugas Sebagai Senjata Utama

Sebab utama di sebalik kemerosotan ini tidak lain tidak bukan adalah kehadiran Perodua Traz.

SUV kompak terbaharu Perodua yang dipacu enjin 1.5L aspirasi natural (NA) ternyata berjaya memikat pembeli yang mahukan praktikaliti mesra keluarga.

Setakat 1H 2026, Traz berjaya memintas Ativa untuk berada di dalam kelompok 10 teratas:

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 10,753 unit
  • Perodua Ativa (No. 11 YTD): 10,110 unit

Persaingan antara kedua-dua saudara ini sebenarnya masih sangat sengit apabila Traz berjaya memintas Ativa dengan jurang yang tipis, iaitu sebanyak 643 unit sahaja.

Ativa dilihat masih unggul dengan sesaran enjin kecil tetapi bertenaga, harga menarik dan pakej keselamatan yang lebih lengkap berbanding Traz.

Seteru utama mereka, Proton X50, pula kekal selesa menerajui segmen di tangga ke-6 keseluruhan dengan 13,646 unit.

Strategi Dua Penjuru Perodua Bakal Digugat SUV Baharu Proton?

Walaupun Ativa terkeluar daripada kedudukan 10 pendaftaran tertinggi, strategi dua penjuru Perodua sebenarnya masih berjalan lancar.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak ini (Traz + Ativa) telah mencecah 20,863 unit bagi separuh pertama 2026.

Pendaftaran Traz sebanyak 1,904 unit dan Ativa dengan 1,834 unit pada Jun begitu rapat mengikuti X50 sebanyak 2,016 unit.

Angka pendaftaran SUV Perodua jauh meninggalkan X50 dengan jumlah 13,646 unit sekali gus membantu Perodua mengekalkan cengkaman sebagai raja automotif tanah air.

Di sebalik gandingan tersebut, Proton sebenarnya sedang giat menyiapkan SUV baharu yang kerap disebut sebagai Saga Cross.

Mampukah Proton menyaingi Perodua selepas ini? Persaingan di antara gergasi pengeluar kebangsaan semakin menarik!

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Ativa pintas Traz lagi pada Mei 2026, Proton X50 kekal raja SUV Malaysia!

Pasaran SUV kompak di Malaysia bagi bulan Mei 2026 terus menyajikan drama persaingan tiga segi di antara Perodua Ativa, Traz dan Proton X50.

Selepas pendaftaran terkumpul (YTD) Mac dan April memperlihatkan pergerakan agresif, kedudukan carta kini mula menunjukkan corak penguasaan yang semakin menarik untuk diteliti, terutamanya dalam kem Perodua.

Walau bagaimanapun, takhta kejuaraan secara individu masih lagi milik mutlak Proton X50 yang kekal kebal sebagai SUV paling laris di tanah air.

Proton X50 Kekal Mendominasi, Dekati Angka 12k Unit

Meskipun pasaran berdepan asakan hebat daripada lambakan SUV hibrid dan elektrik (EV) baharu dari China, keutamaan pengguna Malaysia terhadap Proton X50 nyata sukar digugat.

Bagi bulan Mei 2026, SUV segmen-B ini mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,073 unit (menurun berbanding 2,468 unit pada April akibat faktor selepas raya).

Prestasi bulanan Proton X50 setakat lima bulan pertama 2026:

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Mei: 2,073 unit

Jumlah Terkumpul (YTD Mei): 11,630 unit

Keupayaan enjin 1.5L Turbo yang digandingkan dengan transmisi DCT ini membuktikan pilihan rangkaian kuasa konvensional Proton masih memegang kepercayaan tertinggi dalam kalangan pembeli tempatan.

Seteru Seperjuangan: Ativa Pintas Bulanan, Traz Menang YTD!

Di kem Perodua, persaingan antara Perodua Traz dan Perodua Ativa menjadi semakin membara.

