Proton e.MAS Impianku – reka EV menggunakan AI, menang model cetakan 3D
Proton New Energy Technology (PRO-NET) mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai pertandingan reka bentuk e.MAS Impianku menggunakan kecerdasan buatan (AI) berlangsung dari 19 Oktober hingga 30 November 2026.
Inisiatif tersebut memberi peluang kepada peserta berkongsi idea mengenai reka bentuk, ciri dan teknologi yang ingin dilihat pada kenderaan elektrik masa hadapan.
Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan pelajar universiti.
Kategori terbuka
Kategori ini terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia.
Rekaan yang memenuhi syarat akan dipaparkan dalam galeri digital untuk undian orang ramai dari 5 hingga 13 Disember 2026.
Sebanyak 20 rekaan dengan undian tertinggi akan disenarai pendek untuk penilaian akhir.
Lapan pemenang bakal menerima hadiah berikut:
- Tiga hadiah utama: Model cetakan 3D berukuran 10 inci berdasarkan rekaan pemenang.
- Lima hadiah saguhati: Model miniatur 3D berdasarkan rekaan masing-masing.
Pemenang kategori terbuka akan diumumkan pada acara rasmi PRO-NET pada Januari 2027.
Kategori pelajar universiti
Kategori ini terbuka kepada pelajar berumur 18 tahun ke atas yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf di Malaysia.
Pemenang dipilih sepenuhnya oleh panel juri tanpa undian orang ramai.
Tiga pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai seperti berikut:
- Tempat pertama: RM1,000
- Tempat kedua: RM600
- Tempat ketiga: RM400
12 pemenang hadiah saguhati pula akan membawa pulang barangan eksklusif Proton e.MAS.
Cara penyertaan
Peserta perlu melayari protonemasimpianku.com, memilih kategori dan menggunakan contoh arahan AI (prompt) yang disediakan sebagai panduan menghasilkan rekaan menerusi mana-mana platform AI generatif.
Hasil rekaan kemudian perlu dimuat naik bersama borang penyertaan yang lengkap sebelum 11.59 malam, 30 November 2026.
Peserta boleh menghantar lebih daripada satu rekaan, tetapi hanya dibenarkan menyertai satu kategori. Semua penyertaan mestilah karya asli yang dijana menggunakan AI dan mematuhi terma serta syarat pertandingan.
Rekaan tersebut merupakan konsep kreatif semata-mata dan tidak menggambarkan model Proton e.MAS yang disahkan untuk pengeluaran.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.