Arkib Tag: 3008

Jaminan dan servis percuma 7-tahun untuk model Peugeot terpilih, hingga 31 Oktober sahaja

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd, pengedar tunggal Peugeot di Malaysia kini menawarkan jaminan dan penyelenggaraan percuma 7-tahun, selain subsidi insurans kenderaan untuk tempoh masa terhad.

Untuk subsidi, perkara ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Promosi jaminan 7-tahun tersebut sah untuk model Peugeot 2008, 3008, dan 5008. Anda juga perlu membuat tempahan sebelum 31 Oktober 2023 bagi melayakkan diri mendapat jaminan 7-tahun tersebut.

Pendaftaran juga perlu dibuat dalam tempoh dinyatakan dan dibuat di wakil-wakil pengedar sah Peugeot. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh lawati mana-mana bilik pameran atau terus ke BAuto Roadshow yang akan diadakan di 1 Utama Shopping Centre dari 11 hingga 15 Oktober depan.

Peugeot 2008 rasmi dilancar, 1.2 turbo dengan 130hp, RM127k

PEUGEOT 2008 telah rasmi mendarat di Malaysia hari ini, dibawakan oleh Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd selaku pengedar jenama itu.

Peugeot 2008 merupakan SUV kompak atau crossover segmen-B, bermakna ia bersaing dengan model-model seperti Honda HR-V, Proton X50, Toyota Corolla Cross, Hyundai Kona dan Mazda CX-3.

SUV ini dipasang secara CKD di kilang Stellantis di Gurun, Kedah. Menurut Peugeot, 2008 ini telah diuji melebihi 200,000 di jalanraya dan suasana Malaysia untuk memastikan ketahanannya di cuaca negara kita.

Bahagian luaran Peugeot 2008 ini menampilkan gril besar yang rata, bonet depan berbentuk unik, dan lampu depan LED berserta DRL LED yang ditarik ke bawah menyerupai taring.

Lampu depan dan belakang ini mengekalkan pencahayaan berbentuk tiga-cakaran yang menjadi identiti pada model-model Peugeot sebelum ini. Rim pula adalah jenis Black Onyx & Diamond Cut dengan gaya menonjol, bersaiz 17-inci.

Ciri lain adalah rel bumbung, keyless entry, pengesan parkir depan dan belakang, serta cermin sisi berkuasa dengan fungsi pemanas.

Rekaan i-Cockpit generasi terkini Peugeot 2008 ini juga cukup unik dengan susunan tersendiri dimana paparan instrumen digital 10-inci dipancar jelas seperti hologram.

Di tengah terdapat skrin infotainmen 7-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. 2008 ini juga hadir dengan sistem penghawa dingin automatik, brek parkir automatik, pengecas USB, serta perehat tangan di tengah dengan jahitan kontra.

Peugeot 2008 dikuasakan oleh enjin 1.2-liter PureTech tiga-silinder petrol turbo yang cukup untuk menghasilkan 130hp dan 230Nm tork.

Kotak gear pula ialah automatik 6-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Normal dan Sport.

Ciri keselamatan merangkumi enam beg udara, Hill Start Assist, Electronic Stability Program (ESP), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dan Emergency Brake Assist (EBA).

Terdapat juga ciri keselamatan lebih terkini seperti kamera belakang 180-darjah Visiopark 1, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Assist, Blind Spot Monitoring dan Active Safety Brake.

 

Harganya? Peugeot 2008 dijual pada RM126,753 dan ditawarkan dengan empat warna – Amazonite Grey, Nera Black, Pearl White dan Orange Fusion.

Peugeot 2008 ini juga hadir dengan jaminan lima-tahun atau 100,000km serta pakej servis percuma tiga-tahun atau 60,000km.

Jom ikut trend pandu SUV, ini senarai dengan bajet bawah RM30k

SEKARANG kan zaman SUV, jadi semua orang nak beli. SUV ni ada kelebihan berbanding kereta sedan biasa, contohnya ruang but lebih besar, dan kedudukan memandu lebih tinggi membolehkan kita melihat lebih jauh ke depan.

