BMW iX2 xDrive30 M Sport ranggi dan mengujakan – Pandu Uji


Seperti seteru utamanya dari Stuttgart, BMW secara aktifnya telah meluaskan penawaran kenderaan elektrik di Malaysia.
Selepas melancarkan model-model seperti i5, i7 dan ix1, BMW Malaysia pada Mei lalu memperkenalkan ahli terbaru barisan i iaitu iX2. Ia ditawarkan dalam varian tunggal xDrive30 M Sport pada harga RM297,000.
Apakah sebenarnya iX2?
Seperti mana iX1 adalah versi elektrik kepada X1, iX2 secara asasnya adalah X2 yang dipacu oleh elektrik. Perbezaan utama antara iX1 dan iX2 terletak pada reka bentuk, di mana iX2 tampil lebih ranggi dengan rekaan lebih bersegi dan bumbung ala coupe.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai gril bercahaya Iconic Glow, rim lebih besar (20 vs 19 inci inci) dan pakej M High-Gloss Shadowline dengan extended content yang membawakan kemasan hitam pada gril radiator, logo tailgate dan cermin sisi.
Namun di sebalik imej luaran yang lebih menonjol itu, iX2 xDrive30 mempunyai trenkuasa elektrik dengan motor berkembar yang sama dengan iX1 xDrive30 yang menjana output keseluruhan sebanyak 313 PS (dengan fungsi boost) dan 494 Nm.
Di atas kertas, prestasi kedua-dua model ini tidak jauh berbeza di mana iX2 memerlukan 5.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, manakala iX1 pula mengikut di belakang dengan masa 5.7 saat.
Walaupun menggunakan bateri 66.5 kWj yang sama, iX2 menawarkan jarak gerak WLTP yang lebih jauh iaitu 449 km berbanding 438 km oleh iX1. 11 km mungkin tidak kedengaran banyak namun ia boleh memberikan perbezaan besar terutamanya ketika hampir kehabisan bateri.
Jadi, untuk perbezaan harga sebanyak hampir RM12,000, anda mendapat sebuah EV yang lebih bergaya dan jarak gerak yang lebih jauh. Berbaloi atau tidak untuk berbelanja lebih untuk iX2?
Bagi penulis, ia bergantung kepada citarasa individu itu sendiri. Mereka yang lebih konvensional dan bukan jenis yang mengambil risiko akan memilih iX1, manakala mereka yang suka menonjol akan lebih tertarik kepada iX2.
Mereka yang memilih iX2 bukan sahaja akan menggemari rekaan luarannya, malah juga akan berpuas hati dengan ruang kabinnya yang nampak dan rasa moden serta canggih. Hampir setiap inci permukaan yang boleh disentuh terasa mewah dan premium.
Benda pertama yang menarik perhatian adalah paparan melengkung besar yang memuatkan dua paparan iaitu kluster instrument digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 10.7 inci.
Sistem operasi BMW OS 9 memberikan grafik yang terang dan jalas serta antaramuka yang intuitif dan lebih mesra pengguna, namun ada beberapa fungsi yang perlu ‘dikorek’ dari menu untuk diakses. Ia layak dipuji namun penulis secara peribadi lebih menggemari MBUX.
Dari segi keselesaan dan praktikaliti, ruang kabin Sport Activity Coupe cukup selesa untuk empat penumpang. Kerusi depan boleh dilaras dan mempunyai sokongan peha, manakala tempat duduk belakang tidak terlalu tegak dan menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas.
Ada ruang untuk penumpang kelima namun dia tidak akan berasa begitu selesa terutamanya ketika perjalanan jauh kerana kerusi tengah agak kecil.
Ruang storan boleh tahan banyak. Setiap pintu mempunyai ruang storan dan pemegang gelas yang cukup besar, manakala di bawah konsol tengah terdapat satu lagi ruang di mana anda boleh menyimpan barang seperti dompet.
Di bawah perehat tangan juga ada ruang simpanan tetapi ia tidak cukup dalam, bermakna ia hanya sesuai untuk objek leper seperti kad.