Di atas kertas, Ativa membuktikan ia masih bertaring apabila berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz buat kali kedua berturut-turut pada bulan Mei dengan kelebihan 223 unit.

Angka pendaftaran bulanan bagi bulan Mei 2026 sahaja:

  • Perodua Ativa: 1,762 unit (April: 2,230 unit)
  • Perodua Traz: 1,539 unit (April: 2,220 unit)

Namun begitu, dari segi pendaftaran keseluruhan (YTD), Traz yang dipacu enjin 1.5L NA kekal di hadapan hasil daripada momentum konsisten pada awal suku pertama yang lalu.

Prestasi pendaftaran terkumpul (YTD sehingga 31 Mei 2026):

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 8,849 unit
  • Perodua Ativa (No. 10 YTD): 8,276 unit

Strategi Dua Penjuru Perodua ‘Tapau’ Proton

Kewujudan serentak Traz dan Ativa dalam portfolio Perodua ternyata merupakan satu langkah taktikal yang sangat berbisa.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 17,125 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini bukan sahaja jauh meninggalkan pencapaian individu Proton X50 (11,630 unit), malah menjadi nadi dalam membantu mengukuhkan cengkaman apabila jumlah pendaftaran keseluruhan Perodua mencecah 130,778 unit setakat Mei 2026.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mei 2026)

Kejutan terbesar pada bulan ini menyaksikan Honda City terpaksa akur terkeluar daripada kelompok 10 kenderaan, sekali gus membolehkan Perodua Ativa kembali membuat kemunculan semula dan berada di tangga kesepuluh:

  1. Perodua Bezza: 39,465 unit
  2. Proton Saga: 37,234 unit
  3. Perodua Axia: 30,940 unit
  4. Perodua Myvi: 23,894 unit
  5. Perodua Alza: 15,677 unit
  6. Proton X50: 11,630 unit
  7. Proton S70: 10,525 unit
  8. Proton e.MAS 5: 9,356 unit
  9. Perodua Traz: 8,849 unit
  10. Perodua Ativa: 8,276 unit

Sumber Data: data.gov.my

Proton X50 raja SUV, Perodua Traz kalah 10 unit dengan Ativa pada April 2026

Pasaran SUV Malaysia bagi bulan April 2026 terus memperlihatkan penguasaan Proton X50 yang sukar digugat.

Meskipun pasaran kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu sama ada dari jenama tempatan atau China, Proton X50 membuktikan kredibilitinya apabila kekal konsisten sebagai SUV paling laris di tanah air.

Sementara itu, dalam kem Perodua, perhatian terarah kepada model baharu Traz, yang kini secara rasmi memintas kedudukan pendaftaran terkumpul (YTD) saudaranya, Ativa.

Prestasi Proton X50 April 2026

Berdasarkan data pendaftaran sehingga 30 April 2026, Proton X50 kekal stabil dengan pendaftaran sebanyak 2,468 unit bagi bulan April.

Meskipun mencatat penurunan berbanding Mac, momentum X50 masih jauh di hadapan pencabar SUV segmen-B yang lain secara individu.

Prestasi konsisten ini menunjukkan model pembakaran dalaman (ICE) dengan kuasa turbo keluaran Proton masih memegang kepercayaan tinggi pengguna Malaysia.

Berikut adalah prestasi bulanan Proton X50 (Januari – April 2026):

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 9,557 unit

Perodua Traz Mula Memintas Ativa

Satu perkembangan yang sangat menarik bagi suku kedua (Q2) 2026 adalah prestasi Perodua Traz yang bersaing dengan Perodua Ativa.

Model ini mempamerkan momentum yang cukup kuat apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 2,220 unit pada bulan April, sekali gus memintas kedudukan YTD Ativa.

