Arkib Tag: altis

Toyota Corolla edisi Nurburgring untuk Thailand dengan kit badan dan spring sport

LITAR Nurburging biasa menjadi destinasi jentera-jentera prestasi sama ada untuk tujuan pembangunan R&D atau membuat catatan masa. Tetapi rasanya tiada siapa menyangka akan ada edisi Nurburgring untuk Toyota Corolla Altis sedan.

Ya, Corolla Altis dengan pakej Nurburgring ditawarkan oleh Toyota Motor Thailand. Tetapi, bukan saja-saja, edisi ini adalah sebagai meraikan kemenangan dua kali berturut-turut pasukan Toyota di perlumbaan 24 Hours of Nurburgring (dalam kelas Super Production 3).

Pakej Nurburgring memberikan Corolla Altis beberapa naik taraf pada bahagian penggayaan, aksesori dan suspensi. Malangnya, tiada sebarang penambahan kuasa.

Jentera lumba Toyota Corolla di 24 Hours of Nurburgring. Sumber: Railly News

Menurut Toyota, rekabentuk pakej Nurburgring ini diinspirasikan oleh jentera lumba sebenar, dengan perubahan ketara dapat dilihat pada gril dan bampar depan.

Ia juga turut mendapat skirt tepi, bampar belakang lebih agresif, dan spoiler pada penutup but. Paling penting, logo Nurburgring 24 Hours dikenakan pada fender depan Corolla Altis ini yang mungkin ‘menambah kelajuannya’…

Dari segi mekanikal, edisi Nurburgring mengekalkan penggunaan enjin 1.8-liter yang menjana 138hp pada Corolla Altis Sport, manakala varian Hybrid mempunyai output gabungan 121hp. Transmisi CVT adalah standard pada semua model.

Tapi kuasa bukan paling penting di litar, bukan? Maka sebab itulah Toyota Corolla Altis edisi Nurburgring ini diberikan spring sport lebih rendah dan kotak kawalan pendikit yang direka untuk lebih respon.

Toyota Corolla Altis Nurburgring ini ditawarkan pada harga 964,000 baht (kira-kira RM118,928). Sebagai perbandingan, model Corolla Altis biasa bermula pada 839,000 baht (RM103,515).

50 juta unit seluruh dunia, 300k di Malaysia, Toyota Corolla kereta terlaris!

TOYOTA sejak mula telah menjangkakan Corolla akan menjadi sebuah model global. Tidak hanya akan dieksport dari Jepun, malah ia akan turut dipasang di banyak negara, terutama di negara-negara membangun seperti Malaysia.

Dalam proses pemasangan tempatan (CKD) itu, teknologi berharga dipindahkan, dan membantu merancakkan lagi pertumbuhan industri di negara yang terlibat.

Toyota Corolla generasi pertama. Gambar oleh: Toyota

Ketika generasi pertamanya diperkenalkan, Jepun baru memulakan budaya permotorannya. Sama seperti di Malaysia, corak sosial yang sama turut berlangsung.

Melalui industri automotif, industri hiliran lain juga turut tumbuh dan berkembang, menciptakan lebih banyak peluang pekerjaan baru.

Maka, pada tahun 1965, ketika kerajaan mempelawa pengeluar kenderaan untuk memasang produk mereka di Malaysia, Toyota menjadi antara yang terawal untuk menyahut seruan itu dengan model Corolla.

Bagi pemasangan tempatan Corolla, Toyota berbincang dengan Champion Motors yang telah membina sebuah kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor.

Dimiliki oleh Inchcape Group ketika itu, kilang Champion Motor – yang kemudian ditukar namanya kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) – turut juga memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.

Dengan sambutan positif terhadap Corolla ketika diperkenalkan pada 1968, model berkenaan mula menjadi model utama yang dikeluarkan dari ASSB.

Model Toyota lain ditambah dari tahun ke tahun, meningkatkan lagi populariti Toyota dalam kalangan warga Malaysia dan berjaya meletakkannya sebagai jenama No. 1 menjelang 1970-an, dengan Corolla menjadi yang paling laris di negara ini.

Sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla telah dijual dalam pasaran Malaysia, menjadi sebahagian daripada 50 juta unit yang telah dijual di seluruh dunia.

Hampir semua generasi Corolla telah dipasang di Malaysia, sementara sejak 2008 pula, model berkenaan diimport sebagai CBU dari Thailand.

Ia juga terbukti tahan lasak dan boleh diharap serta jimat — faktor-faktor yang membantu menjadikan Toyota sebuah nama yang tak asing lagi di Malaysia kini.

Walaupun awalnya ia sebuah model permulaan (entry level), ia dijangka untuk memberikan kualiti, teknologi, dan nilai lebih baik untuk wang.

Ini menyaksikan pengenalan generasi kesembilan dengan konsep ‘New Century Value’ dengan ‘Altis’ ditambah pada namanya untuk menandakan peningkatan kualiti, kemewahan dan bahkan saiznya.

Model serba baru ini melonjakkan lagi populariti Corolla di Malaysia memandangkan ia telah menetapkan standard baru dalam kelasnya. Jualan tahunan bagi generasi seterusnya juga meningkat lebih banyak.

Dekad antara 2010 dan 2020, Corolla menyumbang sebanyak 6 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan Toyota di negara ini.

“Setiap generasi Corolla, sejak yang pertama, telah menjadi penyumbang kepada peralihan jenama ini. Corolla sentiasa selari dengan perubahan dalam masyarakat dan standard ekonomi di Malaysia,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindaran K.

63 peratus pelanggan menukar-beli model lama mereka (atau menaik taraf) kepada model generasi baharu sebaik dilancarkan.

Jika mereka tidak menjualnya semula, kereta itu akan kekal dalam keluarga untuk satu tempoh yang lama, diperturunkan kepada anak-anak yang akan mewarisi sebuah kereta yang boleh diharap untuk digunakan dalam jangka panjang.

Dalam perkembangan yang lebih baru kini, selain TNGA (Toyota New Global Architecture), Corolla hadir dengan ciri keselamatan lebih canggih serta teknologi keterhubungan yang lebih baik.

Malah, khidmat lepas jualan Toyota menjadi antara yang terbaik di Malaysia sejak 1980an, ketika syarikat ini menjadi yang pertama menubuhkan bahagian khusus untuk menguruskan layanan dan perhubungan pelanggan.

Memenuhi perubahan trend dan citarasa

Dalam tempoh 55 tahun Corolla berada dalam pasaran, populariti berterusannya telah membuktikan bahawa asas falsafah di belakang model ini ada kebenarannya.

Bagaimanapun, rekaan asalnya telah berevolusi dari satu generasi ke generasi yang lain untuk memenuhi perubahan citarasa dan gaya hidup pelanggan Malaysia.

Contoh terdekat adalah pengenalan Corolla Cross tahun lalu, sebagai maklum balas kepada peningkatan populariti SUV. Ini kali pertama bentuk badan kenderaan seumpama itu ditawarkan bagi sebuah model terlaris sepanjang zaman di peringkat dunia.