Selain menerusi port pengecas USB Type C yang disediakan, telefon boleh dicas di atas pad pengecas tanpa wayar yang mempunyai seakan bar pengapit untuk menahan telefon daripada bergerak.
Di belakang, iX2 menawarkan ruang but yang lebih besar berbanding iX1 dengan kapasiti 525 liter, namun disebabkan rekaan bumbung coupe-nya, memuatkan barangan yang tinggi boleh menjadi agak sukar.
Tetapi untuk trip hujung minggu bersama keluarga, ruang but ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya tiga atau empat bagasi dengan mudah. Kereta ini juga sesuai untuk sesi membeli-belah di Ikea kerana tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan rata secara 40:20:40.
Karakter pemanduan yang ditunjukkan oleh iX2 adalah seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV bertaraf premium – laju, selesa di atas jalan yang rata dan senyap.
Mungkin tidaklah terlalu senyap kerana setiap pecutan ditemani dengan bunyi efek (digelar Iconic Sound) yang dibangunkan dengan kerjasama komposer terkemuka, Hans Zimmer. Namun dari segi NVH, amat memuaskan.
Lebih menarik lagi, kereta ini didatangkan dengan pedal boost yang memberikan kuasa tambahan selama 10 saat namun output yang dibekalkan sebenarnya sudah cukup untuk kebanyakan situasi pemanduan harian.
Selain itu, iX2 boleh membantu mengurangkan beban pemandu menerusi sistem Driving Assistant Plus yang didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Autonomous Emergency Braking dan bermacam lagi.
Sepanjang empat hari memandunya, penulis merekodkan tahap penggunaan tenaga sekitar 15 hingga 16 kWh bagi setiap 100 km dengan gaya pemanduan normal, melibatkan 70% jalan bandar dan selebihnya lebuh raya.
Sudah tentu, mendapatkan jarak gerak seperti yang diiklankan oleh pengeluar boleh dikatakan sesuatu yang hampir mustahil namun dengan iX2, anda boleh memanjangkan jarak dengan menggunakan sistem brek janaan semula yang menawarkan empat tahap termasuk Adaptive.
Jalan bersimpang-siur tidak menjadi masalah untuk kereta ini kerana sistem suspensinya agak keras, bermakna ia cemerlang dalam bab mengurangkan olengan badan. Cuma, kadang-kala anda boleh merasakan yang berat bateri sedikit sebanyak menjejaskan pengendaliannya.
Walaupun keras, sistem suspensinya boleh dikatakan agak selesa untuk pemanduan di lebuh raya. Namun ketika melalui jalan-jalan di kawasan bandar yang berlubang dan tidak rata, setiap hentakan boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin.
Di bandar, iX2 secara keseluruhannya mudah dipandu cuma apabila mengundur, pandangan menerusi cermin pandang belakang sedikit terjejas disebabkan cermin belakang yang agak kecil. Nasib baik ada kamera 360 darjah yang sangat terang.
Kalau ini tidak mencukupi, anda juga boleh menggunakan Reversing Assistant dan Lateral Parking Aid untuk parkir dengan lebih mudah.
Konklusi
Adakah iX2 xDrive30 M Sport masuk akal dalam pasaran sekarang? Sejujurnya, pada harga hampir RM300,000, anda sebenarnya boleh mendapat sebuah EV lain yang menawarkan kuasa yang tinggi dan jarak yang lebih jauh iaitu Volvo C40.
Namun bagi penulis, iX2 ada tarikannya sendiri. Ia kelihatan jauh lebih menarik dan pengendaliannya juga cukup mengujakan, sesuatu yang tidak ada pada EV dari Sweden itu. Kadang kala, itu sudah cukup memadai.
Spesifikasi BMW iX2 xDrive30 M Sport
Harga: RM297,000
Kuasa: 313 PS (dengan boost)
Tork: 494 Nm
Bateri: 66.5kWj
Jarak gerak: 449 km (WLTP)

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.