Data pendaftaran bulanan bagi model Perodua Traz:

  • Januari: 1,520 unit
  • Februari: 1,850 unit
  • Mac: 1,720 unit
  • April: 2,220 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 7,310 unit

Manakala prestasi Perodua Ativa menyaksikan persaingan yang cukup sengit sejak Januari 2026:

  • Januari: 1,650 unit
  • Februari: 1,254 unit
  • Mac: 1,380 unit
  • April: 2,230 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 6,514 unit

Berdasarkan jualan April, dapat diperhatikan kedua-dua model ini sama kuat dengan Ativa berjaya memintas Traz sebanyak 10 unit.

Strategi SUV Perodua dan Penguasaan Pasaran

Bagi Perodua, kewujudan serentak Traz dan Ativa sebenarnya merupakan satu kelebihan taktikal yang sangat berbisa.

Persaingan sihat antara kedua-dua model ini memberikan kepelbagaian pilihan dalam segmen SUV kompak buat pembeli di Malaysia.

Pengguna boleh memilih sama ada mahukan teknologi turbo pada Ativa atau praktikaliti enjin 1.5L NA pada Traz.

Secara strategik, gabungan pendaftaran Traz dan Ativa kini mencecah 13,824 unit (YTD).

Angka ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding pencapaian individu Proton X50 yang mencatatkan 9,557 unit (YTD).

Malah, jika dibandingkan dengan gabungan tiga model SUV utama Proton (X50, X70, X90) sebanyak 12,761 unit (YTD), duo SUV Perodua ini masih lagi mendahului dengan kelebihan 1,063 unit.

Setakat April, penguasaan Perodua dalam pendaftaran keseluruhan sudah pun mencecah angka 106,298 unit.

Gabungan Traz dan Ativa terbukti menjadi penyumbang dalam mengukuhkan cengkaman Perodua dalam pasaran SUV negara.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD April 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga April 2026:

  1. Perodua Bezza: 32,386 unit
  2. Proton Saga: 29,897 unit
  3. Perodua Axia: 24,955 unit
  4. Perodua Myvi: 19,478 unit
  5. Perodua Alza: 12,806 unit
  6. Proton X50: 9,557 unit
  7. Proton e.MAS 5: 8,473 unit
  8. Proton S70: 8,175 unit
  9. Perodua Traz: 7,310 unit
  10. Honda City: 6,730 unit

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Ativa 10 terlaris pada Mac, Traz terkeluar!

Landskap SUV kompak Malaysia bagi penutup suku pertama (Q1) 2026 menyajikan drama yang tidak disangka-sangka di antara Perodua Ativa dan Traz.

Selepas dua bulan mendominasi dan menjadi sebutan ramai, Perodua Traz terkeluar daripada carta 10 terlaris dan berada pada tangga ke-15.

Berdasarkan data terkini, Mac 2026 menyaksikan senior dalam segmen SUV kompak, iaitu Ativa, kembali menunjukkan taring dan menduduki tangga sepuluh teratas.

Kebangkitan ini sekali gus berjaya memintas pencabar baharu tersebut dalam carta bulanan.

Analisis Perodua Ativa vs Perodua Traz 2026

Graf pendaftaran bulanan menunjukkan satu trend yang sangat ketara antara kedua-dua model Perodua ini sepanjang suku pertama 2026.

Persaingan dalaman ini membuktikan bahawa pilihan pengguna masih dinamik walaupun model baharu dilancarkan.

  • Januari 2026: Traz bermula garang dengan 1,901 unit, manakala Ativa sebanyak 1,012 unit.
  • Februari 2026: Jurang semakin rapat apabila Traz merekodkan 1,710 unit dan Ativa mula mendaki ke 1,352 unit.
  • Mac 2026: Kebangkitan mutlak Ativa dengan angka pendaftaran melonjak kepada 1,920 unit, manakala Traz menurun kepada 1,479 unit.

Prestasi cemerlang pada bulan Mac ini meletakkan Ativa kembali di hadapan, sekali gus membolehkan model turbo itu memasuki semula carta 10 model terlaris bulanan.

