BMW Malaysia & UM dirikan stesen pengecasan peranti pintar guna bateri EV terpakai
BMW Group Malaysia dan University Malaya (UM) mendirikan stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar menggunakan bateri EV terpakai.
Ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama disiapkan di bawah inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x University Malaya.
Reka bentuk projek ini dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD beliau di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
Komponen sistem
Ia terdiri daripada pek bateri EV dan panel solar yang digunakan semula (hayat kedua), disokong oleh:
- pengawal pengecas solar
- penyongsang fotovoltaik
- sistem pengurusan bateri (BMS)
- pengecas pantas USB
Penyimpanan tenaga
Sistem 1.5 kWh ini terdiri daripada tiga modul bateri BMW, setiap satu berusia kira-kira 10 tahun.
Pasukan Dr. Tan melakukan ujian penilaian dan pengubahsuaian dengan teliti bagi memulihkan 30-40% daripada kapasiti asal bateri.
Port pengecasan
Stesen ini mempunyai empat port pengecasan, terdiri daripada tiga port USB Type-C dan satu port Lightning.
Gabungan output ialah 200W, dengan maksimum 100W bagi setiap satu port.
Jangka hayat
Sistem ini dijangka kekal beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira perkara berikut:
- keadaan semasa bateri
- jangkaan penggunaan dan nyahcas
- corak penggunaan sebenar
Untuk makluman, stesen pengecasan ini menggunakan pek bateri EV berkapasiti rendah yang sesuai untuk keperluan pengecasan yang lebih ringan.
Sementara pek bateri berkapasiti lebih besar pula lebih sesuai digunakan untuk pemasangan akses elektrik luar grid, seperti di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.
Setelah bateri tersebut tamat hayat keduanya, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula bateri tersebut dalam projek stesen pengecasan telefon pintar hayat ketiga.
Ia bagi melengkapkan kitaran hayat bateri tiga peringkat sepenuhnya, daripada EV kepada kediaman luar bandar dan seterusnya kepada pengecas awam.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

