Arkib Tag: alpina

Alpina B3 Touring untuk dijual, ini baru betul rare

ADA tiga perkara yang boleh menjadikan sebuah BMW lebih cool. Yang pertama adalah bentuk badan wagon (atau Touring). Yang kedua adalah transmisi manual dan yang ketiga, sentuhan Alpina.

Alpina B3 Touring ini mempunyai ketiga-tiganya. Ia sedang dibuka untuk bidaan menerusi laman web ‘Bring a Trailer’ dan ketika artikel ini ditulis, bidaan terkini adalah $20,250 (RM95,985).

 

Hanya 89 unit B3 Touring pernah dikeluarkan dan unit ini merupakan yang ke-23. Dibina pada September 1996, ia pada mulanya diserahkan kepada Nicole Racing Japan sebelum dieksport ke Netherlands pada 2017. Pada 2022, ia diimport ke Amerika Syarikat.

Kereta ini masih menggunakan cat biru metalik yang asal, berserta kit badan Alpina dan rim aloi multispoke berukuran 17 inci. Menjadikan ia lebih menonjol adalah grafik Alpina berwarna emas pada bahagian sisi dan belakang.

Di dalam, tempat duduk dan panel pintu dibalut upholsteri fabrik berwarna hitam dengan jalur hijau dan biru, manakala bahagian lantai dilindungi oleh karpet Alpina. Stereng dibalut kulit dengan jahitan dwi tona dan menampilkan logo Alpina pada bahagian tengah.

Di bawah bonet adalah enjin 3.2-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 265 hp dan 329 Nm. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan pada 2023, antaranya termasuk membina semula sistem Vanos dan menggantikan gasket kepala silinder, regulator tekanan bahan api, penyuntik bahan api, sensor oksigen dan pelbagai lagi. Perbatuan hampir mencecah 176,000 km.

Unit bernombor 23 ini asalnya dilengkapi dengan transmisi automatik namun ia telah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada transmisi manual enam kelajuan Getrag 420G yang diambil dari M3 E46. Ia baru sahaja dipasang pada tahun ini bersama dengan Limited-Slip Differential (LSD).

Apa yang menarik, pembeli juga akan mendapat transmisi automatik yang asal, berserta alat ganti tambahan dan model skala.

Alpina B8 Gran Coupe 2022 untuk yang rasa BMW 8-Series tak cukup padu

BARU-BARU ini, BMW telah melancarkan model facelift 8-Series yang terdiri daripada varian Coupe, Cabriolet dan Gran Coupe. Kemudian, giliran Alpina pula melancarkan B8 Gran Coupe. Tempahan bakal dibuka pada Julai tahun ini dengan harga bermula €162,100 (RM764,762) tidak termasuk cukai.

Dari segi luaran, tidak banyak perbezaan Alpina B8 berbanding BMW 8-Series Gran Coupe. Namun, versi Alpina ini dilengkapi dengan gril bercahaya baharu serta pilihan warna hijau dan biru untuk badannya. Tidak berkenan? Anda mempunyai pilihan untuk memilih variasi kemasan cat standard dari BMW dan BMW Individual.

Tayar adalah dari Pirelli dengan profil 245/35 ZR21 di depan manakala di belakang berprofil 285/30 ZR21. Alpina juga mengekalkan identiti rim berjejari 20.

Di bahagian dalam kabin pula, tidak banyak perubahan berbanding BMW 8-Series. Cuma sedikit perbezaan dimana B8 Gran Coupe bakal menggunakan paparan Live Cockpit Professional bersaiz 12.3-inci menggantikan unit 10.25-inci.

Butang kawalan iDrive yang diperhalusi dengan kemasan kristal serta kemasan pintu yang menyala dengan logo Alpina memberikan perasaan yang lebih eksklusif buat pemilik kereta ini.

Untuk enjin pula, unit 4.4-liter twin-turbo V8 telah ditala untuk menghamburkan 621hp dan 800Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Ini membolehkan Alpina B8 ini memecut ke 100km/j dalam 3.4 saat sahaja, manakala kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 324km/j.

Selain dari kombinasi spesifikasi yang ditawarkan, anda juga bebas memilih kemasan dalaman, cat, dan pemilihan bahan mengikut citarasa asalkan sanggup membayarnya.