Kejatuhan pendaftaran Traz secara automatik menolaknya keluar daripada kelompok elit tersebut bagi bulan Mac.

Untuk Q1, Traz masih di atas dengan kedudukan 10 terlaris berdasarkan jualan terkumpul 5,090 unit manakala Atiza di tempat ke-12 dengan jualan 4,284 unit.

Persaingan Perodua Bezza, Proton Saga dan Perodua Axia

Persaingan di kelompok tiga teratas menunjukkan dinamika yang sangat sengit antara dua gergasi nasional.

Walaupun Saga memulakan tahun dengan agresif, kedudukan Q1 2026 menyaksikan takhta kereta nombor satu kini milik Perodua semula.

Pendaftaran Bezza pada bulan Mac mencecah 7,493 unit dan secara rasminya merampas takhta Q1 dengan pendaftaran terkumpul (YTD) sebanyak 22,955 unit.

Saga pula mengekor rapat di tangga kedua dengan 21,690 unit yang menyaksikan pendaftaran pada Mac susut ketara kepada 5,398 unit berbanding 6,007 unit pada Februari.

Satu yang menarik Perodua Axia dengan jualan 5,774 unit pada Mac berjaya memintas Saga dan berada pada tangga kedua.

Jualan terkumpul Axia adalah sebanyak 17,661 unit setakat Mac 2026.

Kebangkitan Honda City dan Nasib Toyota Hilux

Dua bulan lepas (Januari dan Februari), Toyota Hilux menjadi wakil tunggal jenama asing yang berjaya memecah masuk ke dalam kelompok 10 model terlaris.

Namun, Mac 2026 menyaksikan perubahan drastik dalam kategori jenama bukan nasional ini.

Honda City (Sedan & Hatchback) membuat kemunculan semula yang luar biasa dengan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada bulan Mac.

Kebangkitan ini meletakkan angka pendaftaran terkumpul siri City kepada 5,232 unit.

Walaupun pendaftaran Hilux pada bulan Mac menunjukkan peningkatan kepada 1,749 unit berbanding Februari (1,677 unit), kedudukannya tetap terancam.

Persoalan besar kini timbul dengan harga diesel yang melonjak tinggi, apakah nasib kenderaan utiliti seperti Hilux pada masa akan datang?

Toyota Hilux BEV dapat bantu kurangkan impak harga diesel?

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mac 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mac 2026:

  1. Perodua Bezza: 22,955 unit
  2. Proton Saga: 21,690 unit
  3. Perodua Axia: 17,661 unit
  4. Perodua Myvi: 13,650 unit
  5. Perodua Alza: 8,691 unit
  6. Proton X50: 7,089 unit
  7. Proton e.MAS 5: 6,701 unit
  8. Proton S70: 5,798 unit
  9. Honda City: 5,232 unit
  10. Perodua Traz: 5,090 unit

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Traz 10 terlaris pada Feb, Ativa terkeluar sejak Jan 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar dengan Perodua Traz membuktikannya kalis kecaman manakala Proton Saga dan Perodua Bezza terus bersaing sengit.

Segmen SUV kompak kini menjadi tumpuan Traz terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terlaris, meninggalkan Ativa yang terkeluar dari radar kelompok elit sejak Januari 2026.

Dalam masa yang sama, persaingan dua model sedan paling ikonik negara, Saga dan Bezza terus menjadi drama kejar-mengejar sengit setakat tahun ini.

Drama Saga vs Bezza: Siapa Sebenarnya Raja?

Permulaan tahun ini memihak kepada Proton apabila Saga 2026 berjaya mengejutkan pasaran dengan kemenangan besar pada bulan Januari.

Namun, Perodua tidak menunggu lama untuk melakukan serangan balas pada bulan berikutnya.

