Arkib Tag: Alor Gajah

Motosikal terbabas, abang serta adik berusia empat tahun maut

SEORANG remaja 15 tahun dan adiknya yang baru berusia 4 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, semalam.

Insiden berlaku di Jalan Air Tanai, Ayer Pa’abas dekat Alor Gajah.

Mangsa Zahrul Fitri Amer serta adiknya Afiq Wafiy Amer menaiki sebuah motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah tembok batu.

Siasatan awal mendapati kedua mangsa menetap di Taman Kebaya, Kampung Paya Datok keluar menaiki motosikal milik bapa mereka untuk ke kedai berhampiran.

“Bapa mangsa memaklumkan polis bahawa kedua-dua anaknya itu tidak memakai topi keledar.

“Motosikal ditunggangi Zahrul dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Pa’abas terbabas lalu melanggar tembok batu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Pemuda maut dihempap jengkaut pada hari pertama bekerja

MALANG tidak berbau.

Itu dapat disimpulkan terhadap nasib seorang pemandu jengkaut yang meninggal dunia akibat dihempap jentera berat dipandunya itu, semalam.

Apa yang menyedihkan kejadian berlaku pada hari pertama mangsa kembali bertugas setelah lama tidak bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, ketika insiden Mohamad Sabirin Umar dipercayai sedang meratakan tanah pertanian, lapor Bernama.

Bagaimanapun, jengkaut dikendalikan mangsa dikatakan tidak stabil sebelum terbalik dan menghempapnya.

“Mangsa ditemukan maut di tempat duduk pemandu jengkaut berkenaan dalam keadaan meniarap dan kepalanya tersepit di bahagian bumbung jentera tersebut.

“Mangsa baharu memulakan pekerjaan sebagai pemandu jengkaut hari ini setelah lama tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Proton Wira dihempap pokok, lima sekeluarga terselamat

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki dihempap sebatang pokok dalam satu kejadian di Alor Gajah, Melaka.

Kejadian pada 6.30 petang semalam menyebabkan pasangan suami isteri cedera di bahagian kepala sementara tiga anak mereka mengalami cedera ringan.

Insiden turut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

Laporan pihak bomba memaklumkan lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian pokok tumbang itu berlaku ekoran hujan lebat.