Dalam senarai kali ini, kami tak masukkan Honda CR-V kerana kalau dikira, memang model ini paling popular dalam pasaran. Kalau anda nak cari CR-V silakan, tapi kami nak senaraikan model selain CR-V untuk kali ini. Kita tengok SUV apa lagi yang menarik.

Nissan Murano 2.5 – RM26,888

Semasa ia baru dikeluarkan, bentuk Nissan Murano ini sangat luar biasa dan agak moden. Tapi hingga sekarang, ia tetap nampak agak baharu, mungkin kerana bentuknya yang tidak berpetak.

Murano ini tahun 2005, dan iklan berkata “satu pemilik cermat, perbatuan rendah, enjin lancar, suspensi ok, dalaman bersih,” macam biasalah.

Tapi memang nampak masih dalam keadaan baik, malah konsol tengah dan tempat duduk pun terjaga.

Ford Escape – RM23,800

Mungkin popular di Amerika Syarikat, tapi walaupun SUV ini model 2010 dan baru berusia 10-11 tahun, harganya dikira jatuh agak banyak.

Satu harga yang berbaloi kalau anda ada kenal pomen-pomen Ford yang baik untuk penjagaan kereta ini.

Admin pun suka sebenarnya. Model Escape ini ialah varian Premium High Spec dengan enjin 2.3-liter, ada beg udara, ABS, pemain CD. Cun?

Volvo XC90 2.5 – RM22,000

Ini dikatakan sebagai “grand daddy of the grand daddy”, sebab Volvo memang hasilkan XC90 khas untuk keluarga. Masa baru dikeluarkan, XC90 ini menjadi SUV paling selamat.

Yang kami jumpa ini ialah 2.5 Turbo, iaitu varian pertengahan. Yang penting rekabentuk XC90 ini memang sangat praktikal, dengan tempat duduk baris ketiga cukup lapang dan selesa.

Pada harga RM22k ini tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Kalau minat, boleh periksa betul-betul kerana harga alat gantinya sedikit mahal.

Toyota Rush S Spec – RM25,500

Lebih mahal dari Ford Escape tadi walaupun saiznya lebih kecil. Biasalah, Toyota kan? Di Malaysia, Rush hadir dengan varian 2WD sahaja, kalau ada pilihan 4WD mungkin lebih menarik.

Tapi kira okey untuk penggunaan bandar, ada ke yang nak pandu Rush masuk hutan?

Kalau anda jumpa macam ni yang rupa luar dan dalam masih cantik, kira boleh dibeli lah sebab enjinnya sudah tentu tahan lasak.

Suzuki Grand Vitara 2.0 – RM24,300

Sebuah SUV yang cukup hensem dan segak, dengan rupa bersegi, garis lurus, tapi cantik. Harga dipinta lebih murah dari Toyota Rush tadi, tapi ini kereta tahun 2007.

Iklannya berkata, “Top spec, dijaga rapi, diservis selalu, penggunaan minyak yang baik, perbatuan rendah, dalam hitam sepenuhnya, rim 18-inci baharu dan tayar baharu.”

Cuma enjinnya ada brace bar, dan rim nampak agak sporti, mungkin orang muda pandu. Jadi kita kena teliti periksa keadaan dan rekod servis kereta ini.

BMW X3 – RM24,900

Yang ini agak mencurigakan sedikit, X3 tahun 2004 dengan harga lebih rendah dari Toyota Rush. “Satu pemilik, bebas kemalangan dan banjir,” katanya.

BMW X3 ini dilengkapi pacuan semua-roda AWD, kotak gear automatik 5-kelajuan, rim 19-inci original, auto cruise, dan tempat duduk pemandu dengan fungsi memori.

Dengan harga yang agak rendah ini, pastikan kita periksa sebaiknya.

Peugeot 3008 – RM22,500

Yang ini nampak macam MPV, tapi ada dalam senarai SUV. Dalam senarai ini, kereta yang paling buatkan keluarga anda tersenyum, selain dari XC90 tadi, Peugeot 3008 di tempat kedua.

Ini kerana kereta Perancis memang sukar ditandingi bab keselesaan. Pandu sedap, kabin pun senyap. Cuma macam biasa, kereta Perancis ni kita perlu cari kawan atau ‘pomen’ yang pandai selenggara. Lain pada itu, memang menarik.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut. Selamat membeli!