  • Januari (Kemenangan Proton): Saga mendominasi dengan 10,285 unit, manakala Bezza tertinggal di belakang dengan 8,431 unit.
  • Februari (Kebangkitan Perodua): Bezza merampas kembali takhta bulanan dengan 7,031 unit, memintas Saga yang mencatatkan 6,007 unit.
  • Keputusan Keseluruhan (YTD): Walaupun Bezza menang di Februari, Proton Saga masih memegang gelaran Raja 2026 setakat ini dengan jumlah terkumpul 16,292 unit berbanding Bezza 15,462 unit.

Proton e.MAS 5: Dominasi Mutlak Pasaran EV

Satu lagi pencapaian yang wajib diberi perhatian adalah prestasi Proton e.MAS 5.

Model ini secara konsisten menjadi pilihan utama pengguna yang mahu beralih kepada teknologi elektrik daripada model petrol tradisional.

Setakat Februari 2026, e.MAS 5 telah merekodkan pendaftaran sebanyak 4,630 unit (YTD).

Kedudukannya yang kukuh di tangga ke-6 keseluruhan pasaran membuktikan bahawa Proton kini adalah peneraju sebenar pasaran EV massa di Malaysia, jauh meninggalkan pencabar EV dari jenama asing.

Satu-Satunya Wakil Luar: Toyota Hilux

Dalam keghairahan jenama nasional menguasai carta, satu fakta yang mengejutkan adalah bagaimana jenama asing tradisional semakin terhimpit.

Daripada 10 kedudukan teratas model paling laris, sembilan daripadanya didominasi sepenuhnya oleh Proton dan Perodua.

Toyota Hilux muncul sebagai pejuang tunggal jenama luar yang berjaya menyelit di kedudukan ke-10 dengan 3,015 unit pendaftaran (YTD).

Jenama Jepun lain yang dahulunya gah kini terpaksa akur berada di luar kelompok elit model individu bagi tahun 2026.

Fenomena Jenama China: Pintas Gergasi Jepun

Bukan sekadar model individu, landskap pengeluar  juga berubah drastik. Jenama dari China kini mula mencabar dominasi tradisi jenama Jepun yang sudah lama bertapak di Malaysia:

  • Chery: Kini melonjak ke kedudukan ke-5 jenama paling laris dengan 5,101 unit, menghampiri Honda yang berada di tangga ke-4 (6,556 unit).
  • BYD: Berjaya menduduki tangga ke-7 dengan 1,382 unit, secara rasminya memintas jenama Jepun seperti Mazda (1,285 unit).

Perodua Traz vs Ativa: Jurang Semakin Rapat!

Di segmen SUV kompak, Perodua Traz terus membuktikan dirinya sebagai model yang kalis kecaman.

Walaupun dihujani kritikan netizen berkaitan spesifikasinya di media sosial, angka jualan menunjukkan realiti yang berbeza apabila Traz kekal utuh dalam kelompok Top 10 pasaran Malaysia bagi dua bulan berturut-turut.

Prestasi Perodua Traz (Kekal No. 8):

  • Januari: Mencatatkan 1,901 unit (Kedudukan No. 8).
  • Februari: Kekal kukuh dengan 1,710 unit (Kedudukan No. 8).
  • Jumlah Terkumpul (YTD): Sebanyak 3,611 unit, mengukuhkan statusnya sebagai antara SUV paling diminati rakyat Malaysia ketika ini.

Prestasi Perodua Ativa (Daripada 11 ke 15):

  • Januari: Bermula perlahan dengan 1,012 unit, menyebabkannya tercampak ke kedudukan ke-15.
  • Februari: Menunjukkan sinar kebangkitan dengan 1,352 unit.
  • Pertumbuhan: Pendaftaran melonjak drastik sebanyak 33.6% dalam tempoh sebulan.
  • Status Semasa: Melonjak naik ke tangga ke-11 dan berada di pintu Top 10.

