Arkib Tag: A250

Barisan Mercedes A-Class dikemaskini: A200, A250, AMG A35, dari RM240k

PEJAM celik, sudah kira-kira empat tahun A-Class W177 berada di pasaran negara ini. Jadi hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan barisan A-Class itu yang dikemas kini.

Ia hadir dengan tiga varian CKD (pemasangan tempatan) iaitu A200 Progressive Line, A250 4Matic AMG Line, AMG A35 4Matic, dan satu varian CBU iaitu AMG A45S 4Matic+. Versi CBU yang paling berkuasa kita akan fokuskan dalam satu artikel berlainan, anda boleh baca di sini.

Untuk tiga varian CKD, harga adalah seperti berikut:

A200 Progressive Line: RM238,888
A250 4Matic AMG Line: RM264,000 (anggaran)
AMG A35 4Matic: RM354,000 (anggaran)

Ketiga-tiga model ini juga hadir dengan bentuk badan sedan sahaja buat masa ini, tiada versi hatchback. Pembaharuan paling utama untuk barisan A-Class 2023 ialah sistem infotainmen MBUX generasi terkini NTG7.

Sistem ini menampilkan unit yang lebih mudah digunakan, dan boleh dikustom mengikut kehendak pemandu dengan paparan seperti Classic, Sporty, dan Discreet. Terdapat juga tiga mod Navigation, Assistance, dan Service dengan tujuh warna.

Skrin di tengah pula boleh memaparkan maklumat seperti navigasi, media, sambungan telefon pintar, sistem kenderaan, dan banyak lagi. Ia juga menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar, selain pertambahan port USB-C dan pengecas tanpa-wayar.

Dari segi janaan kuasa, tiada perubahan besar untuk setiap varian. Mercedes A200 dikuasakan oleh enjin 1.3-liter dengan output 163hp dan 270Nm tork, membolehkannya melakukan pecutan ke 100km/j dalam 8.3 saat.

Varian A250 yang lebih berkuasa dipacu oleh enjin 2.0-liter yang menjana 224hp dan 350Nm tork. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam 6.4 saat, lebih pantas kerana pertambahan kuasa selain sistem all-wheel drive 4Matic.

Seterusnya versi paling berkuasa Mercedes-AMG A35 pula dipacu oleh enjin 2.0-liter tetapi output ditambah menjadi 225hp dan 400Nm, cukup untuk meletakkannya selesa dalam liga hot hatch. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.8 saat, dan kelajuan maksima ialah 250km/j.

Penampilan boleh dibezakan dimana A200 tampil lebih ‘jinak’ dengan gril geometri dan rim aero 17-inci, manakala A250 lebih garang dengan gril serta rim 18-inci AMG.

Ciri keselamatan juga dinaik taraf untuk kedua-dua model, yang mana kini mendapat lampu LED dan Parking Package. Terdapat juga Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, dan Active Brake Assist. A250 4Matic ditambah dengan Sports Brake System untuk lebih prestasi.

Galeri Mercedes A200 Progressive Line

Galeri Mercedes A250 4Matic AMG Line

MBM lancar A-Class sedan dan GLA 2021, harga serendah RM210,903

MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) terus mengukuhkan kedudukannya dengan melancarkan dua model versi pemasangan tempatan (CKD) terbaharu iaitu A-Class sedan dan GLA.

Model A-Class sedan didatangkan dengan dua varian iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line.

Sementara itu, model GLA pula didatangkan dengan varian GLA Progressive Line dan GLA 250 AMG Line.

Foto oleh MBM

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM berkata, pengeluaran model terbaharu ini bukti komitmen syarikat itu memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

Michael Jopp pada masa sama berharap pengeluaran produk Mercedes-Benz di Pekan, Pahang itu dapat terus melonjak permintaan daripada para pelanggan.

“Pelancaran dua model ini membuktikan bahawa MBM terus berusaha memperluaskan pengeluaran untuk pasaran tempatan.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi penanda aras kepada MBM untuk meningkatkan pelaburan di pasaran tempatan.

“Kami juga bangga untuk memberitahu bahawa model terbaharu dilancarkan ini adalah antara yang terbaik dihasilkan dan mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Foto oleh MBM

Michael ditemui pada majlis pelancaran model terbaharu A-Class sedan GLA di ibu negara, hari ini.

Harga A 200 Progresive Line CKD dijual bermula RM210,903 sementara A 250 AMG Line bermula pada RM239,858.

Bagaimanapun, harga yang dinyatakan ini adalah tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD sehingga 31 Disember 2021.