Arkib Tag: Acryl Sani

Isu bekas PM masih terima pengiring trafik, KPN jawab warga maya

BEKAS perdana menteri layak menerima khidmat pengiring trafik dan keselamatan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berdasarkan Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) berhubung keistimewaan bekas perdana menteri.

Acryl menjelaskan, bekas perdana menteri berdepan tindakan undang-undang masih layak menerima perkhidmatan itu sehingga proses rayuan dimuktamadkan mahkamah.

“Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas perdana menteri Malaysia.

“Sejak akhir-akhir ini, PDRM mengesan beberapa pihak mempertikaikan keistimewaan pengiring keselamatan dan pengiring trafik untuk bekas-bekas perdana menteri,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Acryl berkata khidmat kedua-dua pengiring berkenaan disediakan PDRM berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa individu mempertikaikan bekas perdana menteri masih menggunakan khidmat pengiring trafik dan keselamatan walau dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Pekerja hanya punya surat pengesahan kementerian, agensi dibenar lepasi SJR

INDIVIDU hanya mempunyai surat pengesahan daripada kementerian dan agensi tertentu dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) untuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peraturan itu akan berkuatkuasa mulai esok.

Jelasnya, surat itu adalah sebagai bukti untuk membenarkan pergerakan pekerja dari kediaman ke tempat kerja.

“Orang ramai diingatkan agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang telah disenaraikan ketika melalui SJR.

“Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu gagal mematuhi arahan itu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Surat kebenaran ke tempat kerja dikeluarkan beberapa kementerian seperti senarai di bawah:

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
  • Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)
  • Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
  • Perusahaan Perladangan dan Komoditi
  • Kementerian Dalam Negeri
  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
  • Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Suruhanjaya Sekuriti (SC)
  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)Terdahulu Acryl berkata, sebarang dokumen pengesahan perlu bermula pada tarikh 1 Jun 2021.

    Individu tidak mempunyai sebarang dokumen sah atau telah tamat tempoh akan diarah berpatah balik.

    Sementara itu, Acryl berkata polis akan mengeluarkan surat kebenaran bergerak bagi individu bekerja sendiri kepada mereka yang memohon.

    Bagaimanapun, surat itu hanya diberikan secara sekali dalam tempoh 1 hingga 14 Jun ini.

Rentas negeri: PDRM tetap syarat hanya Isnin hingga Khamis

SEBARANG pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Arahan dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang kembali serius.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, lapor Bernama.

Kes Covid-19 seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Semalam, lebih 2,078 kes Covid-19 dicatatkan seluruh negara dengan lapan kematian.

Terdahulu, Acryl Sani berkata rentas negeri hanya dibenarkan bagi individu mempunyai urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Bagaimanapun, rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.