Fakta Menarik (Jan – Feb 2026)

  • Saga Kekal Takhta Nombor 1: Walaupun tewas pada Februari, Proton Saga masih mendahului carta keseluruhan tahun 2026 dengan 16,292 unit.
  • Bezza Comeback: Perodua Bezza membuktikan taring terus berbisa dengan merampas kedudukan No. 1 Februari melalui 7,031 unit pendaftaran.
  • Lonjakan Ativa: Ativa mencatatkan pertumbuhan pendaftaran bulanan tertinggi dalam kem Perodua iaitu sebanyak 33.6% pada Februari.
  • Fenomena e.MAS 5: Satu-satunya model EV dalam Top 10 Malaysia dengan 4,630 unit atau separuh daripada pendaftaran Myvi.
  • Hilux Bertahan: Toyota Hilux menjadi satu-satunya model bukan kebangsaan dalam kelompok Top 10 dengan 3,015 unit.
  • Chery Himpit Honda: Jenama Chery kini hanya dibezakan sekitar 1,400 unit sahaja untuk merampas kedudukan ke-4 keseluruhan daripada Honda.
  • Dominasi Tempatan: 9 daripada 10 kereta paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dari jenama kebangsaan.

Sumber: data.gov.my

Proton Saga 2026 kalahkan Bezza pada Januari 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar pada pembukaan tahun 2026. Selepas bertahun-tahun memberi laluan kepada Perodua, Proton Saga baharu merampas takhta sebagai kereta paling laris di Malaysia bagi bulan Januari 2026.

Bukan itu sahaja, model elektrik e.MAS 5, turut mencipta sejarah apabila berjaya memecah masuk ke kelompok lima teratas.

Kebangkitan Strategik Proton Melalui Saga Baharu

Sektor automotif Malaysia membuka tirai tahun 2026 dengan perubahan landskap yang signifikan. Data pendaftaran kenderaan bagi bulan Januari menunjukkan kebangkitan luar biasa jenama nasional Proton melalui model ikoniknya, Proton Saga.

Proton Saga Menguasai Takhta No. 1

Selepas sekian lama, Proton Saga secara rasmi menduduki carta model paling laris di Malaysia.

Peralihan kepada spesifikasi yang lebih moden serta penambahbaikan nilai keseluruhan telah melonjakkan permintaan sehingga mencatatkan 10,285 unit pendaftaran dalam tempoh sebulan.

Kejayaan ini disokong oleh momentum tempahan terkumpul yang kini dilaporkan telah mencecah angka 100,000 unit.

Fenomena e.MAS 5 dan Penerimaan EV Massa

Kejutan terbesar dalam carta lima model teratas adalah kemunculan Proton e.MAS 5. Sebagai model elektrik (EV) kompak pertama syarikat, pencapaian 3,068 unit pendaftaran dalam masa sebulan adalah rekod bersejarah.

Ia bukan sahaja membuktikan keberkesanan strategi elektrifikasi Proton, malah menandakan bermulanya era di mana kenderaan elektrik mula diterima secara meluas oleh pengguna arus perdana di Malaysia.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (Januari 2026)

10 Model Paling Popular:

  1. Proton Saga: 10,285 unit

  2. Perodua Bezza: 8,431 unit

  3. Perodua Axia: 6,581 unit

  4. Perodua Myvi: 4,819 unit

  5. Proton e.MAS 5: 3,068 unit

  6. Perodua Alza: 3,012 unit

  7. Proton X50: 2,411 unit

  8. Perodua Traz: 1,901 unit

  9. Proton S70: 1,604 unit

  10. Toyota Hilux: 1,338 unit

Peralihan Kuasa: Kemaraan Jenama China Menghimpit Jenama Jepun

Analisis data menunjukkan perubahan dinamik dalam kategori jenama bukan nasional. Jenama dari China seperti Chery dan BYD kini dilihat mula mengambil alih pegangan pasaran yang dahulunya dikuasai secara tradisi oleh jenama Jepun.

