Arkib Tag: AirAsia Ride

Tawar peluang pekerjaan, airasia ride sasar miliki 5,000 pemandu wanita

SYARIKAT perkhidmatan e-panggilan airasia ride bercadang menaja pemandu wanita kali pertama ingin menyertai perkhidmatannya walau tanpa pengalaman atau lesen e-panggilan.

Mempunyai lebih 500 pemandu wanita, syarikat berkenaan menyasarkan mempunyai 5,000 pemandu daripada kaum itu tahun ini.

airasia ride menawarkan pelbagai faedah menarik termasuk pengecualian yuran kursus dan peperiksaan pemanduan kenderaan perkhidmatan awam.

Pada masa sama, airasia ride juga menawarkan pemeriksaan perubatan percuma.

Para pemandu menerima 85 peratus daripada tambang bersih sekaligus lebih tinggi daripada perkhidmatan e-panggilan lain di pasaran.

airasia ride kian berkembang di seluruh negara. – Foto ihsan SoyaCincau

Sementara itu, Thailand menjadi negara terbaharu airasia ride mengembangkan perkhidmatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serantau airasia ride berkata, syarikat itu akan memulakan perkhidmatan di Bangkok sebelum berkembang ke bandar lain.

Kata Lim Chiew Shan, pihaknya amat komited untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan di negara itu.

“Kami bermula dengan 5,000 teksi, selepas beberapa bulan, kami akan mendapatkan pemandu persendirian,” katanya.

Syarikat airasia ride dilancarkan pada Ogos tahun lalu dan berada di bawah naungan Capital A Bhd.

Setakat ini, ia mempunyai lebih daripada 30,000 pemandu dan menyelesaikan lebih 700,000 pemanduan seluruh negara.

Raih pendapatan RM67, Nazir teringin lagi jadi pemandu airasia ride

DATUK Seri Nazir Razak mengakui pengalaman sebagai pemandu e-panggilan merupakan suatu yang bermakna dan amat menggembirakan.

Nazir merupakan anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengakui dirinya bukan sahaja gembira kerana dapat beramah mesra bersama pelanggan malah, mampu menjana wang.

Memetik laporan DagangNews, Nazri dilaporkan memperoleh lebih RM67 setelah memandu lebih empat jam pada 31 Ogos lalu.

“Pemanduan selama empat jam membolehkan saya memperolehi RM67.

“Jika saya bekerja sepenuh masa, saya mungkin dapat memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM250 sehari.

“Saya juga berasa teruja untuk bertemu dengan ramai penumpang dan bersembang dengan mereka.

“Jika saya mempunyai masa lapang, saya pasti akan meminta Tan Sri Tony untuk membenarkan saya memandu lagi,” katanya.

Terdapat pilihan pemandu untuk keselesaan penumpang bagi aplikasi airasia ride. – Foto ihsan SoyaCincau

Pada 31 Ogos lalu, Nazir yang juga adik kepada Datuk Seri Najib Razak diberi peluang menjadi pemandu airasia ride.

Antara pelanggan yang dibawa Nazir termasuk Pengerusi Eksekutif AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun.

Airasia ride merupakan perkhidmatan e-panggilan dilancarkan kurang dari sebulan lalu.

Perkhidmatan itu setakat ini boleh didapati di Lembah Klang dan Langkawi pada semalam.

Caj RM1 untuk per kilometer, AirAsia Ride pilihan e-hailing terbaharu

AIRASIA melancarkan perkhidmatan e-hailing dikenali sebagai AirAsia Ride yang mana ia boleh diakses menerusi aplikasi Super App.

AirAsia Ride bukan sahaja menawarkan perkhidmatan e-hailing malah meliputi penghantaran makanan, beli-belah serta tempahan hotel dan penerbangan.

Selain itu, pengguna juga boleh memilih pemandu bertugas selain menerima maklumat dan profil peribadi bagi tujuan keselamatan.

Setakat ini, perkhidmatan AirAsia Ride hanya terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini dijangka diluaskan ke negeri lain menjelang hujung 2021.

Antara negeri yang bakal menerima perkhidmatan AirAsia Ride adalah Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Memetik kenyataan AisAsia Super App, tidak mustahil perkhidmatan ini akan turut diperkenalkan ke negara Asean lain dalam masa terdekat.

AirAsia Ride bakal dilancarkan di beberapa negeri menjelang hujung tahun ini. – Foto ihsan SoyaCincau

Tambang AirAsia Ride

Purata tambang AirAsia Ride adalah RM1 bagi setiap satu kilometer. Namun, tambang itu tidak termasuk caj perkhidmatan tol.

Pengguna juga boleh menambah tip ketika membuat tempahan untuk memberikan insentif tambahan kepada pemandu.

Bayaran boleh dibuat melalui tunai, kad kredit atau kad debit.

Insentif pemandu AirAsia Ride

Pemandu AirAsia Ride ditawarkan beberapa insentif menarik terutama membabitkan hasil pendapatan.

Ini kerana AirAsia Ride hanya mengenakan yuran 15 peratus kepada pemandu, lima peratus lebih rendah berbanding kadar syarikat lain.

Justeru, ia membolehkan pemandu menerima 85 peratus pendapatan daripada jumlah tambang penumpang.

Pihak syarikat juga tidak akan mendenda pemandu menolak perjalanan ditugaskan malah, memberi dorongan ganjaran berganda jika menerima lebih tugasan.

Terdapat pilihan pemandu untuk keselesaan penumpang. – Foto ihsan SoyaCincau

Terdapat lebih 1,500 rakan pemandu berdaftar dengan AirAsia Ride setakat ini dan jumlah itu dijangka bertambah sehingga mencecah 5,000.

Semua pemandu juga telah mendapatkan lesen PSV dan divaksin penuh.