Honda, sebagai contoh, kini berada di bawah tekanan hebat apabila tiada model individu mereka berjaya menembusi kelompok Top 10 pada bulan Januari.

Daripada sepuluh model paling popular pada Januari, Toyota Hilux menduduki tangga kesepuluh dan satu-satunya jenama asing di dalam senarai.

Kedudukan Jenama Januari 2026:

  1. Perodua: 26,128 unit

  2. Proton: 19,750 unit

  3. Toyota: 6,598 unit

  4. Honda: 3,177 unit

  5. Chery: 2,968 unit

  6. Mitsubishi: 1,191 unit

  7. BYD: 913 unit

  8. Mazda: 841 unit

  9. Mercedes-Benz: 677 unit

  10. Jetour: 593 unit

Prestasi Perodua Traz & Hala Tuju Proton

Meskipun Perodua Traz menerima pelbagai kritikan di platform media sosial mengenai spesifikasi teknikalnya, model ini terbukti mendapat sambutan dengan pendaftaran mencecah 1,901 unit.

Ini menunjukkan faktor kepercayaan terhadap jenama Perodua masih mengatasi sentimen negatif di dunia maya.

Bagi pihak Proton, sasaran jualan sebanyak 200,000 unit pada tahun 2026 (berbanding 157,976 unit pada 2025) dilihat sangat realistik.

Keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan perancangan pelancaran model kedua daripada platform AMA 02, yang sering dirujuk sebagai Saga Cross.

Dengan prestasi kukuh daripada model sedia ada seperti X50 dan S70, serta lonjakan daripada Saga baharu dan e.MAS 5, Proton kini dilihat berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan 2026.

Sumber: data.gov.my

Atasi jualan Ford, BYD kini pengeluar automotif nombor enam dunia

Untuk pertama kalinya dalam sejarah, syarikat automotif China BYD berjaya menjual lebih banyak kenderaan berbanding jenama Ford.

Sepanjang tempoh suku ketiga (Julai-September), sebanyak 1.13 juta unit kenderaan dijual oleh BYD dengan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sebagai perbandingan, untuk tempoh yang sama Ford menjual kurang 40,000 unit kenderaan, menyebabkan pengeluar itu jatuh satu anak tangga untuk menjadi pengeluar nombor tujuh dunia.

Namun untuk tempoh Januari-September, Ford masih lagi mendahului BYD dengan jumlah jualan 3.3 juta unit, lebih sedikit berbanding BYD (3.25 juta unit).

Tidak mustahil pada penghujung tahun jualan BYD mampu mencecah angka 4 juta untuk mengatasi jualan Ford secara keseluruhan bagi tahun 2024.

Selain BYD, beberapa syarikat automotif China turut mencatatkan peningkatan jualan yang mampu membimbangkan syarikat automotif Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Seperti contoh, sepanjang Q3 Geely mencatatkan peningkatan jualan 14 peratus kepada 820,000 unit kenderaan, mendahului Nissan dan berada di belakang Honda di tempat kesembilan.

Pengeluar ketiga terbesar China, Chery turut merekodkan peningkatan jualan 27 peratus kepada 550,000 unit, sekaligus meletakkannya di tangga ke-12.

Jualan Toyota pula menurun 4 peratus kepada 2.73 juta unit, walaupun gergasi Jepun itu masih lagi mendahului carta di hadapan VW Group yang merekodkan penurunan 7 peratus kepada 2.17 juta unit kenderaan.

Biarpun Hyundai Motor Group masih lagi selesa di tempat ketiga, namun mereka turut mencatatkan penurunan jualan 3 peratus kepada 1.77 juta unit.

Berada di tangga kelima, Stellantis nampaknya perlu bekerja dengan lebih keras disebabkan perbezaan jualan dengan BYD cuma sekitar 10,000 unit sahaja.